SETIAP kali tiba hari raya, sudah menjadi trend syarikat-syarikat besar membuat video berbentuk iklan bagi memberi penghayatan dan penghargaan.

Seperti iklan raya RHB Bank Berhad mula disiarkan sejak dua hari lalu yang meraih hampir 1 juta tontonan.

Siapa sangka babak video berdurasi 5 minit 27 saat itu sebenarnya adalah kisah benar yang dialami sendiri peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar 26 tahun lalu.

Baca juga: Iklan raya mangkuk tingkat, rupanya kisah Makcik Saadiah kayuh basikal, hantar makanan walau suami sudah tiada

Iklan berkenaan yang menggunakan jalan cerita sama meruntun hati ramai. Ujar mereka:

– “Walaupun sudah tahu kisah ini, tapi apabila dihasilkan dalam bentuk filem pendek. Still touching sangat, terbaik.”

– “Memberi kesan yang sangat mendalam. Kita tak perlu menjadi ‘kaya’ untuk membantu orang lain. Jadikanlah diri kita yang terbaik supaya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat didalam pembikinan naskah yang terbaik ini.”

– “Subhanallah. Lakonan yang sangat mantap dan menusuk kalbu. Saya tak dapat berselindung, memang menitik air mata. Syabas semua kru.”

– “Kisah inspirasi yang menjadi contoh. Teruskan berbuat baik.”

– “Kadang-kadang kita tidak faham, perkara yang kecil dan tak penting bagi kita, sebenarnya adalah segala-galanya buat orang lain.”

Gara-gara tidak mampu membelikan hadiah untuk anaknya yang mendapat tempat pertama dalam kelas, seorang ibu terpaksa mencuri sebuah kotak pensel!

Baca juga: Nak curi makanan untuk anak, ‘tercuri’ makanan anjing! Kisah benar ini buat ramai menitiskan air mata

Baca juga: Peguam dedah jenis kes orang awam boleh tangkap pesalah. ‘Jangan ikut undang-undang rimba, jatuh hukum sendiri’

Kisah ibu itu yang berlaku pada 1998 menyentuh hati Ahmad Zaharil. Beliau bersyukur dan gembira dengan tindakannya 26 tahun lalu apabila membantu seorang wanita India berusia 40-an tahun yang tiba di mahkamah dalam keadaan tangan bergari adalah tepat.

“Ketika itu, saya sedang bersendirian di bilik mahkamah selepas mengendalikan kes, tiba-tiba wanita tersebut memasuki ruang berkenaan sambil diiringi polis.

“Terdetik pada hati saya untuk mendekatinya dan bertanya mengapa dia dihadapkan ke mahkamah. Rupa-rupanya dia telah mencuri kotak pensel berharga RM18 dari sebuah pasar raya,” ujarnya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Hatinya tersentuh mendengar cerita wanita berkenaan yang telah berjanji sekiranya si anak berjaya menjadi pelajar terbaik, dia akan menghadiahkan kotak pensel.

Namun katanya, disebabkan tidak mempunyai wang yang cukup, dia terpaksa mencuri.

Baca juga: Model kacak kini peguam, kejayaan Aniq Aqil kebanggaan bapa, Dr A. Razak Mohaideen

Tangkap layar YouTube RHB

Selepas mendengar penjelasan wanita berkenaan, Ahmad Zaharil mulai terfikir nasib yang bakal menimpa kanak-kanak tersebut sekiranya dia dipenjarakan atas kesalahan itu.

“Sewaktu menghulurkan bantuan, saya sama sekali tidak memikirkan warna kulit. Sebaliknya saya mengenangkan nasib kanak-kanak itu, siapa yang akan menjaganya? Bagaimana mahu bersekolah jika ibu dipenjarakan?

“Semua itu bermain di benak fikiran dan saya ambil keputusan untuk campur tangan dalam kes berkenaan. Saya bercakap dengan majistret untuk menangguhkan kes itu ke satu masa baharu yang ditetapkan,” jelasnya.

Tanpa berlengah, peguam itu terus ke sekolah kanak-kanak itu di Sentul, Kuala Lumpur semata-mata untuk mengesahkan dakwaan wanita tersebut.

Beliau memberitahu, setelah bertemu dengan guru besar sekolah berkenaan, ternyata benar bahawa budak lelaki itu pelajar terbaik dalam kelasnya.

Iklan

Baca juga: Bayar peguam dengan ketam segar, tak mampu bayar guna duit

Tangkap layar YouTube RHB

Menurutnya, beliau kembali ke mahkamah untuk bertemu dengan pemilik pasar raya dengan menawarkan wang berjumlah RM30 yang mana nilainya dua kali ganda harga kotak pensel itu, namun pemilik pasar raya itu enggan menarik kembali dakwaan tersebut.

“Saya cuba sehabis mampu untuk membantu wanita berkenaan. Alhamdulillah setelah keterangan guru diambil, akhirnya majistret membebaskannya selepas mengikat selama setahun dengan syarat berkelakuan baik.

“Sebelum wanita itu pergi, kami mengumpulkan sejumlah wang hasil sumbangan kakitangan mahkamah, anggota polis dan pihak saya sendiri,” kongsinya.

Mengenang kembali kisah itu, Ahmad Zaharil berkata ia adalah momen yang akan dikenang sepanjang tiga dekad menjadi peguam.

Lebih manis lagi, Ahmad Zaharil berkata, beliau sungguh tidak menyangka dapat bertemu semula dengan budak lelaki itu yanng membesar sebagai pengamal undang-undang.

Segalanya terimbas kembali apabila seorang anak muda yang tidak dikenali menegurnya di mahkamah pada tahun 2017.

Tangkap layar YouTube RHB

“Pada ketika itu, saya berada di ruang legar mahkamah dan secara tiba-tiba seorang anak muda mendekati lalu menegur dan bertanya adakah saya ini, Ahmad Zaharil yang ‘menyelamatkan’ ibunya daripada di penjara?

“Sejujurnya, saya terkedu dan langsung tidak memahami apa yang disampaikan, sehingga dia menyebut kes kotak pensel berharga RM18,” katanya.

Menurut beliau, anak muda berkenaan menangis sebaik sahaja menyapa lalu mengucapkan terima kasih kerana membantu ibunya pada tahun 1998.

Iklan

Sejak itu hubungannya dengan anak muda berkenaan semakin akrab sehingga menganggap dia seperti anak sendiri.

“Selepas pertemuan itu, kami sering berjumpa dan saling melawat antara satu sama lain pada perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Sebuah rentetan dan pertolongan membawa sinar baharu. Semoga kisah peguam baik hati membantu wanita ini menjadi inspirasi buat kita semua agar terus berbuat kebaikan tanpa mengira warna kulit atau agama.

Baca juga: Mampu muktamadkan kontrak dalam masa beberapa minit. Robot AI bakal ambil alih tugas peguam

Sumber: Sinar Harian, YouTube 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!