TRAGEDI pergaduhan antara seorang kakak dengan adik lelakinya yang berakhir dengan kematian mengundang rasa sebak. Akibat berebut tempat duduk dalam kereta semasa pulang dari sekolah, seorang remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya dalam kejadian di Ulu Pulai Ulu Choh beberapa hari yang lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan antara mangsa yang berusia 16 tahun dan kakaknya berusia 18 tahun. Suspek mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah.

Sebenarnya banyak faktor yang boleh menjadi punca situasi ini berlaku. Mungkin pada pandangan mata kasar pergaduhan antara adik-beradik ini kecil namun jika dibiarkan berlarutan akan menjadi satu tragedi yang tidak disangka.

Baca juga: Adik ajal di tangan kakak gara-gara berebut tempat duduk dalam kereta, berikut kronologi kejadian

Kredit foto: Pexels

Melalui perkongsian seorang penulis buku bercorak keibubapaan yang dikenali dengan nama Wawa Shauqi dilaman media Facebook, wanita ini berbicara tentang cara dan teknik untuk ibu bapa membina kemesraan anak-anak dan keakraban hubungan adik-beradik.

Jelas Wawa Shauqi atau nama sebenarnya, Farah Najwa Shauqi, setakat ini walaupun anak-anaknya bergaduh namun apabila beliau mempraktikkan semua tip ini, dengan izin ALLAH, hubungan anak-anaknya kembali jernih. Malah hubungan anak-anaknya juga menunjukkan perkembangan yang lebih baik dan menjadi lebih akrab.

Berikut antara resipi kemesraan adik-beradik daripada ahli psikologi seperti yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi:

MASA BERSAMA DENGAN ANAK (WE TIME)

  • Cari masa untuk duduk sekali bersama anak-anak. Pilih gambar atau video-video zaman anak-anak masih kecil dan mesra. Tonton bersama.
  • Ambil giliran untuk berbincang topik positif seperti ‘perkara yang saya sukai pada adik-beradik saya.’
  • Bangkitkan kembali kisah lucu/ kenangan dengan adik beradik.
  • Cipta aktiviti yang boleh dibuat bersama. Bermain board games, main teka-teki, membina lego atau bermain bola bersama.

Baca juga: Tertusuk objek tajam, elak cabut. Jururawat kongsi 7 langkah elak pendarahan teruk ancam nyawa

Kredit foto: Pexels

MASA BERSAMA DENGAN SETIAP SECARA INDIVIDU (INDIVIDUAL ATTENTION TIME)

Ambil giliran untuk keluar berdua dengan anak. Contohnya jika minggu ini ibu keluar berdua dengan anak sulung, si ayah pula keluar berdua dengan anak kedua.

Minggu berikutnya pula ambil giliran untuk anak seterusnya. Ada pebagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama seperti berkhemah, ke perpustakaan atau sekadar makan aiskrim di kafe kegemaran.

Ada masa, suami bawa anak seorang anak berkhemah, saya bawa seorang lagi pergi bermain papan luncur. Ada hari ke perpustakaan. Ada hari, sekadar duduk di kafe berdua makan aiskrim.

BERKEMPEN SEJAK BAYI

Mungkin ada kebencian anak yang paling sulung dengan adiknya sejak dari lahir tanpa kedua ibu bapa sedari.

Mana tidaknya, sebelum adik lahir, anak yang sulung diberikan kasih sayang yang melimpah ruah, diberikan sepenuh perhatain dan sering dipuji-puji.

Apabila si adik lahir, mungkin tertanam kebencian pada anak yang sulung itu. Semuanya kerana perhatian sudah beralih arah pada si adik.

Maka sebab itulah sejak si adik dari dalam perut lagi, ibu bapa mesti mula melakukan ‘kempen’ tentang si adik yang bakal lahir ke dunia. Berkongsilah cerita tentang yang baik-baik sahaja tentang adik yang bakal lahir itu. Dengan cara ini, anak yang sulung itu akan teruja dengan kehadiran adiknya nanti.

