IKUTKAN kalau sudah namanya berniaga, sedikit sebanyak mestilah hendak berjual biarpun tidak berapa untung.

Tak ramai rasanya yang sanggup memberi percuma biarpun sesuatu barangan atau produk sudah hampir sampai tarikh tamat tempoh. Ada yang sanggup rugi lagi daripada memberi.

Tapi buat segelintir individu, mereka tidak berasakan sedemikian.

“Tak rasa rugi bagi free kat orang pun. Sebab kalau tak bagi, lagi sayang tak elok nanti dah tak boleh dimakan.’

Itu kata pemuda Rizzuan Mohamad Som yang memberikan begitu sahaja timun kira-kira seberat 200 kilogram (kg) kepada penduduk sekitar Seri Kembangan, dari kebunnya yang dikongsi dengan rakannya, terletak di Serdang, Selangor.

Tular tangkap layar tentang postingnya yang mahu memberikan sayuran itu kepada orang ramai secara percuma. Posting itu tular hingga hari ini.

Postingnya yang tular sejak semalam hingga hari ini yang telahpun dipadamkan di medsos.

Begitupun, menurut pemuda berusia 34 tahun, hantaran posting berkenaan sebenarnya hanya berlangsung semalam.

“Semalam cepat saja timun ni dah habis. Memang saya bagi percuma, tapi ada juga yang datang nak beli.

“Alhamdulillah habis juga. Sebenarnya biasanya bila ada lebihan sikit-sikit di kebun, saya akan edarkan di rumah flat tempat saya tinggal di Kota Damansara. Tapi, kali ni banyak sangat, saya terpaksa buat posting di Facebook,” katanya kepada SinarPlus hari ini.

Iklan

Begitupun menurutnya posting itu sudahpun dipadamkan sebaik timun tersebut habis diedarkan kepada orang ramai semalam.

Namun beliau sendiri tidak menyangka ia ditularkan melalui tangkap layar di medsos WhatsApp hingga hari ini.

Rizzuan ketika di kebun bersama anak-anaknya.

Rupanya Rizzuan juga antara individu yang terjejas sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Iklan

“Sebelum ini saya hanya buat kerja separuh masa di kebun, sebab ada kerja lain. Tapi sejak lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekarang saya buat full-time berkebun,” katanya.

Selain timun, beliau juga menanam terung dan peria di kebunnya.

Murahnya hati Rizzuan untuk memberi atau lebih tepat bersedekah kan…? Moga beliau terus dilimpahkan rezeki. Aamiin -AG #janganputusasamalaysia