Syoknya uji keberanian PWAP di Putrajaya, ada 4 tarikan baharu boleh lonjakkan adrenalin. Penat beriadah, boleh rehat dalam glamping
MUNGKIN ada yang beranggapan, Putrajaya hanya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan sahaja, sebenarnya anda kena betulkan kembali tanggapan tersebut.
Ini kerana, lokasi itu kini semakin dikenali sebagai destinasi liburan mesra keluarga terutama untuk aktiviti percutian yang singkat.
Tarikan terbaharu, Putrajaya Wetland Adventure Park (PWAP) menawarkan empat cabaran keberanian mampu menguji adrenalin pengunjung khususnya anak muda.
Penyelianya, Muhamad Azan Salziali berkongsi keunikan terkini PWAP yang menjanjikan keseronokan untuk aktiviti flying fox, leap of faith, abseiling dan wall climbing.
“Uniknya, flying fox kami sepanjang 420 meter (m) merentasi tasik, manakala leap of faith boleh menguji keberanian dengan melompat setinggi 13m dari menara.
“Tidak cukup dengan itu, cabar andrenalin kalian dengan aktiviti abseiling setinggi 13m. Wall Climbing setinggi 10m wajib dicuba kerana memiliki lima tahap kesukaran dengan dua laluan,” katanya yang beroperasi sejak 16 Ogos lalu.
Masih belum puas berseronok? Apa kata cuba penunggangan lasak ATV dengan laluan berbukit yang dikelilingi pokok hutan dan getah yang cukup mendamaikan.
Jarak pemanduan sepanjang 4 kilometer itu membolehkan peserta menikmati pemandangan indah di puncak bukit setinggi 100m dan panorama tasik semula jadi.
Muhamad Azan memberitahu, idea tersebut tercetus kerana mahu memeriahkan keistimewaan PWAP yang sebelum ini sudah memiliki tarikan tersendiri seperti aktiviti glamping, aktiviti air dan berbasikal.
“Kebetulan, ada tanah kosong seluas kira-kira 60x80 kaki persegi yang sesuai untuk dijadikan projek sokongan PWAP bagi memeriahkan lagi aktiviti liburan sama ada hari biasa dan hujung minggu.
“Jangan bimbang soal keselamatan kerana semua staf memiliki sijil pentauliahan dan berpengalaman untuk semua aktiviti adventure yang ditawarkan,” ujarnya yang mengajak orang ramai untuk datang beriadah di sana.
Cerita Muhamad Azan, mereka yang ingin menikmati percutian singkat dengan suasana alam semula jadi disyorkan untuk mencuba penginapan 21 glamping yang ditawarkan di Glow Putrajaya.
“Jika mahukan suasana perkhemahan sebenar, kami juga menyediakan 48 tapak yang lengkap dengan kemudahan sempurna termasuk kolam air lengkap dengan permainan.
“Setelah puas berehat dan bermain air, bolehlah cuba aktiviti air seperti berkayak, paddle bot dan memancing di Lake Recreation Centre dan Pusat Rekreasi Air Taman Botani,” tuturnya.
Soal makanan bukanlah isu besar kerana terdapat banyak pilihan premis makanan enak yang boleh kalian singgah di Putrajaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang