PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyampaikan perutusan khas berkenaan tindakan kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid 19.

Mana-mana individu yang didapati melanggar perintah tersebut boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pun begitu, terdapat beberapa pihak yang keliru di antara Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Berkurung dan Darurat

Memetik laporan yang ditulis oleh salah satu portal tempatan, Ismaweb.net yang berkesempatan menemu bual bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain yang menegaskan, rakyat perlu tahu perbezaannya supaya tidak mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

Terdapat banyak perbezaan antara perintah kawalan pergerakan, perintah berkurung dan darurat.

Perintah kawalan pergerakan

Perintah kawalan pergerakan ialah perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan mengarahkan orang ramai supaya menghadkan pergerakan dan tidak ke luar negara dalam jangka waktu yang tertentu.

Meskipun tidak boleh ke luar negara atau menyertai sebarang program keramaian, tetapi masyarakat masih dibenarkan untuk melakukan urusan penting seperti membuat urusan di bank mahupun membeli keperluan harian serta ubat-ubatan.

Dengan erti kata lain ialah elak aktiviti sosial. Benar ia umpama satu gangguan tetapi matlamat akhirnya untuk merendahkan lengkung epidemik.

Perintah berkurung

Perintah berkurung pula melibatkan tentera, kita belum sampai ke tahap itu, yang mana orang kena duduk dalam rumah dan tidak boleh keluar.

Iklan

Perintah berkurung ini adalah perintah yang tidak membenarkan sesiapa pun melakukan sebarang aktiviti di luar kediaman mereka termasuk keluar untuk membeli makanan dan sebagainya.

Itu adalah kerana untuk memberi laluan kepada pihak keselamatan menjalankan tugas mengenal pasti penjenayah atau penceroboh yang cuba memasuki negara.

Darurat

Berlainan pula dengan darurat. Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Iklan

Hasil daripada pengisytiharan darurat, pucuk pimpinan negara diambil alih tentera, apa-apa saja undang-undang boleh diluluskan, meskipun melanggar Perlembagaan Persekutuan dan pilihan raya juga boleh ditangguh.

Antara contoh undang-undang yang diluluskan semasa darurat adalah Ordinan Darurat 1969, yang membolehkan kerajaan membuat penahanan tanpa bicara.

Jadi, jangan fikir sejauh itu! Sama-sama kita berdoa agar dunia kembali bebas daripada wabak yang bergelar Covid 19!