SELALU kita mendengar solat itu tiang agama. Ia adalah ibadah fardu lima waktu yang wajib dilaksanakan oleh setiap penganut agama Islam

Pernahkan anda berasa solat tetapi seperti tidak mengerjakannya. Ataupun ibadah itu tidak memberikan impak kepada kehidupan. Pendakwah Ustazah Asma’ Harun berkongsi tentang cara untuk mencapai tahap khusyuk dalam menunaikannya.

“Setiap hari kita laksanakan solat sama ada lima waktu yang fardu ataupun sunat.

“Namun ada masa, kita melaksanakannya dengan laju, bermula daripada berwuduk, rukuk, sujud, berdoa dan lain-lain.

“Kadang-kala apabila bermusafir, saya akan singgah di perhentian rawat dan rehat (RnR) atau stesen minyak untuk bersolat dan terlihat ada orang yang sembahyang sangat pantas, subhanallah.

“Bukan apa, sebenarnya jika solat yang tiada tamakninah (berhenti seketika dalam rukun perbuatan), boleh menjadikan solat kita itu tidak sah kerana ia merupakan sebahagian daripada rukun solat,” jelasnya.

Baca juga: Solat tanpa memakai pakaian dalam sah atau tak? Ini wanita wajib tahu

Tidak hanya itu, Ustazah Asma’ mengingatkan tentang kepentingan solat bagi seorang Muslim.

“Sebagai peringatan untuk diri saya juga, jika kita ketahui rahsia di sebalik solat, maka kita akan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya sebaik mungkin,” jelasnya.

Firman ALLAH SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1-2)

Jelas ustazah Asma’ mereka yang solat hingga tercicir salah satu daripada rukun solat iaitu tamakninah berkemungkinan tidak dapat merasai khusyuk dalam menunaikannya.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

“Tidak khusyuk menyebabkan kita tunaikan solat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga .

“Menurut Imam Ibnu Kathir, orang yang khusyuk di dalam solatnya ialah mereka yang merendahkan diri di dalam sujud kerana patuh kepada segala perintah dan takut akan azab seksaan-NYA.

“Khusyuk dalam solat terbahagi kepada dua iaitu khusyuk hati iaitu dengan cara fokus ketika menghadap ALLAH SWT, merasai keagungan-Nya dengan hati, takut akan seksaan dan mengharap pahala daripada-NYA.

“Khusyuk hati ini akhirnya akan membentuk khusyuk kedua iaitu badan.

“Khusyuk ini hadir daripada pergerakan badan yang beradab dan tidak tergesa-gesa dalam setiap perbuatan, memandang ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang boleh menghilangkan fokus dan pergerakan yang sia-sia,” jelasnya.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ berkongsi senarai daripada Imam Al-Ghazali yang menyebut antara cara untuk khusyuk dalam solat ialah dengan melakukan perkara seperti berikut:

1-Menghadirkan hati ketika solat.

2- Memahami semua makna yang dilafazkan.

3-Mengagungkan ALLAH SWT dengan perasaan bahawa diri kita sangat kerdil.

4-Menzahirkan rasa kehebatan ALLAH SWT dengan menghadirkan rasa takut dan gerun kita kepada Allah.

5-Meletakkan sepenuh pengharapan kepada ALLAH.

6-Merasa malu kepada ALLAH.

Baca juga: Niat, syarat & cara tunai solat jamak qasar bagi musafir lebih dua marhalah, 18 info perlu tahu

Gambar hiasan (Kredit foto:Freepik)

Terdapat sebuah kisah yang mana Rasulullah SAW meminta seorang lelaki mengulangi solatnya, daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan:
أَنَّ رَجُلًا دَخَلَ الْمَسْجِدَ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ فِي نَاحِيَةِ الْمَسْجِدِ، فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَعَلَيْكَ السَّلَامُ، ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ”، فَرَجَعَ فَصَلَّى، ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ، فَقَالَ: “وَعَلَيْكَ السَّلَامُ، فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ”، حَتَّى فَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَقَالَ الرَّجُلُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَ هَذَا فعَلِّمْنِي يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: “إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ بِمَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya: “Seorang lelaki masuk ke masjid sedang Rasulullah SAW duduk. Kemudian Rasulullah SAW menjawab salam dan berkata kepadanya: “Kembalilah dan solatlah kerana kamu belum solat.”

