PRIHATIN dengan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu negara ini seringkali tampil menghulur sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap pemurah. Malah dalam Islam kita juga digalakkan bersedekah.

Salah satu NGO yang aktif, Persatuan Muafakat Darul Ehsan (PAKAT) tampil menghulurkan bantuan dalam Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan pada 2 Mac  hingga 22 Mac 2022 lalu.

Antara lokasi yang terlibat ialah Masjid Jamek, Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan Jalan Ipoh.

Ketua Pengarah Program, Datuk Seri Nor Hasnal berkata Program 21 Hari Kasih Mesra Gelandangan itu djayakan bersama dengan rangkaian NGO serta agensi kerajaan.

“Mula-mula rancang nak buat sehari atau dua hari saja seperti selalu. Entah macam mana nak buat kelainan. Ramai yang tanya saya, betulkah nak buat program selama 21 hari, siapa nak tanggung nanti?

“Bagi saya, bila sudah ada niat teruskan saja, dana fikir kemudian. Alhamdulillah dari awal mesyuarat hinggalah program ini dilaksanakan, ALLAH permudahkan segala urusan. Ada sahaja pihak yang tampil untuk menghulur bantuan.

“Kita jalin kerjasama dengan NGO yang sedia ada. Sehingga kini sudah ada 101 NGO yang turut serta. Hingga saat akhir masih ada lagi tiga NGO yang menyertai dan kesemuanya adalah 115 NGO yang mengambil bahagian,” jelas Nor Hasnal.

DIIKTIRAF MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Memandangkan ini adalah kali pertama sekumpulan NGO bergabung, program tersebut turut diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai Program Amal Gelandangan dengan Penyertaan NGO Terbesar di Malaysia.

Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan dengan tema Tangan Dihulur, Budi Ditabur, Kasih Disemai itu bertujuan untuk membantu golongan gelandangan dan insan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menghulurkan barangan keperluan seharian dan makanan.

“Program ini memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui bantuan yang disediakan, pembangunan sosial yang profesional dan perkongsian tanggungjawab strategik.

“Malah pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk melahirkan ahli-ahli, pelapis pertubuhan serta persatuan yang jelas matlamat dan tujuannya serta lancar gerak kerjanya hasil daripada kesepakatan bersama.

“Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Segala kerjasama dan sokongan semua pihak sama ada terlibat secara langsung atau tidak amat diharapkan,” kata Nor Hasnal lagi.

Baca juga: Uniknya Fenomena Tanpa Bayang Di Tanjung Piai, Tanah Paling Selatan Benua Asia

Baca juga: Bayaran Fasa 1 BKM Berperingkat, Bermula 28 Mac Ini

MAKANAN DAN KIT PENJAGAAN DIRI

Katanya, sepanjang program berlangsung, setiap hari 40 orang peserta dari setiap NGO akan turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Iklan

Antara artis yang turut serta ialah Tauke Raja Lawak, Rahmad Mega, Afee Utopia, Syura, Altimet , Lan Solo, Ayu Damit, Black Hanifah, Bienda, Shieda, Ani Mayuni dan ramai lagi.

Setiap hari selama 21 hari, 200 pek makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering disumbangkan.

Jumlah sumbangan makanan dan kit kebersihan diri yang diberikan kepada gelandangan sepanjang program berjalan adalah sebanyak 4,500 pek.

“Sebenarnya, objektif program ini adalah untuk memberikan pengalaman sebenar kepada peserta (ahli NGO) untuk mendekati masyarakat yang terbiar.

“Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan aktiviti yang positif dijalankan dalam membentuk peserta yang berilmu, berketrampilan, mapan dan bertakwa sebagai persediaan membentuk generasi pelapis dalam masyarakat.

“Menerusi program sebegini, kita dapat mendekati masyarakat gelandangan bagi mengetahui punca sebenar berlakunya keadaan sedemikian buat mereka bagi menghindarkan persepsi negatif dalam minda masyarakat,” katanya.

Baca juga: Untungnya Warga Terengganu! Ini 6 Perincian Bantuan I-Fitri 2022 Dibayar Mulai 17 April Ini

Iklan

TITIK TOLAK

Selain itu, program berkenaan bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli NGO membentuk pembangunan insaniah dan mewujudkan rasa empati dalam diri.

Ujar Nor Hasnal, data gelandangan akan dibawa ke pihak agensi kemahiran kerajaan untuk tujuan mendapatkan latihan yang bersesuaian dan memperkasa jati diri gelandangan.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI