SEJAK semalam, tular kes seorang doktor yang juga merupakan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia kerana dikatakan terlalu penat dan tidak mendapat rehat yang cukup.

Berita duka yang dikongsi oleh Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) ternyata menjadi perhatian ramai pihak.

Melihat kepada gambar yang dikongsikan SPJM, kelihatan tubuh arwah yang lengkap mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) sangat letih sehingga beliau tertidur sambil duduk ketika sedang bertugas.

Beliau dikatakan tertidur dan jatuh pengsan sebelum menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu.

Menurut KKM, Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia bukan akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Sebaliknya kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Sinar Harian, doktor itu mempunyai penyakit lain.

Terbaru, isteri Allahyarham pula tampil memuat naik luahan hatinya di laman Facebook awal pagi tadi.

Menerusi perkongsian di laman Facebook bernama Asilah Alqarny itu, beliau menegaskan bahawa kematian suaminya disebabkan Acute Respiratory Distress dan bukan disebabkan kepenatan bertugas melawan pandemik itu.

“Tiba- tiba banyak dapat request friend sebab dah viral. Ramainya yang doakan arwah suami, Dr Ali Noor Hassan. Beribu ribu orang share dan doakan dia. Alhamdulillah.

“Cuma maklumat kurang tepat sebab kematian. Arwah meninggal di HKL kerana Acute Respiratory Distress bukan sebab Covid-19 atau kepenatan bertugas,” tulisnya.

Menurutnya, suaminya banyak terbabit dengan aktiviti jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh.

Iklan

“Memang arwah banyak terlibat dengan aktiviti jemaah tabligh. Periksa pesakit percuma semasa Ijtimak Tabligh.

“Tidak berkira kerja dengan kawan kawan dan arwah antara yang suka ziarah sahabat atau saudara sakit.

“Ramai yang mesej Dr Ali antara orang yang pertama melawat apabila kawan-kawan tak sihat.

“Beliau jugak banyak bersedekah. Setiap hari walau sedikit,” tulisnya.

Artikel berkaitan: Lengkap dengan PPE, doktor tertidur semasa bertugas dan akhirnya meninggal dunia, ini apa kata KKM

Katanya juga, arwah banyak berbakti kepada ibunya.

Iklan

“Semasa ibunya masih ada, banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu. Setiap kali beli lauk untuk keluarga mesti akan belikan lauk yang sama untuk emaknya semasa hidup.

“Mak nak ke klinik atau rawatan memang arwah usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia.

“Sehingga maknya disahkan kanser paru-paru pada Ogos 2018, arwah sanggup ambik cuti separuh gaji untuk jaga ibunya.

“Sehingga ke akhir hayat ibunya di Institut Kanser Negara (IKN), arwah antara yang ajarkan mak kalimah syahadah. Damailah di sana wahai suamiku,” doanya.

Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal solleh serta diterima segala amal kebajikan beliau.

Salam takziah buat ahli keluarga.