Kemudian dia kembali untuk solat sebagaimana asalnya. Kemudian dia datang memberi salam kepada Rasulullah SAW kemudian baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah kerana kamu belum solat.”

Kemudian dia kembali untuk solat sebagaimana asalnya. Kemudian dia datang memberi salam kepada Rasulullah SAW kemudian baginda bersabda sehingga berulang tiga kali.

Kemudian pada kali ketiga lelaki itu berkata: “Demi yang ALLAH bangkitkan kamu dengan kebenaran hai Rasulullah, aku tidak boleh lakukan lebih baik daripada itu. Maka ajarlah aku.

Iklan

Jawab baginda: “Bila kamu mahu solat hendaklah bertakbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu daripada ayat al-Quran, rukuklah kamu sehingga kamu tamakninah dalam rukuk, dan bangkitlah daripada rukuk sehingga kamu berdiri tegak. Lalu sujudlah kamu sehingga kamu tamakninah dalam sujud, dan bangkitlah sehingga kamu benar-benar duduk.

Setelah itu sujudlah sehingga kamu tamakninah dalam sujud, dan bangkitlah sehingga kamu benar-benar duduk. Kerjakanlah semua hal tersebut dalam setiap solatmu.”
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Jelas beliau, betapa pentingnya solat yang khusyuk kerana daripadanya hati mendapat ketenangan.

“Dalam kisah ini Rasulullah SAW menegur seorang sahabat tentang solat beliau, lalu memperingatinya tentang tamakninah dalam setiap rukun perbuatan seperti rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya.

“Sahabat, jika kita boleh tenang ketika menonton TV, YouYube, bekerja, tengok telefon dan lain-lain maka tenang di dalam solat itu lebih dituntut.

“Solat tanpa terburu-buru membuatkan hati kita terasa sangat tenang terhadap ALLAH dan itulah sebaik-baik nikmat yang sangat indah di dunia ini iaitu dapat berkasih sayang dengan ALLAH dalam solat,” kongsinya.

Baca juga: Mudah nak travel naik flight lama, ini cara solat dalam kapal terbang

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

Selain itu, Ustazah Asma’ juga menerangkan menunaikan solat tergesa-gesa adalah mencuri dalam solat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَسْوَأَ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ صَلَاتَهُ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يَسْرِقُهَا؟ قَالَ: لَا يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلَا سُجُودَهَا.
Maksudnya: “Sesungguhnya seburuk-buruk manusia adalah pencuri yang mencuri dalam solatnya.” Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”
(HR Ahmad, hadis sahih)

Jelas Ustazah Asma’, rukun Islam kedua itu besar impaknya kepada kehidupan. Malah ia adalah perkara yang akan dihisab. Justeru, betapa pentingnya solat ditunaikan dengan betul.

“Dalam solat ada hak-hak yang perlu ditunaikan. Tidak akan tertunai hak suatu solat tersebut jika tidak dipenuhi rukun-rukunnya termasuk tamakninah.

Iklan

“Tidak lengkap rukun tersebut bererti kita telah mencuri hak solat itu.

“Mari kita muhasabah semula, adakah kita benar-benar khusyuk ketika mendirikan solat? Jadi, mari kita amalkan doa ini agar dikurniakan khusyuk dalam solat.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ ومِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada hati yang tidak khusyuk, dan dari doa yang tidak diperkenankan,” kongsinya.

Ayuh memperbaiki diri. Sama-sama kita menyemak kembali tata cara menunaikan solat sehari-hari, risau jika pernah mencuri dalam solat. Semoga kemanisan beribadah dan khusyuk dalam solat mampu dirasai seterusnya menambahkan ketakwaan kepada ALLAH.

Bac ajuga: Tak salah tarawih di masjid tapi tempat solat terbaik wanita ialah di rumah, 6 info perlu tahu

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!