Pesakit kanser miliki 40 peratus lebih tinggi hidap penyakit ini, kena berwaspada
BERDASARKAN kajian pada tahun 2019 terhadap 240,000 responden, individu yang didiagnosis dengan kanser mempunyai risiko 40 peratus lebih tinggi untuk menghidap kayap berbanding mereka yang bebas daripada penyakit itu, lapor Very Well Health.
Hakikatnya, satu daripada setiap tiga orang di muka bumi ini akan menghidap kayap sepanjang hayat mereka, namun pesakit kanser lebih berkecenderungan memandangkan rawatan yang dijalankan boleh menjejaskan sistem imun. Ia sekali gus akan menjadikan badan mereka lebih sukar untuk melawan jangkitan.
Baca juga Perbezaan antara kayap dan kurap, ini yang perlu kita semua ketahui
Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Profesor Madya Dr Adawiyah Jamil diajak untuk berdiskusi lanjut tentang penyakit berkenaan.
Ujar Dr Adawiyah, kayap atau dalam istilah saintifiknya, Herpes zoster berlaku disebabkan jangkitan Varicella Zoster Virus (VZV).
VZV ialah virus yang sama penyebab penyakit cacar air (chicken pox).
“Lazimnya, individu yang mendapat penyakit cacar air akan dijangkiti virus tersebut. Ia (virus) tidak akan mati, tetapi kekal pasif atau dorman dalam saraf manusia walaupun pesakit telah sembuh.
“Besar kemungkinan virus itu akan aktif pada bila-bila masa dan itu yang menjadi punca seseorang terkena kayap,“ jelasnya.
Menurut Healthline, individu yang terdedah kepada penyakit itu adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Dalam pada itu, Dr Adawiyah berkata, seseorang perlu berwaspada seandainya mereka mula rasa sakit, kebas, kesemutan atau mengalami kegatalan pada badan.
“Itulah antara gejala awal kayap. Kemudian, ia akan diikuti dengan tumbuhnya ruam pada kawasan yang sama seperti bintik-bintik atau biji-biji merah yang berubah menjadi lepuh berair yang kecil dan akan menjadi besar serta bercantum.
“Ruam akan berhenti tumbuh antara lima hingga tujuh hari. Setelah itu, ruam akan menjadi kering dan berkeruping dan akan mengambil masa untuk ‘jatuh sendiri‘ di antara 10 hingga 14 hari,“ katanya.
Selain itu, WebMD turut menyenaraikan beberapa simptom kayap. Antaranya:
Nodus limfa yang diperbesarkan.
i. Demam, menggigil dan sakit kepala.
ii. Sakit seperti mencucuk-cucuk.
iii. Rasa terbakar di dalam atau di bawah kulit.
iv. Sakit perut.
Beritahu Dr Adawiyah, kayap sememangnya boleh menjangkiti orang lain yang tidak pernah mengalami cacar air.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja dijangkiti, individu itu akan mendapat cacar air dan bukannya kayap,“ terangnya.
Bukan sahaja pakar tersebut, malah penulisan dalam portal perubatan, Mayo Clinic turut memberi amaran bahawa sentuhan fizikal dengan sesiapa yang belum terkena cacar dan belum mendapat vaksin cacar air adalah perlu dielakkan.
Begitu dengan mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah, wanita hamil dan bayi yang baru lahir.
Kayap ular
Barangkali pembaca SinarPlus pernah mendengar mengenai perihal kayap ular atau ada yang menyebutnya sebagai kayap bertemu.
Ramai yang membuat spekulasi kononnya kayap jenis itu saat dijangkiti akan terus mengundang maut.
Memberikan pandangan mengenai hal itu, Dr Adawiyah berkata, ia memang menjadi percakapan masyarakat sehingga menimbulkan ketakutan kepada penghidapnya.
“Namun, ingin saya tegaskan, kepercayaan itu adalah mitos semata-mata. Meskipun kayap boleh membawa maut disebabkan pelbagai faktor, tetapi pernyataan yang diuar-uarkan itu sangat jarang berlaku,“ ujarnya memberi pencerahan.
Pakar itu menjelaskan, lazimnya, komplikasi yang akan berlaku apabila ruam kayap dijangkiti bakteria adalah kulit akan berair dan bernanah.
Pesakit juga perlu bersabar kerana proses penyembuhan agak lambat dan akan meninggalkan parut setelah sembuh.
“Selain itu, mereka juga berpotensi mengalami Post Herpetic Neuralgia (PHN) iaitu rasa sakit, kebas atau rasa kesemutan berpanjangan melebihi enam minggu lamanya, walaupun tanda-tanda kayap pada kulit sudah tiada.
“Lebih membimbangkan, VZV juga boleh menjangkiti organ-organ lain seperti otak, mata, telinga, jantung dan paru-paru. Ini antara risiko yang berpotensi untuk membawa maut,“ terangnya.
SinarPlus kemudian menghubungi Doktor Perubatan Am dan Nutrisi, Klinik Dr Norman, Dr Norman Mohd Norawi.
Kata Dr Norman, kayap boleh dirawat dengan kaedah simptomatik dan antiviral.
“Pesakit akan diberi ubat tahan sakit dan ubat sapuan seperti potassium permanganate, losen kalamin untuk mengurangkan rasa sakit, pedih dan gatal yang melampau.
