Sungai bukan 'tong sampah' tempat cuci perut & buang najis lembu! Ini cara betul kendali sisa haiwan korban
SETIAP kali tiba Aidiladha, ramai yang berlumba-lumba menyertai ibadah korban melibatkan haiwan seperti lembu, kambing, unta mahupun biri-biri.
Tidak hanya bahagian daging, organ dalaman termasuk usus dan perut turut diagihkan selepas penyembelihan mengikut bahagian.
Tular di laman sosial satu video memaparkan segelintir individu mengambil jalan mudah dengan mencuci perut lembu dan membiarkan najis haiwan korban mengalir terus ke dalam sungai tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar serta kesihatan awam.
Nampak senang prosesnya tetapi matlamat tidak menghalalkan cara.
Perlakuan itu bukan sahaja mencemarkan sumber air yang digunakan oleh orang ramai, malah boleh mengundang pelbagai risiko penyakit sementalah ia mengandungi bakteria berbahaya seperti E.coli dan salmonella!
Facebook Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan mengapa sungai bukan tempat mencuci najis haiwan dan menggariskan cara betul membersihkan organ dalaman haiwan korban dan mengendalikan sisanya.
"Niat mahu membersih, tapi tindakan ini membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan," kongsinya.

Berikut pengendalian organ dalaman, sisa haiwan dan najis yang disarankan iaitu:
-Proses pembersihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 50 meter (m) hingga 100m dari sungai, longkang atau sumber air awam.
- Perut dan usus tidak boleh dibasuh di sungai.
-Sediakan lubang najis/ tong najis khas yang dikambus selepas digunakan.
-Najis dan organ buangan dikumpulkan di dalam plastik hitam yang tebal dan dihantar ke tapak pelupusan.
-Sisa haiwan boleh ditanam dalam lubang dalam, jauh dari sungai dan rumah.
-Jangan biarkan plastik bungkusan sisa terbuka atau dimakan haiwan liar.

"Sungai itu hidup. Ia bukan tong sampah.
"Dan setiap air yang mengalir akan sampai ke tubuh manusia juga, kita sendiri atau anak kita nanti," titipnya.
Jika berdegil dan meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab, najis berkenaan boleh merebak ke hilir sungai.
Malah ia juga boleh menyebabkan hidupan air mati dan air menjadi keruh, bau busuk dan mikroorganisma semula jadi terganggu.
Hal berkenaan dipersetujui warga maya yang rata-rata berasa jengkel dengan tindakan sesetengah individu. Ujar mereka;
"Tanam dulu sisa dan najis. Lepas tu saki-baki yang melekat pada perut tu baru basuh guna water jet."
"Kalau sudah namanya najis tak bagus untuk sungai, tak kiralah najis apapun."
"Islam mengajar untuk kambus sisa korban dan aqiqah. Tetapi ramai yang malas."
TANAM SISA HAIWAN KORBAN ITU ADAB
Pendakwah, Ustaz Dr Kamilin Jamilin menerusi video soal jawab tular di Facebook, menjelaskan perbuatan menanam sisa haiwan korban seperti tulang dan kulit adalah perbuatan yang beradab.
"Ia boleh sahaja dibuang kerana tiada dalil yang menyuruh ia ditanam.
"Namun ada sebahagian salafussoleh dahulu menggalakkan sisa haiwan ditanam.
"Ia bukanlah kerana haiwan korban itu istimewa, suruhan khusus atau ada kelebihan, tetapi ia lebih kepada sudut adab.
"Adab dalam menjaga kebersihan kerana jika ia dibuang merata-rata dan tidak berhati-hati ia akan menimbulkan bau, ulat serta bersepah.
"Tidak cantiklah dan menunjukkan kita sebagai umat Islam tidak menjaga syiar Islam serta menghormati adab tersebut," kongsinya.
Ustaz Kamilin juga berkongsi perbuatan itu sunat sebagaimana dirujuk dalam kitab Al-Majmuk.
"Sunat bagi kita menanam sisa haiwan korban ini bukan kerana ia perlu ditanam atau ada kelebihan khusus tetapi disebut sebagai demi menjaga kebersihan.
"Kebersihan adalah 'illah kepada galakan untuk menanamnya.
"Salah satu lagi ialah mengelakkan jin datang 'berkenduri.' Ada riwayat daripada Imam Bukhari yang menyatakan bahawa tulang adalah makanan jin.
"Jika ada sisa haiwan korban yang tidak dapat dimanfaatkan seeloknya jika tidak mampu ditanam, bungkus elok-elok dan buang di tempat sepatutnya," kongsinya.
Sumber: Facebook PHM, Dr Kamilin Jamilin
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
