Sesi persekolahan 2026 bermula 11 Januari, kembali selepas pandemik Covid-19
SESI persekolahan bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan kembali bermula pada bulan Januari bagi tahun 2026.
Menerusi kalendar akademik yang dikongsikan Kementerian Pendidikan, persekolahan akan bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan A dan 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan B.
Sekadar info, negeri di bawah Kumpulan A meliputi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala Kumpulan B pula negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib serta tanpa menganggu pengoperasian institusi pendidikan.

“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat," kongsinya.
Tambahnya, usaha berkenaan menyerlahkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Kalendar Akademik Tahun 2026 berkenaan boleh dimuat turun daripada portal KPM melalui pautan https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun2025-kalendar-akademik

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, menerusi kenyataan memaklumkan KPM menetapkan tarikh pembukaan sesi sesi persekolahan tahun 2027 akan bermula pada 4 Januari 2027 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B.
Langkah penyeragaman itu bertujuan memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan tahun 2027 di seluruh negara, sekali gus memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih teratur dan efektif.
Terdahulu, menurut kenyataan kementerian itu, sesi persekolahan dijadualkan kembali ke bulan Januari mulai 2026, selepas tiga tahun bermula pada Mac susulan penyesuaian jadual akibat pandemik Covid-19.
KPM pada November 2021 memaklumkan bahawa sesi persekolahan tahun itu dilanjutkan hingga Februari 2022, sekali gus menjadikan sesi persekolahan tahun baharu bermula pada bulan Mac.
Baru-baru ini,KPM menyasarkan semua sekolah di negara ini dapat melaksanakan sepenuhnya sistem persekolahan satu sesi pada tahun 2030.
Sumber: KPM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
