TIADA lagi peneman setia buat Zanarita Tahar @ Salleh setiap kali bangun sahur atau berbuka puasa. Apatah lagi susuk seorang imam untuk mengetuai solat berjemaah bersama anak tercinta.

Lebih menyentak sanubari, kehilangan suami tercinta, Sharulazaman Mohd Darus, 45, akibat kanser usus sejak sembilan bulan lalu itu turut membuatkan sambutan Aidilfitri tidak seindah dahulu.

Kepada SinarPlus, Zanarita memberitahu, persiapan lebaran pada tahun ini hanya sekadar ala kadar sahaja dan dirinya lebih mengutamakan keperluan anak-anak.

“Kalau diikutkan, suamilah yang banyak membantu menguruskan segala-galanya termasuk kelengkapan baju raya anak-anak dan mengemas rumah.

suami tercinta

“Bila mengenangkan semua itu, jiwa saya luluh sangat. Anak-anak pun sangat terasa kehilangan,” katanya yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan.

Akui ibu kepada dua cahaya mata itu, pada mulanya beliau terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa belahan jiwanya pergi buat selama-lamanya.

Mana tidaknya, tanpa sebarang petanda waima simptom penyakit, Sharulazaman disahkan menghidap kanser usus tahap empat sekelip mata.

Itu pun selepas beliau mengadu sakit perut sehingga najis berdarah.

“Namun, suami tetap positif dengan ujian itu meskipun kanser sudah merebak ke hati dan paru-paru.

 

Dia selalu tenangkan saya dan cakap jangan risau, insya-ALLAH abang boleh sihat seperti sedia kala.

“Jadi, suami gigih menjalani rawatan kemoterapi yang disyorkan doktor untuk mengecilkan sel-sel kanser, selain pembedahan untuk pemasangan beg stoma,” ujarnya yang bekerja sebagai guru di sekolah rendah.

Pun demikian, keadaan Sharulazaman dikatakan semakin memburuk dengan keadaan perut yang membengkak meskipun masih berbaki lagi empat kitaran rawatan kemoterapi.

Bapa kepada dua anak itu kemudian terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mengeluarkan lebihan cecair dalam perut.

Baca juga Disangka sudah bebas kanser rahim, sekali lagi wanita ini diuji kanser usus tahap 4. Kisah Hani buat ramai sebak

Namun sejak prosedur tersebut dijalankan, Sharulazaman dilaporkan semakin lemah.

“Jadi, ajakan untuk pulang ke kampung emaknya saya turutkan. Paling saya tak boleh lupa, suami mengadu susah nak bernafas dan kemudian muntah darah secara tiba-tiba.

“Masa itu, dia berehat di bilik emaknya. Saya temankan dia berbaring di atas tilam sebelum menyaksikan dia bernafas laju dan terhenti dengan sendirinya,” cerita wanita tabah berkenaan.

Tanggung anak OKU

Perbualan kami semakin sarat dengan emosi selepas mengetahui anak sulung, Nurul Shazana Sharulazaman, 20, yang rupa-rupanya sudah terlantar sejak lebih 10 tahun.

suami tercinta

Cerita Zanarita, anaknya itu sebenarnya membesar dengan normal tanpa sebarang masalah kesihatan sebelum diuji dengan musibah apendiks pecah dalam perut.

“Saya masih ingat lagi, dia mengadu sakit perut selepas sambut ulang tahun ke-10. Bila dibawa ke hospital, anak jadi trauma. Mungkin sebab itu dia sanggup tahan sakit sampaikan satu tahap dia muntah hijau.

“Pagi itu dia meracau teruk dan terus dibawa ke hospital. Disebabkan tekanan darah rendah sangat sampai tak boleh baca, Nurul Shazana terus dimasukkan ke zon merah,” tuturnya dengan nada lemah.

suami tercinta

Iklan

Gadis itu kemudian terpaksa ditidurkan sebelum pembedahan membuang apendiks yang pecah dan membersihkan nanah dalam organ terjejas dilakukan.

Pun begitu, operasi pembedahan kedua terpaksa dilaksanakan apabila masih berbaki sisa nanah dalam perut sehingga menyebabkan darah dalam badan berkuman.

Akibat komplikasi tersebut, Nurul Shazana disahkan mengalami kerosakan pada sel otak, dikatakan berpunca daripada tekanan darah terlalu rendah sekali gus menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

suami tercinta

Kondisi tersebut turut membuatkan puteri sulung wanita itu tidak mampu bercakap, berjalan sendiri dan hanya bergantung kepada kerusi roda khas untuk bergerak.

Berdepan dengan ujian berganda tersebut membuatkan anak jati Negeri Sembilan itu reda dengan ketentuan ILAHI.

Baca juga Terlantar sejak kecil akibat tersedak susu, ibu mohon bantuan kerusi khas untuk anak OKU

“Walaupun Nurul Shazana tidak mampu lagi bercakap, namun saya percaya dia rindukan ayahnya sebab dia selalu renung foto suami,” katanya yang juga menjaga seorang lagi anak perempuan, Nur Syazwani, 17.

Iklan

suami tercinta

Tatkala ditanya tentang keperluan anak istimewanya, wanita itu tidak menolak risiko serangan sawan boleh berulang disebabkan otak Nurul Shazana yang dikatakan mengecut.

“Setakat ini, alhamdulillah dia masih boleh respons bila kita panggil atau ajak berbual. Cuma anak sekarang ini bergantung dengan lampin pakai buang dan susu khas.

“Kalau dapat bantuan kerusi roda boleh laras yang baharu, syukur sangat. Bukan apa, kerusi yang ada sekarang ini dah lama dan tak boleh nak diubah suai lagi dah,” katanya penuh berharap.

Kepada orang ramai yang ingin membantu menceriakan sambutan Hari Raya buat ibu tunggal itu bersama dua anaknya, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0510329000021409 atas nama Zanarita Binti Tahar.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!