BOSAN sikap sesetengah individu yang enggan mematuhi perintah kuarantin telah mendorong pihak berkuasa di Sragen, Jawa Tengah, Indonesia menghukum pesalah dengan meletakkan mereka di ‘rumah berhantu’.

Rumah berhantu dimaksudkan itu merupakan kediaman terbengkalai yang ditakuti penduduk setempat kerana dipercayai dihuni entiti mistik.

Menurut Ketua Pemerintah Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati perintah tersebut dilaksanakan pada minggu ini selepas mendapati kemasukan sejumlah masyarakat secara besar-besaran ke daerah Sragen susulan kota utama dan Jakarta diisytiharkan darurat.

indonesia
KUSDINAR Untung Yuni Sukowati (gambar kecil) mengarahkan individu yang melanggar perintah kuarantin dihantar ke rumah terbengkalai.

Paling mengecewakan, sebahagian besar penduduk yang baru tiba di daerah berkenaan tidak menghormati perintah kuarantin selama 14 hari bagi mencegah penularan Covid-19.

Justeru, Kusdinar Untung Yuni Sukowati mengarahkan supaya rumah-rumah terbengkalai digunakan untuk menempatkan kelompok individu yang melanggar arahan.

“Jika ada rumah kosong dan berhantu di kampung, letak dan kunci mereka di dalam kediaman berkenaan,” tegas beliau kepada AFP baru-baru ini.

Sementara itu, sebuah pihak Kampung Sepat telah menjadikan sebuah rumah terbengkalai sebagai ‘penjara’ seram untuk pesalah yang melanggar perintah kuarantin.

Rumah berkenaan dilengkapi beberapa buah katil yang disusun jarak sosial dan dipisahkan dengan langsir.

indonesia

Iklan

Salah seorang yang sedang menjalani hukuman sedemikian, Heri Susanto mendedahkan, setakat ini beliau belum lagi terjumpa hantu.

“Tapi, kalau terjumpa pun saya tak boleh berbuat apa-apa. Hukuman ini adalah terbaik untuk menjaga kesihatan semua orang.

Iklan

“Lagipun ini pengajaran buat saya kerana tidak menurut perintah,” kesalnya.

Direkodkan, setakat ini Indonesia mencatatkan angka kematian sebanyak 616 dan 7,135 jumlah kes.

Foto: AFP