GURU bahasa Inggeris, Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Beliau yang sebelum ini tular kerana kegigihannya membawa perubahan dalam pengajaran Bahasa Inggeris kepada murid Orang Asli di sekolahnya di Pahang, turut tersenarai bersama sembilan lagi guru dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, hari ini, Samuel, yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam, dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara.

Anugerah tersebut, yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta), merupakan program pengiktirafan guru yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel merupakan guru yang telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada para pelajarnya yang terdiri daripada Orang Asli agar mempunyai impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkannya ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, yang mana para pelajar boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan pula merupakan projek kerjasama guru tersebut dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya para pelajar boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Tahun lalu, Cikgu Sam juga telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru yang berdedikasi tersebut, purata kadar lulusan mata pelajar bahasa Inggeris di sekolah tersebut telah meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018, kata Yayasan Varkey

Iklan

Finalis lain adalah Ranjitsinh Disale dari India, Olasunkanmi Opeifa (Nigeria), Jamie Frost (United Kingdom), Carlo Mazzone (Itali), Mokhudu Cynthia Machaba (Afrika Selatan), Leah Juelke (Amerika Syarikat) and Yun Jeong-hyun (Korea Selatan).

Iklan

Anugerah Hadiah Guru Global diperkenalkan pada 2013 bagi memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang berjaya membawa inpirasi kepada pelajar dan komuniti sekitar mereka.

Pemenang Anugerah Guru Global akan menerima pembayaran hadiah US$1 juta secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun.

Fuh, rezeki betul ni kalau menang! Tahniah cikgu Sem atas percalonan, semoga kemenangan berpihak kepada anda.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.3 juta).