Baca juga: 2 beradik maut, adik direnjat elektrik ketika selamatkan abang, 13 info ibu-ibu perlu tahu

Kredit foto: Pexels

SERLAHKAN SISI POSITIF (HIGHLIGHT POSITIVITY)

Ibu bapa perlu mengawasi kata-kata yang ditutur ketika berbicara. Elakkan daripada bercakap mengenai perkara yang boleh menyebabkan berlakunya pemusuhan anak-anak. Sebaliknya sering berbicara perkara yang baik-baik dalam bab hubungan mereka adik beradik.

“Mama suka tengok abang makin pandai kongsi mainan dengan adik.”
“I really love to see you guys laugh and play together.”
“Abang tau, masa abang pergi sekolah, adik teringat kat abang. Siap belikan abang roti.”

DOA
Berdoa agar ALLAH satukan hati anak-anak kita. Saling membantu, mendamaikan dan berkasih sayang. Setiap kali perasaan risau datang dalam diri kita, anggaplah sebagai satu peringatan untuk kita berdoa yang baik-baik pada ALLAH untuk anak.

Lima perkara toksik yang boleh merosakkan hubungan adik beradik:

1.MEMBANDING
Ibu bapa jangan sesekali membandingkan anak-anak kerana anak-anak mungkin akan berdendam antara satu sama lain.

2.MELABEL
Melabelkan anak-anak boleh merosakkan potensi dalam diri anak-anak. Salah faham ibu ayah tentang anak ini akhirnya membuatkan anak percaya bahawa mereka tidak pandai, malu dan nakal.

3.FAVORITISM
Akan ada anak yang menyenangkan hati dan sebaliknya. Walaupun tidak berniat untuk berat sebelah tetapi anak-anak merasai perbezaan layanan. Kadang kala anak-anak yang kuat menyakat, menjengkelkan dan tidak berdikari mungkin inginkan perhatian. Ibu bapa perlu dahulukan perhatian kepada anak-anak yang paling nakal. Puji mereka apabila mereka berbuat baik. Semakin nakal anak-anak ini, semakin banyak ibu bapa perlu memuji.

Baca juga: #SiBibirMerah: Tinggal tak sampai 15 minit, 2 beradik maut rentung. Ibu ayah jadikan ini pengajaran

Kredit foto: Pexels

4.TEKANAN BERLEBIHAN KEPADA ANAK YANG LEBIH TUA
Tidak salah untuk mengajar anak-anak tentang tanggungjawab namun biarlah berpada-pada. Anak sulung bukanlah sasaran untuk ibu bapa melepaskan segala tanggungjawab sehingga mereka hilang harga diri.

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah membahagikan tanggungjawab sama rata kepada anak-anak yang lain. Ibu bapa juga perlu bekerjasama dengan anak-anak dalam melaksanakan tugas seperti mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Jangan hanya anak sulung sahaja perlu beralah dan dipersalahkan.

5.MENYAKAT
Memang seronok apabila dapat menyakat anak yang kuat cemburu. Tanpa kita sedari, rasa terancam telah terbina dalam diri anak itu dan akhirnya anak itu menunjukkan tingkahlaku yang agresif terhadap adik-beradik yang lain.

Bergaduh adik-beradik itu pasti. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan cara yang berseni. Tangani isu ini dengan berhati-hati. Jangan biarkan masalah ini berlarutan hingga akhirnya mengundang padah dan penyesalan yang tidak berkesudahan. Galilah ilmu mendidik anak-anak sebanyak mungkin sama ada melalui pembacaan dan mungkin juga mengikuti kursus keibubapaan.

Semoga kita mampu mendidik anak-anak kita semua dengan baik. Apabila hubungan adik-beradik menjadi akrab, anak-anak akan hidup sepakat, muafakat dan hidup menjadi berkat sepanjang hayat.

Baca juga: Jalan licin, memotong berhampiran selekoh, kereta berpusing beberapa kali ragut nyawa dua beradik

Sumber kredit: Wawa Shauqi, BERNAMA

Kredit foto utama: Pexels

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi