‘TERGAMAKNYA buat kepada darah daging sendiri’!

Demikian komen warga maya yang mengikuti video tular remaja dikenali sebagai Zulhaziq. Viral sehingga 2.9 juta tontonan, rakaman berkenaan memaparkan ibu saudaranya yang mencaci dan menghina beliau selepas didakwa mencalarkan kereta milik wanita itu.

Berlaku pada 1 Syawal, video berdurasi 1 minit 51 saat itu memaparkan tangkap layar mesej perbualan dan audio remaja itu dan ibu saudaranya yang dihantar menerusi aplikasi Whatsapp.

Sungguh meruntun hati, tidak cukup dituduh, Haziq dan adik-beradiknya juga dihalau keluar dari rumah ketika menyambut hari raya Aidilfitri.

Baca juga: Tragedi hujung Ramadan, empat anak yatim piatu. Hajat beli baju raya tak sampai, suami isteri rentung kemalangan

Baca juga: Anak yatim piatu 11A SPM terima lebih 10 tawaran pengajian & biasiswa, rezeki mencurah berbakti kepada ibu sakit

“Permulaan hari raya, terima kasih atas segala hinaan ni,” titipnya.

Dalam rakaman video yang dimuat naik, wanita berkenaan tidak hanya mencaci tiga beradik itu dengan kata-kata kesat, malah turut menghina arwah ibunya yang telah meninggal dunia pada Januari lalu.

Warga maya meluahkan rasa geram dan kecewa. Tidak kurang menganggap insiden berkenaan keterlaluan. Ujar mereka:

– “Awak lahir daripada ibu yang hebat, oleh sebab itu ALLAH memilih awak untuk menghadapi ujian ini. Awak anak yang hebat, moga berjaya.”

– “Tergamaknya buat kepada darah daging sendiri. Tabahlah anak muda.”

– “Ya ALLAH tajamnya kata-kata.”

– “Kita yang mendengarnya pun sedih dan sakit hati apatah lagi orang yang mengalaminya.”

Baca juga: Pernah menghuni rumah anak yatim jadikan Nurul Fadzilah lebih cekal, tahu isi hati dan kesusahan rakyat 

Baca juga: Harta peninggalan milik penuh anak lelaki, jangan abaikan hak anak yatim begitu berat hukumannya

Memetik laporan mStar, insiden tersebut bermula apabila mak ciknya menjumpai kesan calar pada kereta miliknya dan terus menuduh tiga beradik itu tanpa usul periksa.

“Tuduhan berkenaan dilakukan dalam grup famili. Kutuk dan memaki arwah emak saya yang baru meninggal.

“Paling saya sedih ialah orang yang dikutuk itu sudah tiada, iaitu emak saya dan kakaknya sendiri.

“Saya sudah bertanya adik-adik dan saya sendiri tidak akan melakukan perkara itu. Tidak pasti ia (kesan calar) itu yang lama atau baharu,” katanya.

Haziq yang berkongsi video berkenaan di laman sosial TikTok pada mulanya tidak menyangka perkara itu akan menjadi tular.

Baca juga: Jangan beza-bezakan anak yatim, berdosa sakiti mereka

Baca juga: ‘;Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

“Saya buat perkara itu bukan untuk viralkannya. Memang TikTok adalah platform untuk saya meluahkan segalanya.

“Malah sebelum ini ketika menjaga ibu sakit pun saya muat naik di sana. Saya tidak terfikir pun video berkenaan akan viral.

“Namun apa yang dikatakan olehnya memang sangat pedih. Itu hanya dalam voice note, yang beliau cakap secara bersemuka lebih pedih lagi,” kongsi Haziq.

Ujar pemuda itu, kejadian tersebut berlaku ketika beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Cherating.

Iklan

Namun, ibu saudaranya itu menyuruhnya berpatah balik semula ke rumah untuk menyelesaikan hal tersebut dan membuang pakaian mereka selepas mengirim kata-kata kurang manis.

“Beliau mengugut untuk membakar pakaian kami jika kami tidak balik.

“Namun, selepas saya balik, pakaian tersebut tidak dibakar, sebaliknya dibuang ke luar rumah bersama sampah-sarap.

“Mujur ada jiran sebelah yang tolong kutip dan cucikan pakaian kami,” ujar Haziq.

Melihat beg pakaian miliknya dan adik-adik diluar rumah, Haziq mengakui sangat kecewa. Apatah lagi apabila nama ibunya disebut-sebut dan dikutuk.

“Saya berasa sangat sedih kerana darah daging sendiri yang buat begitu.

“Jika beliau menghina kami, saya boleh bertahan lagi. Tetapi apabila orang yang sudah tiada disebut-sebut. Saya memang sangat terkilan dan menangis. Kubur emak pun masih merah lagi,” katanya.

Dalam pada itu Haziq cuba bertahan dan bersabar, Haziq berharap perkara itu diselesaikan dengan baik.

Iklan

“Saya cuba untuk menjernihkan keadaan namun tidak berupaya dan hanya mampu bersabar.

“Saya harap beliau dapat membuka matanya kembali dan merenung kembali apa yang dilemparkan kepada kami dan kesal dengan perbuatan.

“Saya bukan ingin meminta wang ringgit tetapi hargailah kami. Kami sudah kehilangan ibu, pertalian persaudaraan (dengan ibu saudara) masih ada lagi. Harap jangan putus,” katanya.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, semoga hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Sumber: YouTube, TikTok

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!