USIA Saian Abd Ghani pada tahun ini genap 72 tahun. Kalau dicongak kembali, lebih empat dekad warga emas itu memerah keringat dan kudratnya sebagai pendayung sampan di Sungai Selangor, Kuala Selangor, Selangor.

Meskipun sudah bergelar datuk dan pada usia itu selayaknya beliau hanya berehat, namun kata Saian, beliau bukan jenis manusia yang suka goyang kaki duduk di rumah.

“Ya, masih bekerja, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua tergendala.

“Memang rindu sebenarnya nak mendayung bawa pelancong jalan-jalan lihat keindahan kelip-kelip sepanjang Sungai Selangor ini,“ kata beliau ketika ditemui di Kompleks Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan baru-baru ini.

buaya sg selangor

Disebabkan Saian sedang ‘bercuti‘ daripada kerja hakikinya, membuatkan hasrat kru SinarPlus melihat lelaki yang masih berotot dan bersemangat itu mendayung terbantut.

Justeru, penulis memutuskan untuk mengorek rahsia yang sering menjadi bualan masyarakat setempat.

Ya, sebagai seorang mantan wartawan daerah Kuala Selangor, penulis sedikit sebanyak mengetahui tentang sejarah popular Sungai Selangor itu.

Penulis tanpa berlengah bertanya tentang mitos kononnya wujud buaya di sungai itu. Semestinya sebagai ‘otai‘ di kawasan itu, lelaki itu pasti sarat dengan pengalaman.

Imbauan buaya makan orang

Bukan apa, Sungai Selangor terkenal dengan udang galah sepit biru. Orang-orang lama mendakwa, di mana ada udang, di situ pasti ada buaya.

“(Gelak) Bila orang tanya, saya senyum saja. Jika cerita nanti mereka jadi takut dan tidak mahu datang lagi. Pun begitu, inilah tempat dia, jangan dikacau sebab dari dulu lagi memang ada,“ tuturnya.

Nampaknya, anak jati Kampung Sarang Lang itu tidak kisah untuk bersembang lanjut. Daripada berdiri, penulis terus melabuhkan punggung duduk mendengar warga emas itu bercerita.

buaya sg selangor

Katanya, pernah suatu ketika, beliau mendayung membawa pelancong dari Jepun yang teruja melihat kelip-kelip pada waktu malam.

“Masa itu bulan cantik dan terang. Apabila saya mendayung ke arah satu pokok berembang yang penuh kelip-kelip, saya ternampak alur air lain macam.

“Memang nampaklah ‘dia‘ (buaya) yang saiznya besar. Pelancong masa itu sibuk tengok kelip-kelip. Jadi, saya pun undur perlahan-lahan supaya tidak terlanggar ‘dia‘ dan alih ke tempat lain,“ tuturnya.

Iklan

Artikal berkaitan: Awas! Ada buaya di Sungai Kesang, airnya cantik tapi bahaya

Ujar lelaki itu lagi, beliau memang rasa cuak tatkala ‘bertembung‘ dengan sang bedal, namun demi keselamatan pelancong, beliau perlu bertenang.

“Setiap pendayung memang sudah dilatih untuk memastikan pelancong sentiasa dalam keadaan selamat.

“Jika orang tanya kenapa pergi ke arah lain, saya akan bagi alasan ada pokok lain yang lagi cantik. Masa 45 minit dengan jarak hampir 1 kilometer mendayung memberikan pelbagai momen yang tidak boleh dilupakan,“ katanya.

Kisah seterusnya mengenai tragedi buaya makan orang membuatkan penulis terpaku. Ujarnya, kes berkenaan merupakan kisah benar kerana mangsa merupakan bapa saudaranya.

buaya sg selangor

Iklan

“Dulu sungai ini jadi jalan utama untuk ke seberang. Jadi faham-faham sajalah. (Dulu) pernah terjadi, sampan yang saya bawa terjongket sebab buaya muncul secara tiba-tiba di bawah sampan. Rasa nak terjun sungai saja, tetapi kaki saya kaku tak boleh bergerak,“ katanya.

Kepada pengunjung dan kaki pancing yang memburu hasil udang di Kuala Selangor, Saian menitipkan pesan.

“Kalau datang sini, kena jaga adab dan pantang larang. Selalunya lubuk udang ini pasti ada ‘kawan‘, sebab itu makanannya.

“Kalau orang kampung memang sudah biasa. Kalau dapat jumpa (buaya) depan mata memang ‘bertuahlah‘. Cuma saya nasihatkan janganlah teruja sangat,“ katanya yang berharap dapat meneruskan kerja-kerja mendayung dalam masa terdekat.