SETELAH 16 tahun bergelar artis rakaman, penyanyi rap dan penerbit, MC Syze memberanikan diri menubuhkan label muzik miliknya sendiri yang dinamakan Trigger Happy Records.

Projek perdana yang dilancarkan di bawah label itu merupakan sebuah album penuh milik Syze sendiri berjudul Syze Does Matter dengan menampilkan 13 buah lagu keseluruhannya.

Single pertama daripada album itu, ATCL (A Thing Called Love) yang dirasmikan pada 9 Julai lalu telah mengumpulkan lebih dari 130,000 pendengar di hampir 50 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Switzerland, Singapura dan Malaysia.

Terbaru, Syze melancarkan single yang dipetik daripada trek ke tujuh album itu, berjudul Selamba di mana ia menampilkan ikon hip-hop serta presiden DefJam Asia Tenggara iaitu Joe Flizzow.

Mengulas tentang penampilan Joe dalam single tersebut, Syze berkata, dia berbesar hati memilih Joe untuk menjadi penyanyi undangan dalam lagu itu kerana perkataan ‘selamba’ sangat menepati karakter penyanyi rap tersohor itu.

“Saya membesar dengan mengikuti dan mendengar lagu-lagu Too Phat. Joe merupakan seorang ikon dalam industri, malah idola ramai orang termasuk saya.

“Segalanya tentang Joe merangkumi perkataan ‘selamba’ dan memang kena betul dengan karakternya.

“Cara Joe menulis juga tidak terlalu sukar, malah senang untuk pendengar dan masyarakat hadam dan menyanyikan semula.

“Joe merupakan mentor yang hebat untuk saya dari tahun 2004 hingga sekarang,” ujarnya yang pernah tampil dalam siri cypher Joe Flizzow – 16 Baris.

Sementara itu, bagi Joe Flizzow pula, lagu Selamba merupakan penawar untuk tahun 2020 yang dianggap banyak memberi dugaan kepada semua.

“Kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan merupakan sesuatu yang segar untuk industri muzik.

“Lagu ini mempunyai elemen R&B dan rap, genre yang boleh dikatakan semakin kurang di Malaysia dan lagu ini memang sesuatu.

Iklan

“Ini merupakan kombinasi yang sesuai dan lagu ini senang didengar. Sebuah lagu ceria untuk mengakhiri tahun 2020 dan menjadi pembuka yang baik untuk 2021.

“Muzik selalu menjadi penawar untuk banyak perkara. Selamba, kami rasakan satu penawar yang hebat untuk mengakhiri 2020,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut tentang single tersebut, Syze menjelaskan, selamba baginya bermaksud santai, tenang dan fokus. Malah dengan menjadi selamba, dia berjaya mengatasi halangan dan mencapai kemajuan positif dalam karier.

“Saya mahu mendorong masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan pola fikir selamba ini.

Iklan

“Apabila menjadi selamba, seseorang dapat membuat keputusan lebih bijak dan progresif untuk tahun 2021 kerana 2020 merupakan tahun penuh tekanan buat semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, muzik video Selamba yang telah dilancarkan pada 18 Disember lalu menerusi saluran YouTube MC Syze, diarahkan oleh ATG dan turut menampilkan Sonaone, Darren Ashley, Orumari serta Azique Beats.

 

(FOTO: Trigger Happy Records)