Genap sebulan pemergian Zayn Rayyan ibu titip rindu. 'Semua tempat ada kenangan & momen indah'
PEMERGIAN tragis kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih segar di fikiran ramai.
Ditemui meninggal dunia pada 7 Disember tahun lalu di dalam belukar 200 meter dari rumahnya, sehingga ke hari ini kes pembunuhannya masih belum terungkai.
Kehilangan anak tersayang sekelip mata, ibunya, Ismanira Abdul Manaf , 29, menitipkan kerinduan.
"Genap sebulan pemergian anak sulung mommy, mommy rindu sangat nak peluk awal Zayn. Pipi Zayn lembut sangat, setiap hari memang mommy tak lepaskan peluang untuk peluk dan cium kedua-dua anak mommy.
"Kali terakhir mommy dapat cium di bilik forensik, pipi Zayn masih lembut. Sama macam Zayn mula-mula lahir.
"Mommy pegang kepala Zayn lama-lama, mommy cium perut Zayn juga masa tu. Sebab memang setiap hari momy suka cium dan geletek perut Zayn.
Mengenang kenangan bersama, bonda kepada dua cahaya mata itu berharap penjenayah terbabit diheret ke muka pengadilan.
"Allahu sungguh mommy rindu pada awak nak. Semoga ada sinar buat Zayn. Semoga pelaku cepat ditemui dan diberikan hukuman setimpal, aamin aamin Ya Rab Ya Mujib," kongsi Ismanira menerusi Facebook Story.
Dalam pada itu, Ismanira turut berkongsi menerima private message (PM) dikirim warga maya yang sudah jatuh sayang kepada anak syurganya.
Rata-rata mahu beliau terus berkongsi tentang perkembangan kes.
"Ramai komen dan PM maklumkan suka tengok saya post gambar-gambar dam record video mereka (Allahyarham Zayn dan adiknya, Zahin).
"Semua tempat saya pergi ada kenangan dan momen indah. Walaupun hanya pergi lepak makan kedai mamak, saya tetap snap gambar untuk tatapan kemudian hari.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang tidak berhenti memberikan sokongan kepada saya dan keluarga.
"Kami sangat menghargai, terima kasih kerana selalu mendoakan kesejahteraan. Semoga doa-doa tersebut berbalik kepada anda semua, aamiin," titipnya.
Pada 23 Disember lalu, media melaporkan, polis meminta bantuan Interpol bagi membantu siasatan kes Zayn Rayyan yang dipercayai dibunuh selepas ditemukan dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman.
Dalam perkembangan terkini, polis masih menjalankan siasatan lanjut melibatkan kes bunuh kanak-kanak autisme itu. Berikut perkembangannya:
1-Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Polis Antarabangsa (Interpol) namun secara am.
2-Katanya polis masih berusaha mencari petunjuk dan menerima maklumat daripada Interpol namun secara ‘general'.
3-Hussein dilaporkan berkata, bantuan yang diperlukan daripada Interpol dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.
4-Ujarnya, pihak polis memiliki maklumat (tidak didedahkan) yang boleh membantu proses semakan pangkalan data agensi polis itu.
5-Hussein turut dilaporkan berkata, fokus siasatan polis kini adalah untuk mengesan ‘prime crime scene’ atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasi sebenar Zayn Rayyan dibunuh.
6-Ini kerana tempat mayat kanak-kanak itu ditemui adalah ‘second crime scene’ (tempat jenayah kedua) yang mana biasanya polis kurang mendapat keterangan fizikal yang boleh dikaitkan dengan penjenayah.
7-Dalam kes ini, pihak polis berhadapan cabaran untuk mengesan keterangan-keterangan sehingga tertangkapnya suspek atau mereka yang terbabit.
8-Beliau dilaporkan berkata, keadaan kes itu menyukarkan pihak polis untuk mengetahui di mana ‘primary crime scene’ dengan lebih awal.
9-Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seramai 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.
10-Daripada keseluruhan sampel itu, sebanyak 240 sampel sudah dianalisa dan lain-lain sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia kita sudah pun dapat keputusan. Walau bagaimanapun, tiada keputusan positif yang dapat membantu siasatan buat masa ini.
11-Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin menegaskan pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan ke atas kes berkenaan.
12-Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak menerima perkembangan terbaharu berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik.
Sumber: Facebook Izz Manaf, Utusan Malaysia, Astro Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang