MENYEDARI isu kesihatan mental di Malaysia semakin membimbangkan terutamanya selepas endemik Covid-19, Suria KLCC tampil bersama-sama mendukung kepentingan kesihatan mental.

Baru-baru ini, pusat beli-belah terkemuka itu dengan kerjasama The Body Shop melancarkan kempen kesedaran (bermula 10 Oktober hingga 10 November depan) dalam mengajak masyarakat untuk mengubah stigma isu berkenaan.

Ia turut disokong Persatuan Kesedaran & Sokongan Kesihatan Mental (MIASA) dan pertubuhan bukan kerajaan, The Green Ribbon.

Kempen yang memperkenalkan tagline dengan #Youmatter antara lain mengetengahkan konsep kesedaran dengan mengetengahkan kehalusan karya seni oleh artis belia yang mempunyai pengalaman penyakit mental.

Ia dipaparkan di pintu masuk Park Mall dari 3 Oktober sehingga 10 November depan.

Serentak dengan itu, Suria KLCC juga melancarkan satu ruangan Safe Space@Suria KLCC untuk kegunaan komuniti.

Ia reka khas untuk orang ramai untuk membincangkan isu atau permasalahan kesihatan mental.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brian berkata, Safe Space@Suria KLCC merupakan hasil usaha sama pakar dan professional kesihatan mental.

“Kami mengalu-alukan komuniti untuk berinteraksi, berkongsi dan menghayati kesedaran kesihatan mental. Kami juga ingin memastikan setiap pengunjung yang berkunjung ke laman Safe Space@Suria KLCC akan pulang dengan informasi yang lebih mendalam tentang keadaan diri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama yang juga merangkap Presiden Green Ribbon Group, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkata, usaha yang diperkenal itu perlu dikekalkan untuk mengetengahkan sokongan kepada mereka yang mempunyai masalah mental.

“Dapat dilihat fokus kesihatan mental terhadap golongan belia pada tahun ini sejajar dengan haluan Green Ribbon Group. Kami amat berbangga dengan kesempatan untuk menggerakkan pelbagai program yang memfokuskan tahap pemahaman kesihatan mental yang tinggi, cara pengurusan diri dan program rakan sebaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengasas dan Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, keadaan masyarakat sekeliling adalah tanggungjawab bersama dan bukan perlu digalas oleh sektor kesihatan sahaja.

“Wajar untuk kita mengambil kira kesihatan mental masyarakat sekeliling dan lebih mengetengahkan sokongan yang berbentuk persefahaman komuniti supaya sedikit sebanyak dapat meringankan beban pekerja kesihatan serta mewujudkan satu kelompok yang harmoni,” tuturnya.

Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Datin Mina Cheah pula berkata, adalah penting untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental dan kesejahteraan, terutamanya untuk golongan muda.

Iklan

“Belia adalah tunjang harapan negara dewasa ini. Mendepani stigma negatif, pembinaan sahsiah diri dan memperkasa harga diri adalah bentuk kerjasama komuniti yang diperlukan bagi membantu para belia mencapai tahap potensi diri,” jelasnya.

Sehubungan itu, kepada anda yang mempunyai masa, anda dialu-alukan ke Safe Space@Suria KLCC di aras satu Ampang Mall. Ia dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti bengkel kesihatan, ceramah dan diskusi daripada panel professional kesihatan mental.

Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu kesihatan mental daripada sukarelawan yang akan ditempatkan di Safe Space@Suria KLCC.

Untuk informasik berkaitan, layari www.suriaklcc.com.my dan www.facebook.com/SuriaKLCCMall.

Iklan

Kredit foto: Suria KLCC

Baca juga: Rasa kosong petanda masalah mental, pakar perjelas situasi itu dan cara terbaik atasinya

Baca juga: Anak terdedah kepada masalah mental jika masih tidur satu bilik dengan mak ayah. Ini kata pakar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.