KPM komited tangani buli, Fadhlina nyata sokongan terhadap keadilan untuk Zara Qairina
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dalam usaha menangani isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Penegasan itu dibuat susulan penyerahan memorandum #KeadilanUntukZara yang berlangsung pada Selasa di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen Malaysia.
Menurut Dr Fadhlina, kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara dalam persekitaran sekolah.
“KPM telah menjalankan audit keselamatan secara menyeluruh di institusi pendidikan, menambah baik sistem aduan berkaitan kes buli dan menubuhkan jawatankuasa khas reformasi keselamatan.
"Kami mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat. ” katanya.

Ujarnya. seluruh warga KPM sangat berduka cita dengan kemalangan yang menimpa Allahyarham Zara Qairina.
"Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan," kongsinya.
Fadhlina juga menegaskan KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak polis yang telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan.
“Kami merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas kejadian ini dan berharap agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan demi keselamatan pelajar di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam memorandum sama, hal ketiga dibangkitkan iaitu mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada guru, pentadbir, dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tata cara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa, Fadhlina menegaskan garis panduan untuk menangani salah laku buli itu perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan KPM.
Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden.
Sementara itu, KPM juga bersetuju cadangan mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tegas terhadap kes buli.
"KPM akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa. Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk tambah baik garis panduan sedia ada," kongsinya.
Himpunan aman berkenaan disertai oleh wakil aktivis pelajar yang kemudian mengadakan sesi perbincangan bersama wakil Parlimen bagi membincangkan kebimbangan dan tuntutan yang terkandung dalam memorandum.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
