LINCAH tangan dua beradik cilik ini membantu ibunya yang sibuk menjahit pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) dengan membuang lebihan benang dan perca kain walaupun baharu sahaja berusia dua tahun dan empat tahun.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang suka menghabiskan masa bermain, namun Zyril Isyraf Zamzuri dan Nur Ariana Qistina seolah-olah memahami keadaan ibu bapanya dan kakaknya sibuk menyiapkan PPE.

Kakak sulungnya pula, Nur Afia Qistina, 9, yang sudah pandai menjahit seawal usia lima tahun itu tangkas menyiapkan set PPE tanpa sebarang bantuan pun sekali gus menarik perhatian netizen.

Apa tidaknya, kisah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah itu mulai tular selepas menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO), WomenGirls.

AFIA
NUR Afia Qistina bercita-cita mahu menjadi tukang jahit dan memiliki bengkel jahitan sendiri.

Bagi ibunya, Hasnah Hud, beliau tidak menyangka niatnya sekadar suka-suka berkongsi video menjahit bersama anaknya untuk membantu frontliner di media sosial mendapat sambutan luar biasa.

“Saya tak sangka ramai ambil perhatian sampai pengetahuan media. Namun kami buat semua ini ikhlas nak bantu petugas perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

“Hanya dengan kemahiran menjahit ini, apa salahnya kami bantu ringankan beban lagi-lagi Afia teruja nak bantu jahit baju PPE ini sepanjang ‘cuti’ perintah kawalan pergerakan (PKP),” ceritanya kepada Sinar Plus.

Apabila ditanya mengenai keletah anak-anaknya yang ‘sporting’ membantu, penjawat awam berusia 38 tahun itu bersyukur anaknya memahami tanggungjawabnya.

Iklan
PPE
SI kecil Zyril Isyraf Zamzuri juga tidak ketinggalan membantu ibunya yang sibuk menjahit PPE walaupun berusia dua tahun.

“Saya tak paksa pun anak-anak. Mereka sendiri suka teman dan tolong apa yang patut. Bila mereka tolong buang kain perca dan lebihan benang, saya bagi upah RM1 buat mereka gembira.

“Afia pula saya nampak dia paling minat jahit. Siap tanya macam-macam nak bantu jahit sekali,” ujarnya yang memaklumkan Nur Afia Qistina bercita-cita mahu menjadi tukang jahit dan memiliki bengkel jahitan sendiri.

PPE
WALAUPUN berusia empat tahun namun Nur Ariana Qistina suka membantu memotong lebihan benang dan membuang perca kain.

Seperti insan lain, Hasnah yang mengambil upah menjahit itu turut terjejas dek wabak Covid-19 apabila kebanyakan tempahan baju pelanggan untuk persiapan Aidilfitri dibatalkan.

Iklan

“Saya pun faham keadaan PKP sekarang ini namun tak salahkan pelanggan pun. Bila ramai yang batalkan tempahan, jadi masa terluang ini saya buat PPE tanpa upah untuk bantu frontliner di HTAN Kuala Pilah.

“Saya percaya ada rezeki lain nanti dan walaupun suami seorang penoreh getah yang ambil upah di kebun orang namun kami buat kerja macam-macam. Anak-anak pun faham,” tuturnya penuh positif.