PENULARAN Covid-19 menyaksikan satu demi satu sektor swasta terpaksa mengambil keputusan perit dengan menghentikan operasi mereka susulan impak pandemik Covid-19.

Akibatnya, kini ramai yang hilang pekerjaan akibat syarikat yang mereka bekerja gulung tikar, malah ada mula mencongak nasib mereka yang bagaikan telur di hujung tanduk.

Seperti sektor perhotelan, memetik laporan akhbar media tempatan, difahamkan lebih 30,000 orang di dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.

Namun, untuk jangka masa yang rumit ini, graduan dan individu yang terjejas kerana pandemik Covid-19 boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui tiga cara iaitu offline, online dan mengguna pakai sistem sedia ada seperti affiliate, dropship dan menjadi ejen produk.

Langkah tersebut adalah jauh lebih baik daripada kita berdiam sahaja dan menunggu bantuan tiba.

Lebih menarik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, bermula Ahad ini.

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ … sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.

“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya.

Annuar berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara mengenai perkara itu agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti.

PENULARAN Covid-19 menyaksikan satu demi satu sektor swasta terpaksa mengambil keputusan perit dengan menghentikan operasi mereka susulan impak pandemik Covid-19.

Iklan

Beliau seterusnya mengingatkan para peniaga agar tidak berniaga di lokasi yang boleh mengancam keselamatan awam, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan perlu menjaga kebersihan di sekitar ibu kota.

Terdahulu, Annuar menyerahkan bantuan gerai, lesen penjaja dan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat kepada Nurjahan Mariamah Abdullah, 45, yang hilang pekerjaan sebagai tukang cuci akibat Covid-19 dan kini terpaksa menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa, Kuala Lumpur.

Iklan

Kisah ibu tunggal dikenali sebagai Puan Mary yang perlu menanggung tiga anak dan ibunya, mula tular sejak beberapa minggu lepas dan mendapat perhatian ramai, termasuk Annuar dan DBKL.

Sementara itu, Nurjahan Mariamah melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberi dan beliau bertekad akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup.

“Selepas ini saya tidak perlu lagi berjalan kaki dan membahayakan diri untuk berniaga, orang ramai yang ingin beli nasi lemak dan bihun, lebih senang cari saya di gerai,” katanya.