BAGI mengukuhkan kedudukan dan kredibiliti, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air), Awesome TV menerbitkan program Berita 757.

Program yang konsisten mengupas kandungan berita berkaitan isu-isu semasa dan sensitif yang dekat dengan masyarakat tanpa berpihak kepada mana-mana pihak itu mula dilancarkan pada 1 Februari lalu bersiaran secara langsung pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 7.57 malam di platform Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112.

Menerusi durasi 33 minit, Berita 757 membawakan laporan harian yang merangkumi berita-berita nasional, tempatan dan luar negara merentasi segmen politik, isu semasa, ekonomi, jenayah, hiburan dan sukan.

Program tersebut dikemudikan oleh empat personaliti berita yang bertanggungjawab untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir iaitu Dr. Mohd Ghazali Taib, Ain Syuhada Ahmad Bohari, Nadhra Mohd dan Adriana Ghafar.

Bagi menyuntik kelainan unik dan segar daripada segi penyampaian dan persembahan secara visual, figura tersohor tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil dilantik sebagai tenaga pengajar.

Iklan

Pak Nil diberi kepercayaan untuk melatih serta membimbing mereka dalam silibus pembinaan karekter, pembentukan bahasa tubuh yang efektif merangkumi ekspresi wajah, gerakan badan, lontaran suara, disiplin pengucapan awam terutamanya di hadapan kamera, teknik berinteraksi, penjagaan tata rias dan sebagainya.

Iklan

Sekadar informasi, Awesome TV telah pun memulakan operasinya sejak Ogos 2020 dan menyiarkan program-program menarik tempatan dan luar negara, menerusi segmen Drama, Bicara (rancangan bual bicara), Kids, Hiburan dan Komedi.