“JIKA dilihat sudut positif, wabak pandemik sebenarnya memberi hikmah kepada mereka yang sebelum ini terlalu sibuk hal dunia.”

Demikian pandangan Wilda Adnan ketika perkongsian ilmu sempena bual bicara santai ‘Women Role After Covid-19 – Dare To Challenge’ di Ficus Bistro, Damansara, Selangor petang tadi.

Pengasas majalah online itu berkata, dugaan wabak virus korona sedikit sebanyak memberi impak buat dirinya terutamanya dari segi hubungan kekeluargaan.

“Sebenarnya, sepanjang larangan keluar rumah pada awal pandemik lalu membuatkan saya tersedar akan sesuatu. Saya dapat jumpa dan bersemuka dengan anak setiap hari.

“Jika dibandingkan sebelum ini, kami jarang berjumpa kerana tuntutan kerja masing-masing dan inilah membuatkan saya lebih insaf,” katanya yang bersyukur diberi kesempatan untuk bersama keluarga.

Kata wanita berkaliber itu, musibah Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesedaran buat ramai orang khususnya mereka yang angkuh dengan harta yang dimiliki.

“Jika dahulu, duit banyak boleh bercuti di luar negara dan berjoli sakan untuk sesuatu yang boleh dianggap membazir, kini musibah ini membuatkan kita lebih dekat kepada ALLAH.

“Sekarang ada banyak duit pun tiada gunanya sebab tidak boleh keluar negara, jadi saya berpandangan lebih baik kita berhemah dalam berbelanja,” ceritanya kepada SinarPlus.

Bercakap mengenai penganjuran program santai tersebut, bekas pengamal media mainstream itu berkata, majlis itu bagi meraikan kenalan rapat dan pelanggan yang sebelum ini tidak berjumpa.

Iklan

“Pandemik ini tidak dinafikan membuatkan saya tidak dapat bertemu dengan rakan dan keluar bersosial sehinggalah saat ini, aktiviti perjumpaan dibenarkan dengan penuh pematuhan prosedur operasi standard.

“Meskipun sudah berpencen, minat mendalam dalam dunia penulisan membuatkan saya bangkit untuk sesuatu yang boleh saya banggakan bersama rakan seperjuangan,” katanya.

Dalam majlis penuh elegan itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Nasional Berhad, Juliana Abdul Kadir; penceramah, Tessie Lim dan pakar motivasi, Normala Norelle turut berkongsi pandangan mengenai isu yang dibincangkan.

Iklan

Lebih 40 tetamu diraikan dengan juadah minum petang yang disediakan Ficus Bistro.