Suami hati-hati halau isteri dari rumah boleh jatuh talak, ini penjelasan Dr Zulkifli

A
A
A

Suami hati-hati halau isteri dari rumah boleh jatuh talak, ini penjelasan Dr Zulkifli

PERKAHWINAN merupakan sebuah ikatan suci yang memberi pelbagai nikmat disertai amanah dan tanggungjawab.

Namun begitu, sebagai manusia biasa kita tidak dapat menafikan wujudnya pasang surut dalam setiap perhubungan.

Bak kata pepatah sedangkan lidah lagi kan tergigit. Tiada pasangan yang tidak menghadapi masalah. Langit tidak selalunya cerah. Pasti akan ada cabaran dan masalah yang mendatang.

Bila timbulnya masalah dalam bahtera yang dibina, mulalah terbit bibit pergaduhan. Ada suami yang menghalau isteri keluar dari rumah.

Seperti seorang wanita ini yang dalam dilema adakah talak sudah terjatuh apabila suaminya banyak kali sudah menghalaunya keluar rumah dan berkata "aku tak nak tengok muka kau!", "kau berambus dari rumah ni!" dan "aku akan lepaskan kau".

Dengan itu, mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakriada penjelasannya;

Dalam menjawab persoalan itu, seperti yang diterangkan terlebih dahulu, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu secara kinayah atau majaz dan keduanya secara sarih atau hakikat.

"Adapun secara sarih atau hakikat seperti lafaz cerai, berpisah dan beberapa kalimat yang lain yang memberi makna talak, maka ia adalah talak tanpa syak lagi dan tanpa perlu ada niat.

"Sebaliknya, jika lafaz kinayah atau majaz contohnya, kata lelaki pada isterinya: “kamu bebas daripada aku!” atau “pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya.

"Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak," ujarnya.

Baca juga Penceraian hakam jalan terakhir suami enggan lafaz talak, 20 fakta wanita perlu tahu

Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462)

"Justeru, berdasarkan pengamatan kami, dalam hal ini termasuk dalam kinayah yang memerlukan kepada niat.

"Jika si suami berniat untuk menceraikannya maka jatuhlah talak. Sebaliknya, jika tidak, maka tidak jatuh talak.

"Saya suka nyatakan, janganlah mempermainkan isu talak kerana ia perkara halal yang paling dibenci oleh ALLAH SWT," ulasnya.

Baca juga Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai ALLAH adalah talak.” - Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Begitu juga, sama ada kita bersungguh atau bergurau ia juga boleh menyebabkan berlakunya talak. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.” - Riwayat Abu Daud (2194)

DR ZULKIFLI

Pun begitu, nasihat beliau, bagi mendapat kepastian, silalah rujuk ke mahkamah Syariah yang terdekat dengan anda kerana keyakinan kepada keputusan yang diperoleh dari hakim adalah bersifat muktamad.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” - (Surah al-Furqan: 74)

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca