LEBIH 20 tahun bergelar anak seni, penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak menempuh pengalaman baharu apabila merakamkan sebuah lagu raya dari rumah.

Cerita Dayang Nurfaizah Awang Dowty, Di Pagi Raya Ini merupakan lagu raya pertama daripadanya. Walaupun perlu melalui proses rakaman yang agak mencabar, namun berbaloi.

“Saya dapat lagu ini dua minggu sebelum Syawal. Apabila Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar memberitahu tentang projek lagu raya ini, saya memang tertarik.

“Sebelum ini, saya lebih suka dengar lagu raya lama, sebab itu walaupun sudah 20 tahun berada dalam industri, saya tidak tergopoh-gapah tampil dengan lagu raya.

“Bagaimanapun, berbeza dengan Di Pagi Raya Ini kerana bila saya dengar melodi dan lirik, saya terus tertarik. Apatah lagi lagu ini sesuai dengan situasi raya tahun ini.

“Jadi saya tak kisah untuk melabur sedikit duit membeli kelengkapan asas bagi merakamkan lagu ini sendiri di rumah,” ujarnya dalam sesi temu bual menerusi sidang video kelmarin.

Di Pagi Raya Ini merupakan lagu dan lirik hasil ciptaan Izham Omar. Audi Mok pula bertindak selaku penerbit dan penggubah lagu. Ia turut mendapat kerjasama daripada Celcom Axiata Sdn Bhd.

Lagu dan lirik lagu itu digubah khas untuk petugas barisan hadapan  yang bertungkus-lumus mengharungi detik getir memerangi wabak Covid-19.

Tambah Dayang Nurfaizah, rakaman lagu Di Pagi Raya Ini juga memberi cabaran yang tersendiri kerana dia ragu-ragu seandainya kualiti rakaman tidak seperti apa yang diharapkan.

Namun, wanita berusia 39 tahun itu berasa lega apabila Audi Mok memuji hasil rakaman tersebut.

“Biasanya saya ambil masa dua hingga tiga jam untuk rakamkan sebuah lagu, tapi bila buat semua sendiri, rakam dari rumah, saya ambil masa sehari untuk siapkan rakaman.

“Bila dah siap rakaman, timbul pula rasa ragu-ragu, okey ke rakaman itu? Apa pun sejak awal lagi, saya bersama Ahmad Izham dan Audi banyak berbincang.

“Saya juga ada rujuk mood bagaimana yang mereka mahukan. Saya anggap pengalaman ini cukup berharga kerana saya dapat belajar benda baharu,” jelasnya yang menyiapkan muzik video tersebut empat hari sebelum 1 Syawal.

Iklan

Di Pagi Raya Ini boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube.

Sedih

Dalam pada itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Dayang Nurfaizah berkata, dia terpaksa beraya di Kuala Lumpur bersama ayah, anak saudara dan dua sepupunya.

Malah, ia juga menjadi lebaran yang berbeza apabila buat pertama kalinya tidak dapat menyambutnya bersama ibu tercinta.

Iklan

“Ibu saya pulang ke Kuching sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan manakala saya di Kuala Lumpur bersama ayah dan anak saudara.

“Sedih sangat sebab ini pertama kali saya beraya tanpa ibu di sisi. Begitupun, PKP ini merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga apabila setiap hari membuat panggilan video.

“Saya juga belajar untuk menyediakan juadah pagi raya dengan bantuan ibu menerusi panggilan telefon,” katanya.