“YA. Saya memang suka menyanyi dan pernah menganggotai kumpulan nasyid semasa di Institut Pendidikan Guru dulu.

Begitulah pengakuan seorang ustaz yang tular baru-baru ini dengan videonya yang mengajar guna kaedah nyanyian.

Ustaz Muhamad Akmal Jamaludin, merupakan Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Palong 8, Jempol, Negeri Sembilan.

Menurutnya, beliau mula menggunakan kaedah nyanyian sejak mula bertugas sebagai guru pada tahun 2015.

“Saya mendapat idea untuk guna kaedah nyanyian dalam pembelajaran ini apabila tengok murid suka menyanyi ketika berada dalam kelas.

“Murid-murid kita tak dapat halang minat dengar lagu. Cuma bila ada lagu yang mereka suka tak berapa cantik liriknya, saya ambil inisiatif untuk ubah liriknya kepada yang lebih bermakna,” katanya kepada SinarPlus.

Ustaz Muhamad Akmal berkata, pada peringkat awal, dia cuma berseloroh dengan murid dan tanya mereka, kenapa susah untuk mengingat fakta pembelajaran tapi boleh ingat pelbagai lagu dengan baik.

“Pertanyaan yang sering saya tanya mereka…’Kamu ni bila belajar tak ingat, menyanyi boleh pula ingat lagunya!”

“Kemudian, terus terdetik dekat hati, kenapa tidak cuba gunakan saja lagu yang  diisi dengan fakta pembelajaran? Mungkin murid boleh cepat ingat,” ujarnya.

Artikel berkaitan: ‘Aku budak pasar… aku mencari rezeki halal buat diri dan keluarga’ – Amat 

Merdu suara ustaz kacak ini, rupanya bekas penyanyi nasyid

Pada awalnya, murid ketawa sebab lagu pertama yang ustaz ini gunakan adalah  bergenre dangdut iaitu Sakitnya Tuh Di Sini.

Mereka ketawa mungkin disebabkan lagu dangdut dibawa ke dalam subjek  Pendidikan Islam. Janggal betul gabungannya.

“Tapi lama kelamaan, murid jadi seronok. Sampaikan setiap kali masuk kelas,  mereka minta saya nyanyi lagu dulu sebelum duduk,” katanya.

Ustaz Muhamad Akmal berkata, sebelum nyanyian bermula, murid diminta menyalin  lirik yang telah ditulis, ke dalam buku latihan masing-masing.

Iklan

Kata beliau, kaedah nyanyian pada asalnya untuk tujuan berhibur sambil mendidik.

“Bila saya kongsikan di media sosial, ada guru lain yang turut tertarik dan guna di kelas mereka.

“Alhamdulillah, mereka menyatakan kaedah nyanyian ini sangat membantu memudahkan pembelajaran di dalam kelas,” ujarnya.

Ustaz Muhamad Akmal turut gembira dan bersyukur videonya menjadi tular kerana ada juga yang sudi berkongsi idea saya ini.

“Secara tak langsung, ini adalah salah satu cara saya menyampaikan ilmu yang bermanfaat buat semua dan sebagai saham saya di sana nanti.

“Terima kasih kepada kalian yang menyokong. Doakan saya dan kita sentiasa istiqamah sebar manfaat,” katanya.

SinarPlus mengucapkan tahniah kepada Ustaz Muhamad Akmal! Teruskan mendidik anak bangsa cemerlang dunia dan akhirat.

Iklan