“Amytriptaline atau gabapentin ada juga digunakan bagi mengurangkan sakit saraf termasuk ubat antiviral seperti acyclovir yang efektif untuk membunuh virus supaya lebih cepat lega dan meminimumkan tempoh penyakit,“ ujarnya.
Penghidap juga ujar Dr Norman, disaran mengambil beberapa suplemen untuk membantu proses pemulihan seperti vitamin C, curcumin, monolaurin, vitamin B kompleks, vitamin E dan vitamin D3.
Untuk mencegah kayap merebak dengan lebih teruk, seseorang dikehendaki menghindari makanan yang bergula, tinggi lemak dan bersifat segera yang boleh mengganggu sistem imuniti tubuh.
Sebaliknya, mereka diminta untuk menikmati makanan yang kaya probiotik dan minyak sihat seperti minyak kelapa dara yang mengandungi bahan monolaurin yang boleh membantu tubuh melawan virus.
“Pesakit juga diminta tak menggaru tempat kayap yang dijangkiti bagi mengelakkan luka atau dijangkiti bakteria. Sepanjang dijangkiti, jangan memakai baju yang ketat dan basah kerana boleh menyebabkan kawasan kayap menjadi semakin sakit,“ katanya.
Vaksin Shingrix
Dalam pada itu, Centres for Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan agar orang dewasa berumur 50 tahun ke atas mendapatkan dua dos vaksin kayap yang dipanggil Shingrix (recombinant zoster vaccine) untuk mencegah kayap dan komplikasi daripada penyakit tersebut.
Kumpulan yang berusia 19 tahun ke atas yang memiliki sistem imun yang lemah disebabkan penyakit atau terapi, juga perlu dapatkan dos yang sama.
Menurut CDC, Shingrix lebih 90 peratus berkesan dalam mencegah kayap dan PHN untuk mereka yang berada dalam lingkungan umur 50-an dan mempunyai sistem imun yang sihat.
Imuniti kekal kuat sekurang-kurangnya tujuh tahun pertama selepas vaksinasi.
Sementara, individu dewasa dengan imun yang lemah, kajian menunjukkan bahawa Shingrix hanya 68 hingga 91 peratus berkesan dalam mencegah kayap, bergantung kepada keadaan yang mempengaruhi sistem imun mereka.
Dalam pada itu, terdapat beberapa ciri individu yang tidak boleh mendapatkan vaksin iaitu:
i. Mereka yang sedang mengalami simptom kayap.
ii. Wanita yang sedang hamil.
iii. Alami alergi yang teruk kepada mana-mana komponen vaksin atau selepas dos Shingrix.
CDC menegaskan, kajian juga menunjukkan bahawa Shingrix selamat.
“Vaksin akan membantu badan mencipta pertahanan yang kuat terhadap kayap. Mungkin seseorang mempunyai kesan sampingan sementara dan menjejaskan keupayaan untuk melakukan aktiviti harian selama dua hingga tiga hari saja.
“Sindrom Guillain-Barre iaitu gangguan sistem saraf yang serius juga sangat jarang berlaku,“ kata CDC lagi.
Rasa seperti kulit terbakar, daun sireh jadi penyelamat
KEPADA yang pernah menderita kayap, seboleh-bolehnya mereka tidak mahu ia berulang sekali lagi.
Mana tidaknya, bisa ruam boleh membuatkan penghidapnya tidak senang duduk dan serba tidak kena.
Bercerita mengenai pengalaman terkena penyakit itu, seorang pekerja swasta, Muhammad Hafizie Abdullah, 25, berkata, beliau telah dijangkiti kayap di tempat kerjanya.
“Saya tiba-tiba rasa gatal. Pada mulanya, saya ingatkan ia berpunca daripada ulat bulu, tetapi muncul pula simptom seperti kulit terbakar dan timbul gelembung-gelembung air yang kecil pada seluruh badan saya.
“Hari pertama setelah dijangkiti, saya hanya meletakkan sapuan krim yang dibeli dari farmasi, tetapi pada hari kedua, ia semakin menjadi-jadi pula,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut, Muhammad Hafizie berkata, natijahnya, beliau langsung tidak boleh berkerja dan diberi cuti sakit lebih daripada 10 hari.
“Pada hari ketiga, saya dah tak tahan dah, kena juga pergi jumpa doktor. Kawasan yang dijangkiti menjadi sakit sangat. Apabila bergesel dengan baju pula, ia akan menyebabkan rasa sakit dan pedih yang sukar digambarkan. Kayap ini juga merebak dengan cepat,“ ungkapnya.
Sebaik tiba di hospital, lelaki itu terus diberi dua dos morfin bagi mengurangkan kesakitan.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizie juga mengaku, beliau turut berubat secara tradisional iaitu dengan menggunakan sireh.
“Daun sireh ditepek pada kawasan yang dijangkiti kayap. Selepas itu, kayap pada kulit saya mula mengering dan pecah dalam masa tiga hari,“ katanya sambil menambah kesakitan itu hanya reda sepenuhnya kira-kira dua minggu.
Beritahu pekerja swasta itu lagi, meskipun ada pihak memaklumkan kayap boleh berjangkit, beliau menegaskan hal itu tidak berlaku ke atas isteri mahupun orang sekelilingnya.
“Alhamdulillah, isteri saya tidak berjangkit walaupun dia membantu saya dari segi menyapu ubat di seluruh kawasan badan,“ ceritanya.
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang