KUCING, haiwan yang manja dan comel. Gelagatnya mencuit hati selain gebu dan lembut untuk dipeluk.

Justeru, tidak hairanlah kucing adalah haiwan peliharaan kedua paling digemari di dunia selepas anjing.

Dari segi agama pula, membela kucing adalah harus manakala berlaku ihsan kepadanya adalah wajib. Namun menyakitinya adalah haram.

Justeru, penganiayaan terhadap haiwan ‘comel’ itu seperti yang berlaku di Besut, Terengganu baru-baru ini sama sekali tidak dapat diterima akal yang waras.

Baca juga: Ular Tedung Masuk Rumah, 5 Kucing Jadi Hero, Kepung Hingga Anggota Penyelamat Sampai

Menurut laporan Bernama, 20 ekor kucing jalanan mati bergelimpangan dipercayai akibat perbuatan khianat di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang.

Difahamkan, kematian kucing terbabit di kawasan sekitar pantai itu disedari orang awam pada kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu.

Penemuan itu telah dirakamkan di dalam sebuah video dan dikongsi oleh kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Badrul Hafeezy Ali, 35. Ia kemudian menjadi tular di laman Facebook dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian itu.

Baca juga: Kucing jiran berak merata-rata? Pemiliknya boleh didenda sehingga RM1,000

Kes tersebut kemudiannya telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohammad berkata siasatan awal mendapati bangkai kucing-kucing berkenaan ditemukan oleh seorang lelaki.

“Sebanyak 15 ekor kucing telah mati manakala dua ekor kucing masih hidup namun dalam keadaan kesakitan.

“Dua ekor kucing mati berdekatan persisiran pantai manakala 13 ekor kucing lagi mati di atas tanah berdekatan pokok-pokok.

Iklan

“Terdapat kesan lebam biru pada perut kucing, darah pada mulut dan hidung serta ada yang terburai perut,” katanya.

Menurut Abdul Rozak kesemua bangkai kucing berkenaan kemudiannya telah ditanam oleh lelaki tersebut.

 

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu katanya pihak Penguatkuasaan dan Teknikal dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Besut dan Kuala Terengganu telah hadir ke tempat kejadian dan mengeluarkan semula kucing yang telah ditanam itu untuk mengambil sampel bagi tujuan analisis.

Tidak sanggup rasanya melihat kucing diperlakukan sedemikian rupa. Jika tidak suka sekalipun janganlah sehingga mencederakan atau membunuh!

Baca juga: Tuah Bela Kucing Penawar Stres Dan Sunyi, Turunkan 30% Risiko Sakit Jantung, Strok

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!