MESKIPUN pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda reda, selain Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih lagi dilaksanakan di seluruh negara, aktiviti seni dan sastera masih terus dijalankan secara aktif menerusi pelbagai cara dan pendekatan.

Terbaru bersempena sambutan Hari Merdeka ke-64, Meja Poedjangga menerusi kerjasama dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (Melaka) serta Ikatan Persuratan Melayu bakal tampil dengan persembahan Dondang Puitika Melaka.

Acara seni tersebut merupakan sebuah konsert muzikalisasi puisi yang diadakan secara atas talian dan bakal disiarkan pada 31 Ogos depan.

Menariknya persembahan tersebut akan menghimpunkan barisan seniman dan tokoh terkenal negara termasuk Penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara iaitu Prof. Dr. Lim Swee Tin dan Zaen Kasturi, Lin Haslinaz (Deklamator Kebangsaan), Liza Yamis dan Rani Embi (Tokoh Seni dan Budaya Negeri Melaka).

Konsert muzikalisasi puisi itu juga menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Meja Poedjangga Malaysia yang juga merupakan penyanyi lagu puisi, Umar Uzair mempersembahkan empat buah lagu puisi. Tidak ketinggalan persembahan Dondang Sayang dari JKKN Melaka.

Iklan

Menurut Umar, Dondang Puitika Melaka merupakan cetusan ideanya sendiri dalam usaha untuk terus mengangkat sastera dan kesenian negara.

“Saya menyambut baik perhatian yang diberikan pihak kerajaan berkenaan sedikit kelonggaran untuk pekerja seni berkarya dan berharap pada tahun ini dan seterusnya pandemik tidak menghalang kita untuk mengadakan program sama ada secara langsung ataupun dalam talian.

Iklan

“Sasterawan dan seniman seharusnya terus maju ke hadapan bersama manfaat teknologi. Persembahan secara norma baharu ini kita usahakan sebagai satu cara agar masyarakat tidak melihat sastera terkebelakang,” katanya yang tampil dengan single baharu berjudul Cenderawasih dari album puisi Hasrat Sang Enggang.