MUFTI Wilayah Persekutuan menegaskan kesefahaman dan perpaduan masyarakat secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian dan keamanan Malaysia, umat Islam perlu saling menghormati.

Agama Islam merupakan agama persekutuan. Bagaimanapun tidak menjadi halangan bagi tiap-tiap warganya yang bukan beragama Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka sama ada Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Animisme, Taoisme, Konfiusme dan sebagainya.

Hal ini jelas telah dinyatakan di dalam Undang-undang Malaysia (rujuk Perlembagaan Persekutuan, Fasal 11). Begitu juga prinsip ajaran agama Islam yang tidak memaksa mana-mana penganut agama lain untuk menganut agama mereka.

Baca juga: Dr Malar tegur wanita Islam pakai tema Bollywood, jangan sampai langgar hukum agama

Kredit foto: RTM

Perpaduan dan saling hormat-menghormati menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan damai. Keadaan ini dapat dikukuhkan lagi dengan berlakunya toleransi yang baik di antara agama. Elemen ini amat sensitif bahkan dianggap sebagai maruah bagi sesebuah bangsa.

Jika timbul isu yang berkaitan agama, maka permasalahan ini perlu ditangani secara bijaksana supaya tidak ada persengketaan yang berlaku. Islam mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati di antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama.

Dalam mengekalkan suasana perpaduan di samping persekitaran masyarakat majmuk dan berbilang bangsa, menjadi tangungjawab pihak kerajaan untuk memainkan peranan dalam menjaga kesefahaman dan perpaduan warganegara Malaysia. Sememangnya menjadi karakter agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian beragama.

Baca juga: Mulanya ditegur cantik, gadis terharu kakak dan aunty India bantu betulkan sari depan LRT

Kredit foto: RTM

Baru-baru ini tular video di laman media sosial, TikTok seorang lelaki memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan Deepavali atau kolam di Hospital KPJ Healthcare. Perbuatan lelaki ini menimbulkan rasa kurang senang warga maya.

Suspek dan perakam video yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu hadir di IPD Klang Utara sekitar jam 11 malam dan telah pun ditahan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Hospital Pakar KPJ Klang dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka dan akan menjalankan siasatan dalaman.
Kita dituntut untuk menghormati hasil kerja orang lain. Jangan sewenang-wenangnya mempermainkan atau merendah-rendahkan kreativiti terutama yang melibatkan fahaman agama.

Bukan mudah sebenarnya untuk membuat kolam. Ia memerlukan daya tumpuan serta ketelitian yang tinggi. Wajarlah untuk kita menghargai hasil seni ini dengan sebaik mungkin.

Iklan

Baca juga: Priyanka Chopra, Nick Jonas teruja sambut Deepavali kali pertama dengan anak

 

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kolam:
-Beras berbagai warna
-Kapur tulis
-Bunga
-Lilin
-Bekas lilin
-Pelita

Langkah demi langkah:
1. Lukis di atas lantai corak yang diinginkan dengan kapur tulis.
2. Mula menghias dengan beras yang berbagai warna.
3. Masa yang diambil untuk menyiapkan satu hiasan kolam lebih kurang tiga jam.
Bayangkan untuk menyiapkan satu kolam sahaja mengambil masa selama tiga jam. Jadi usahlah sewenang-wenangnya memperkecilkan usaha orang lain hanya untuk kepuasan diri sendiri.

Iklan

Baca juga: Sangeeta sediakan hidangan Melayu, Cina, India sempena Deepavali. Buat kollam juga jadi aktiviti wajib 

Sumber: Sinar Harian 1, 2, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, RTM- Radio Televisyen Malaysia
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi