Bila orang luah perasaan, jangan bagi nasihat lagi…lakukan ini dulu
PANDEMIK Covid-19 benar-benar membuatkan semua orang di seluruh dunia terkena tempias yang bukan calang-calang.
Bukan saja ekonomi dunia dan negara terjejas, tapi juga ekonomi setiap orang. Ada yang kehilangan punca pendapatan sekelip mata tanpa disangka-sangka.
Apatah lagi kepada mereka yang sudah berkeluarga. Dalam kepala, berselirat segala macam persoalan kemungkinan yang bakal dihadapi oleh keluarganya lepas ni.
Kadang-kadang semua rasa ni diluahkan kepada orang yang rapat atau mungkin juga orang yang tak kita kenali bagi meredakan sedikit bebanan perasaan yang ditanggung.
Biasanya, kalau orang luahkan masalah kepada kita, secara automatik kita mesti merasakan bahawa individu ini memerlukan nasihat atau paling tidak pun solusi daripada kita, bukan?
Hakikatnya, itu adalah tanggapan yang salah sepertimana yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @akif_basri.
Beliau yang juga seorang pensyarah psikologi dan ahli psikologi klinikal memberikan contoh mudah menggunakan watak Siti dan Ali untuk memberikan kefahaman kepada kita.
Ali baru saja dibuang kerja. Siti yang juga rakan sekerja Ali cuba untuk membantu tenangkan lelaki itu.
Lalu, Siti pun berkata: “Jangan overthinking sangat Ali. Adalah tu rezeki tempat lain. Takkan kau takde saving langsung selama ni. Relaks la, kau boleh survive punya.”
Walaupun Siti berniat untuk menengkannya, tapi ia langsung tidak membantu. Malah, kata @akif_basri, Ali sebenarnya kecewa dengan respons berkenaan. Tapi Ali maafkan Siti kerana dia tahu Siti berniat baik.
Tapi kenapa nasihat Siti tadi tak membantu Ali?
Jelas pensyarah itu, bila orang meluahkan perasaan kepada kita, pasti kita akan rasa ‘bertanggungjawab’ untuk berikan penyelesaian masalah mereka serta-merta.“Kepercayaan ini sebenarnya kurang tepat. Yang paling penting apabila orang mula meluahkan perasaan, kita kena ‘activate mode’ untuk mendengar.
“Dengar tanpa menghukum. Dengar untuk faham, bukan untuk respons. Menerima segala luahannya tanpa syarat.
“Orang putih kata, ‘unconditional acceptance’. Tak semestinya kita bersetuju dengan semua luahannya. Tak semestinya segala luahannya rasional dan masuk akal.
“Tetapi pada waktu itu, semua itu tidak penting. Yang penting, anda berada sepenuh jiwa untuk mendengar, menerima dan memahami,” kongsi beliau.
Sebagai manusia, sekali-sekala kita akan rasa nak menyampuk, beri pandangan yang positif, laungkan semangat serta dalil-dalil agama, namun kata @akif_basri, masanya belum sesuai ketika itu.
Sebaliknya, beliau menasihatkan kita supaya kawal diri masing-masing daripada menyampuk.
“Bila anda “activate mode” mendengar:
1. Berikan sepenuh fokus. Phone silent, letak tepi.
2. Dengar & respons secara natural (angguk kepala, “ehemm, ooo, I see)”
3. Validate perasaannya (“uish, beratnya ujian kau ni, peritnya apa yang kau hadapi ni”)
Elakkan:
1. Bagi solusi dan nasihat serta-merta.
2. Bandingkan dengan masalah lain yang lagi teruk.
“Kecik je masalah ko ni..tengok orang Palestin tu..rumah pun takde”
3. Conversational narcissism.
Habis tu tak boleh bagi nasihat langsung ke?
Boleh, tapi kemudian.
Itu pun kena hati-hati.
Tanpa memahami masalah seseorang secara mendalam dan komprehensif, biasanya nasihat kita tak tepat, kurang masak & tak praktikal,” kongsi beliau.
Tambah @akif_basri lagi, agak sukar untuk kita memahami psikologi manusia yang kompleks. Selalunya kita rasa kita dah faham, tapi hakikatnya kita tak sedar bahawa ada banyak lagi masalah terpendam yang kita belum faham.
“Kisah ini (Siti dan Ali) tiada kena-mengena dengan Siti Nurhaliza, Siti Awe atau Siti Kassim.
“Ini Siti yang mana? Kitalah Siti itu. Siti yang sedang belajar menjadi pendengar yang lebih baik,” seloroh beliau.
Justeru, jadilah pendengar yang baik bila ada orang luahkan perasaan pada kita. Cuba letakkan diri kita di tempatnya supaya tak adalah perkataan yang keluar dari mulut kita ni menambah lagi masalah rakan tadi.
Sumber: Twitter @akif_basri
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang