Gadai gelang emas demi bisnes King Laksa Sarawak, pengorbanan Nur Alya membuahkan hasil

SIAPA sangka, niat asal sekadar membantu suami, namun akhirnya mencambahkan rasa cinta dalam hati untuk serius dalam pernigaaan makanan dan minuman (F&B).

Berbekalkan minat dan kesungguhan yang ada, Nur Alya Mona Jikim menubuhkan empayar perniagaan King Laksa Sarawak pada tahun 2017.

Baca ni ‘Orang yang jaga ibu bapa, orang yang berjaya.’ Kak Ell tidak lupa asal usul, bangga guna nama sendiri untuk jenama produk

Simbolik King adalah bersempena nama suaminya yang juga anak lelaki pertama dalam keluarga.

Ujar wanita hebat berkenaan, dirinya tidak mahu tersalah langkah dengan memasuki dunia perniagaan tanpa memiliki ilmu dalam dada.

Dalam diam, Nur Alya mengatur langkah dan mencari tapak dalam dunia perniagaan.
Langkah pertamanya adalah dengan menggadaikan gelang emas miliknya yang berharga RM5,000.

“Waktu itu, saya berasakan jika mahu terbabit dalam perniagaan, tidak boleh semberono.

“Lantas, duit gadaian gelang itu saya gunakan untuk mendapatkan ilmu dengan menghadiri kelas dan bimbingan oleh Datuk Wira Azizan Osman,” ujar Nur Alya yang bermula dengan 22 orang staf dan kini sudah ada 70 orang.

Bertindak sebagai pengarah dan isteri pengasas jenama itu, Nur Alya mendedahkan bahawa dirinya pernah menimba pengalaman kerja dalam pelbagai bidang sebelum menoktahkan perjalanan karier dalam perniagaan F&B.

“Sebelum ini, saya pernah terbabit dalam bidang koordinator projek, teknologi maklumat, penasihat hutang peribadi, kerani dan pengurus perniagaan.

“Akhirnya dunia perniagaan F&B yang menjadi pujaan hati. Biarpun sedar, persaingan dalam bidang ini cukup sengit dan dikelilingi seribu satu ujian dan cabaran, namun saya optimis, inilah platform terbaik untuk saya membina kerjaya,” ujar ibu kepada dua anak itu yang meluaskan jenama tersebut dengan menawarkan perkhidmatan katering, acara korporat dan persendirian.

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

BUKA CAWANGAN DI LUAR NEGARA

Nur Alya pasti tersenyum puas. Masakan tidak, King Laksa Sarawak kini telah muncul antara jenama makanan popular di bumi Kenyalang.

Malah, syarikat yang berdaftar di bawah Rizalya Sdn Bhd itu kini memiliki dua cawangan restoran iaitu di Kota Samarahan dan ICOM Square.

“Pada era pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu, kami bangkit dengan penuh optimis dan berjaya membuka cawangan kedua di ICOM Square. Alhamdulillah, permintaan dan jualan juga meningkat dengan mendadak naik ketika itu.

“Insya-ALLAH, cawangan ketiga akan dibuka di Metro City, Matang, Kuching. Malah, kami turut menyasarkan untuk membuka beberapa lagi cawangan di bandar besar di sini dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi. Setiap cawangan juga diharapkan dapat mencapai keuntungan RM4 juta setahun,” kata isteri kesayangan Rizal Jamali itu lagi.

Malah, anak jati Sarawak itu turut bercadang meneroka peluang lain dengan melebarkan francais atau perlesenan bagi penambahan cawangan di Sarawak.

“Lima tahun akan datang juga, kami memasang impian mahu membuka cawangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Berkemungkinan awal tahun 2024, kami jangka akan buka cawangan di Bangsar. Insya-ALLAH pada masa sama, ingin mengintai peluang untuk membuka cawangan di luar negara.

“Kami juga mahu terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan tercinta, seiring dengan motto kami iaitu Positive Customer Experience Journey,” ungkap Nur Alya lagi.

Iklan

Untuk makluman semua, kepakaran jenama tersebut adalah menyediakan Laksa Sarawak dengan udang bersaiz besar, isi yang sangat manis, kuah pekat dan likat antara tarikan utama pelanggan. Malah, pes sambal King Laksa turut menjadi kegilaan ramai.

TERJAH KE PASARAN GLOBAL

Menurut wanita yang berusia 38 tahun itu lagi, pihaknya turut melaksanakan sistem operasi perniagaan secara manual bagi memudahkan urusan pasukan kerja dan pengurusan menjalankan aktiviti harian.

Malah, ruang untuk pelanggan memberi maklum balas jika ada sebarang ketidakpuasan hati.

“Pendekatan tersebut seiring dengan visi kami iaitu memasak dan menghidangkan makanan berkualiti tanpa kompromi kepada pelanggan.

“Serentak dengan itu, saya ingin mengangkat menu dan masakan kebanggaan Sarawak ini pada mata dunia.

“Saya juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan dengan bimbingan yang kuat daripada kumpulan kami,” kongsi Nur Alya sambil memberitahu produk jenamanya turut menjadi pilihan selebriti popular seperti Ella, Alyah, Ernie Zakri Sweet Qismina, Adam Lee, Daler Yusuf, Yana Samsudin, Zizan Nin, dan ramai lagi.

Iklan

Hasil usaha gigih, pelbagai kejayaan mula dikecapi Nur Alya.

Antaranya termasuklah Anugerah Top SME CEO, Top 500 Trust Brand Award, Anugerah Pilihan Pengguna menerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara dan pemenang bagi kategori Promising Brand Food & Beverage, Bumiputera Business Excellent Business.

Diminta berkongsi tip pengurusan masa antara kerjaya dan rumah tangga, ini jawapan yang diberikan empunya diri: “Setiap orang harus punya pengurusan masa yang betul termasuklah mempunyai jadual waktu. Masa bekerja buat sebaiknya. Dengan kata lain, kena ada disiplin dengan masa. Jaga juga emosi dan tenaga supaya tidak lemah dan malas.

“Tamat sahaja kerja pukul lima petang, itulah masa saya menjadi isteri sepenuhnya di samping melayan suami dan anak-anak.” ujar Nur Alya sebelum menutup perbualan bersama penulis.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.