SELAIN keluarga bahagia, menjadi ibu atau seorang isteri yang hebat untuk suami dan anak-anak adalah impian setiap wanita.

Namun, dalam suasana kehidupan masa kini yang serba mencabar, ditambah pula tekanan di tempat kerja, mungkin sedikit mustahil untuk dicapai.

Wanita hebat adalah mereka yang dapat mengawal emosi, selesaikan rutin harian dengan sempurna, sentiasa wujudkan suasana tenang di rumah dan menyediakan semua keperluan suami dan anak.

Kunci utama kepada semua ini terletak pada diri wanita itu sendiri. Paling penting perlu bijak menguruskan masa selaras kerja yang ingin dilakukan.

Lebih-lebih lagi jika wanita atau ibu muda berhadapan dugaan hidup yang perlu berdiri di atas kaki sendiri seperti ibu tunggal yang kematian suami tercinta mahupun penceraian.

Ini perkongsian seorang wanita tabah, Dzuriasikim Dzulkefli.

“Ketika saya perlu mulakan semula hidup saya pada usia 41 tahun, anak lelaki saya masih belajar di MRSM Pengkalan Hulu. Anak lelaki kecil saya pula waktu itu baru berusia 3 tahun. Masih perlu digendong, masih menyusu.

“Waktu itu, saya tidak punya pekerjaan, tidak punya wang, jika ada pun sekadar cukup makan kami enam beranak sahaja. Tidak cukup wang untuk membayar sewa rumah. Hampir setiap hari tuan rumah datang untuk menghalau kami keluar.

“Anak-anak masih kecil. Dihimpit dengan banyak tekanan. Namun sebagai seorang ibu, dalam keadaan macamana pun sudah tentu kita semua ingin berikan yang paling baik untuk anak-anak kita.

“Menjadi seorang ibu yang baik bukanlah bererti kita adalah yang terbaik, tetapi dengan memberikan yang sehabis baik yang mungkin dan selebihnya adalah dengan bantuan dan keizinan daripada Allah kerana kita adalah makhluk yang tidak berdaya.

“Memberikan yang terbaik bererti menghantar anak-anak ke tempat pengajian tertinggi dengan semampu mungkin, memberikan bimbingan kepada mereka untuk berjaya jika tidak dalam pencapaian akademik pun sekurang-kurangnya kita sudah mencuba tanpa ada sebarang rasa putus asa.

“Saya yakin dan percaya semua ibu mampu untuk melakukan ini dengan mudah. Meskipun berada dalam kesempitan hidup dan sedang dilanda dengan pelbagai ujian rezeki, perceraian, fitnah atau apa sahaja bentuk dugaan hidup InsyaAllah,” kongsi beliau di Facebook.

Baca juga Mahu jadi YouTuber? Nah, gajet wajib miliki, tapi kena cepat-cepat rebut di platform Lazada. Barang murah bawah RM10 pun ada

Menurutnya, ini 10 tip menjadi wanita dan ibu yang berjaya meskipun sempit;

1. Amalkan bangun pagi setiap hari.

Yakin dan percaya bahawa rezeki datang di awal pagi. Meskipun rezeki itu bersifat infiniti dan tidak akan pernah habis.

Saya sendiri akan bangun seawal 4.30 pagi setiap hari atau pada jam 6 pagi jika ‘cuti’.

2. Sulit bagaimana sekalipun hidup jangan tinggal solat.

Kerana solat itu adalah ubat bagi hati yang sedih dan kunci bagi rezeki.

Pernah seorang wanita mengadu kepada saya dan dengan panjang lebar dia bercerita tentang rumah tangganya. Saya bertanya adakah dia solat? Dia kata tidak.

Lalu saya segera minta dia dahulukan itu dulu sebelum hal-hal yang lain.

Buruk lagu mana pun kita, siapa pun diri kita, sibuk macamana pun kita, jangan tinggal solat.

3. Bacalah al-Quran setiap hari.

Jika boleh baca satu muka surat sehari. Jika tidak boleh bacalah sepotong ayat. Jika tidak boleh, bacalah terjemahan ayat. Semua itu ‘ubat’.

Dengar ceramah agama setiap hari sekurang-kurangnya satu topik.

Boleh buka YouTube dan buat carian untuk topik yang anda mahu. Contohnya “La Tahzan…”. Tambah ilmu setiap hari untuk perbaiki diri.

4. Jangan pernah berkira untuk bersedekah.

Bersedekahlah dari mampu beri 50 sen sehingga mampu beri RM50 atau RM1,000 tanpa ada sebarang rasa riak walau sebesar zarah pun.

Bersedekahlah daripada miskin sehingga kaya. Trust Allah for this. Buat dengan istiqamah.

5. Jangan berkira dengan ibu dan ayah.

Saya sudah tidak punya ibu. Hanya punya ayah. Memberi tanpa bertanding dengan adik-beradik yang lain. Tidak perlu tunjuk apa pemberian kita. Cukup Allah tahu sahaja.

Iklan

6. Usah berkira dengan adik-beradik.

Belanja mereka makan. Bagi mereka rasa apa yang anda rasa. Kalau kita susah… kita hidangkan makan cara orang tidak berada.

Kalau ada wang jamulah mereka dengan sebaiknya. Belanja adik-beradik dan saudara mara tanpa sedikit pun rasa megah dan jangan disebut-sebut pemberian kita.

7. Selalu ikhlaskan diri dengan anak-anak, keluarga dan orang sekeliling.

Buatlah baik dengan semua orang meskipun orang tidak buat baik dengan kita.

Jangan sibuk membicarakan hal orang. Fokus pada diri.

8. Sabar selalu.

Iklan

Sabar kalau ada yang mengata (terutama jika kita ibu tunggal). Sabar dengan kerenah anak-anak. Mereka adalah amanah dari Allah untuk kita. Sabar tika diuji dengan pelbagai jenis kesempitan hidup, makan, pekerjaan, tempat tinggal, pakai. Sabar, sabar, kerana orang yang sabar adalah orang yang tenang dan menang.

9. Jangan ada sedikitpun rasa megah atau riak dalam hati.

Terutama ketika memberi. Jangan riak ketika dipinjamkan dengan kekayaan, harta, pangkat, projek yang besar. Jangan. Saya sudah melihat orang yang sangat sangat kaya hilang segala hartanya dengan sangat mudah.

Tuhan boleh memberi dengan cara yang kita tidak pernah sangka dan boleh mengambilnya dengan cara yang tidak pernah kita sangka juga. Ingat itu.

10. Usah pernah memburukkan bekas pasangan di hadapan anak-anak.

Biar apapun terjadi dia tetap ayah kepada anak-anak kita. Usah menangis di hadapan anak-anak kerana ia akan meruntuhkan kekuatan jiwa anak-anak. Stay strong, Allah tahu.

Istiqamahlah dalam semua perkara ini. InsyaAllah yang sulit akan menjadi mudah bagi korang. Sabarlah, Allah sayang.