KATA Yusnita Mohd Halip, 45, pemergian suaminya, Zuhaimi Ahmad Shaharan, 56,  akibat kanser pankreas begitu meragut perasaannya.

Semuanya berlaku sekelip mata dan memang tidak disangka-sangka, ujar wanita itu.

“Bayangkan, arwah didiagnosis menghidap kanser berkenaan pada bulan Mac 2019. Tiga bulan selepas itu, beliau  menghembuskan nafas terakhir.

tiga beradik jual sushi tepi jalani

“Kami sekeluarga agak terkejut kerana suami saya tidak menunjukkan sebarang simptom sakit pun,” ujarnya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berkali-kali Yusnita berkata, kehilangan suami tersayang memberi tamparan hebat kepadanya.

“Saya cukup terkesan dengan kehilangan suami kerana Allahyarham yang menguruskan segala-galanya sebelum ini. Saya hanya seorang suri rumah sepenuh masa ketika itu.

“Terus terang saya katakan, suami yang bekerja dengan sebuah firma guaman ketika hayatnya membuatkan hidup kami sekeluarga selesa. Namun, ketiadaannya membuatkan saya terpaksa bermula dari bawah semula,” ceritanya penuh sebak.

Pun demikian, Yusnita berkata, beliau enggan membiarkan dirinya terus larut dengan emosi sedih.

Justeru, selepas beberapa ketika, dirinya bangkit memulakan perniagaan di kantin sekolah pada awal tahun 2020.

tiga beradik jual sushi tepi jalani

“Sayangnya, bisnes itu dapat bertahan sekejap saja gara-gara wabak Covid-19. Kehidupan saya kembali terhimpit kerana sekolah ditutup sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau menerima sebarang bentuk bantuan ibu tunggal, Yusnita menghela nafas panjang.

“Bukan saya tidak pernah memohon sebarang bantuan untuk ibu tunggal atau anak sekolah, tetapi prosedurnya membuatkan saya putus asa. Susah nak komen lebih-lebih.

“Bila ditanya pihak berkenaan mengenai kereta peninggalan suami pula, mereka kata saya mampu tanpa sebarang bantuan. Entahlah,” katanya dengan sedikit nada kesal.

Bisnes Ninja Sushi

Bagaimana pula dengan keadaan lima anaknya pula? Ujar wanita itu, anak-anak agak kemurungan  selepas kehilangan ayah yang sangat disayangi mereka.

Keadaan itu semakin menjadi-jadi apabila rezeki mereka sekeluarga terputus akibat pandemik. Lebih memburukkan situasi, anak-anaknya yang sudah bekerja, ada dipotong gaji.

“Melihat itu semua membuatkan saya ingin melakukan sesuatu bagi ‘menaik taraf’ kembali kehidupan kami enam beranak.

tiga beradik jual sushi tepi jalani

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk kembali berniaga di jalanan dan saya memilih bisnes francais Ninja Sushi,” kata wanita gigih berkenaan.

Beliau tidak berseorangan dalam melakukan itu semua, sebaliknya dibantu oleh tiga anaknya iaitu Noor Arysha, 21, dan Noor Adriana, 20, dan Noor Adila Zuhaimi, 16, yang setia menemani.

Iklan

“Saya sebenarnya berat hati untuk membenarkan tiga beradik perempuan itu yang tiada pengalaman berniaga di tepi jalan.

“Lagipun, jarak tapak niaga juga jauh dari rumah (Cheras ke Bandar Baru Bangi), tapi mereka cekal dan mahu mengharungi segalanya bersama ibu mereka.

tiga beradik jual sushi tepi jalani

“Sebak hati ini, kalaulah ayahnya masih ada, mereka tidak akan pernah hidup susah. Mana mungkin mereka dibenarkan berpanas ataupun berhujan,” katanya.

Nada pilu Yusnita bertukar ceria sebaik bercerita tentang perkembangan bisnes sushinya.

Ujar beliau, kesungguhan tiga anaknya yang membuat promosi iklan menerusi media sosial menarik perhatian ramai apabila tapak berniaga mereka di khemah tepi jalan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi tumpuan peminat tegar sushi.

Baca juga Inovasi pasangan suami isteri ini buat lemang sushi inti rendang, durian D24 memang luar biasa

Iklan

Bermula daripada empat dulang sushi dengan kapasiti 400 biji, mereka kini mampu menjual hingga 10 dulang pada satu-satu masa.

Bahkan, ada ketikanya, dalam tempoh sejam, semua sushi habis terjual.

“Alhamdulillah dengan rezeki daripada ALLAH ini. Saya selalu nasihatkan anak-anak bahawa hidup berniaga bukannya mudah dan perlu berpijak pada bumi nyata.

tiga beradik jual sushi tepi jalani

“Saya juga beritahu mereka, susah sebenarnya nak pujuk pelanggan untuk mengeluarkan duit membeli jualan kita.

“Justeru, apabila segalanya telah dipermudahkan, kita wajib bersyukur. Paling penting kita selalu ikhlaskan hati dan niat ketika berniaga,” katanya yang pernah berdepan dengan cabaran ditipu, khemah rosak dan karenah pelanggan yang pelbagai.

Sepanjang tempoh PKP ini juga, tiga beradik tersebut tidak membuka gerai buat sementara waktu dan menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah pelanggan.