PENGLIBATAN penyanyi dan komposer kelahiran Aceh, Indonesia ini dalam industri muzik Malaysia bukan baru bermula.

Mungkin namanya agak asing buat peminat muzik tanah air, namun Yuka Kharisma belum mengalah untuk membuktikan bakatnya biarpun sudah lapan tahun di sini.

Terbaru, Yuka yang juga peserta rancangan realiti Indonesian Idol musim kelima (2008) itu mengatur langkah menjadi artis di bawah syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment.

“Saya sebenarnya sudah lama berada di Malaysia semenjak 2004 lagi kerana ayah pernah bertugas di Petronas dan saya sendiri mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi Malaysia sangat dekat di hati saya. Sebab itu sebaik berakhir Indonesia Idol, saya memilih untuk memulakan karier muzik di sini.

“Sebelum ini, saya hanya bergerak dan mengatur karier sendiri. Tetapi kini dengan bantuan Rocketfuel, saya percaya mereka mampu meroket kerjaya saya,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Melihatmu Bahagia yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Sebagai permulaan, Yuka tampil dengan sebuah single hasil ciptaan bersama suaminya, Ahmad Jeffny yang juga pemuzik serta komposer berjudul Melihatmu Bahagia.

Bercerita lanjut mengenai single baharunya itu, Yuka berkata, lagu tersebut menterjemahkan rasa rindu terhadap ibunya yang kini berada di Jakarta.

“Lagu ini memang saya tujukan buat ibu dan anak saya, Ahmad Avisenna (4 tahun). Ia menceritakan pengorbanan seorang ibu melihat anaknya bahagia.“Lebih bermakna, saya selitkan kata-kata ibu saya iaitu ‘masihkah ada masa yang tersisa, untuk kita kembali bersama’ dalam lagu ini.

“Tatkala ibu mendengar lagu ini, dia menangis dan saya sendiri sebak ketika proses rakaman,” katanya.

Tambah Yuka, proses rakaman Melihatmu Bahagia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan dan dilakukan di kediamannya sendiri.

Iklan

“Demi mematuhi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya bersama suami ambil keputusan melakukan kesemuanya di rumah,” katanya.

Yuka kini menetap di Malaysia bersama suami dan anaknya.

Hasrat bawa ibu tinggal bersama

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai ibunya, Yuka berkata, kerinduan terhadap keluarga terutama ibunya itu sudah lama terpendam sejak mereka ‘terpisah’ ekoran penularan Covid-19.

Iklan

“Sebenarnya saya sudah merancang untuk membawa ibu tinggal bersama, lebih-lebih lagi dia sudah berusia lebih 60 tahun.

“Bagaimanapun, perancangan itu tergendala disebabkan Covid-19. Jadi saya masih tunggu waktu sesuai.

“Keadaan Covid-19 di Indonesia memang membimbangkan, sanak saudara jauh ada yang dijangkiti wabak itu dan meninggal dunia. Namun, alhamdulilah, saya bersyukur Allah masih melindungi keluarga di sana,” katanya.