DOA yang dipanjatkan Nashieha Hassan kepada Ilahi tidak pernah terhenti. Bahkan, dia mengimpikan Ramadan kali ini hadir membawa sinar harapan buatnya sekeluarga.

Selain diuji dengan penyakit kanser radang hati, wanita tabah itu sebenarnya menanggung dugaan cukup berat.

Bukan sahaja disahkan menghidap sakit jantung, dia juga berdepan masalah paru-paru, ketumbuhan dalam hidung dan slipped disc.

Kepada SinarPlus, wanita berusia 39 tahun itu memberitahu, dirinya sudah melalui terlalu banyak prosedur perubatan lantaran komplikasi penyakit tersebut sehingga menyebabkannya tidak berdaya lagi.

“Kalau diikutkan, saya perlu menjalani dua lagi pembedahan iaitu membuang tonsil dan ketumbuhan dalam hidung kerana menjejaskan saluran pernafasan.

Nashieha

“Bagaimanapun, saya minta tangguhkan sebab baru saja buang hempedu pada Disember lalu. Sekarang ini saya bergantung dengan mesin pernafasan dahulu,” katanya yang menetap di rumah sewa di Kuala Kedah, Kedah.

Pun demikian, Nashieha terpaksa kuat dan terus berjuang demi zuriatnya terutama anak ketiga, Annis Irna Najihah Mohd Ghazali, 18, yang menghidap sakit kencing manis kronik, darah tinggi dan asma.

“Saya bimbang dengan keadaan Annis. Tahap gula dalam darah sangat tinggi sampaikan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Mata dia pun sudah rabun teruk disebabkan penyakit itu.

“Sekarang ini, saya bersama Annis berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan,” katanya yang menunggang motosikal bersama anaknya dengan jarak sehala kira-kira 12 kilometer.

 

Selain Annis, dua lagi anaknya iaitu Annisa Shazwanee Mohd Ghazali, 23, menghidap sakit jantung berlubang, manakala Annis Irdahanini, 21, menderita kanser payudara dan slipped disc.

Baca juga Dugaan bertimpa selepas hilang suami, Cikgu Melor disahkan derita kanser payudara tahap 3. Ini luahan pilu wanita itu

Seorang lagi anaknya, Syed Muhamad Shahanaz Syed Muhamad Syahafiz, 12, yang sihat walafiat menjadi tangan kanan buat ibunya untuk membantu menguruskan rumah.

Bantuan

Meski diduga gangguan kesihatan yang cukup getir, ibu anak empat itu tetap gigih menguruskan keluarga dan pada masa sama perlu berjimat demi kelangsungan hidup.

Nashieha

Suri hati kepada Syed Muhamad Syahafiz Syed Syukri, 40, itu berkata, keperluan penting seperti susu khas amat diperlukan sebagai suplemen tambahan buat dirinya.

“Annis juga memerlukan susu khas untuk mengurangkan kadar gula dalam darah, cuma saya terpaksa catu kerana nak beli satu tin bukanlah murah. Paling kurang pun, dia perlu dua tin sebulan.

“Saya kadang-kadang buntu bila memikirkan kos nak beli susu tersebut memandangkan suami hanya kerja kampung dengan pendapatan tak menentu,” katanya yang juga seorang suri rumah.

Iklan

Nashieha

Apabila ditanya tentang persiapan Ramadan, suara Nashieha di corong telefon serta-merta berubah menjadi sayu.

“Siapalah tak teringin nak masak dan makan lauk yang sedap, cuma bagi kami, duit yang ada lebih diutamakan untuk kos sekolah anak, perubatan dan susu khas. Kalau ada wang lebih, barulah boleh beli barang dapur.

“Kalau setakat lauk telur dengan nasi kosong bagi kami sudah biasa. Syukur masih ada rezeki daripada mereka yang prihatin untuk kami makan dan minum,” katanya sebak.

Baca juga Anak meninggal dunia, nenek yang derita sakit jantung sanggup jaga 3 cucu sakit kanser otak, autisme dan lembam

Anak jati Kedah itu tidak menolak, bahkan berterima kasih kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ditanggung oleh mereka sekeluarga.

Nashieha

Iklan

“Paling penting, susu khas tak mahulah terputus bekalan. Bukan apa, Annis perlu suplemen tambahan walaupun sudah suntik insulin dan ubat untuk mengawal kencing manis.

“Hanya ALLAH sahaja dapat membalas semua jasa baik anda semua. Semoga yang baik-baik berbalik semula kepada yang sudi membantu kami,” ungkapnya dengan penuh rendah diri.

Sempena kunjungan penghulu segala bulan, orang ramai boleh menyumbang dana bantuan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541100375112 atas nama Nashieha Hassan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!