Anak meninggal dunia, nenek yang derita sakit jantung sanggup jaga tiga cucu sakit kanser otak, autisme dan lembam

USIANYA sudah pun menjangkau 68 tahun dan seharusnya empunya diri berehat dan bersenang-lenang di rumah.

Namun, Azizah Ab Aziz tetap gigih membanting tulang setiap hari demi mencari sesuap nasi dengan menjual nasi ayam berhampiran rumahnya.

Semua kepayahan yang dilalui itu bukan untuknya, tetapi demi kelangsungan menjaga empat cucu selepas kematian anak perempuan tersayang, Kamalia Khamis. Arwah Kamalia dijemput ILAHI akibat sakit usus pada September tahun lalu.

Sesungguhnya, pengorbanan Azizah layak dipuji. Ini kerana tiga cucunya merupakan anak istimewa. Justeru, cara penjagaan dan layanan perlu lebih daripada biasa.

Ujar anak jati Melaka itu, cucunya, Amyamira Abdullah yang berusia 20 tahun dikategorikan sebagai orang kurang upaya kategori lembam. Aish Alaudin Abdul Rani, 8, merupakan anak autisme.

cucu sakit

Sementara, Aish Zikri, 7, atau panggilan manjanya Aish pula menghidap kanser otak sejak usianya mencecah tiga tahun. Si kecil itu dikhabarkan mungkin akan buta disebabkan penglihatan pada mata kirinya semakin memburuk.

Hanya Nurkhairani, 12, sahaja kanak-kanak normal. Beliaulah yang boleh diharap. Selain menjadi tulang belakang kepada neneknya untuk menjaga keperluan kakak dan dua adiknya, Nurkhairani turut menolong Azizah menyiapkan persiapan berniaga.

Ketika dihubungi SinarPlus baru-baru, wanita itu pada mulanya seperti tidak mahu bercerita. Bimbang orang luar menuduhnya mahu menagih simpati.

cucu sakit

Namun, setelah beberapa kali dipujuk, barulah Azizah memulakan bicaranya dengan luahan kata-kata yang tidak bermaya.

“Susah sebenarnya nak kongsikan apa yang berlaku, tapi apa yang boleh dikatakan, mak cik sedih sangat mengenangkan cucu-cucu yang sudah tiada emak. Mak cik tak nak pisahkan mereka. Walau apa pun terjadi, biarlah mak cik yang jaga.

Baca juga Boleh pergi pada bila-bila masa, kanser otak adik Nur Umairah kini pada tahap akhir

“Selepas arwah dan suaminya bercerai, cucu-cucu tinggal serumah dan berniaga nasi ayam bersama. Mak cik juga uruskan makan minum dan persekolahan mereka,” katanya yang menetap di Rumah Awam Datin Fatimah, Bukit Rambai, Melaka.

cucu sakit

Meneruskan kisah empat beradik itu, Azizah berkata, setiap daripada mereka memerlukan perhatian terutama si bongsu, Aish Zikri.

“Soal kesihatan Aish Zikri paling buat saya risau. Meskipun sudah menjalani pembedahan ketika umurnya tiga tahun, namun sekarang ini mata kirinya rosak dan tak boleh nampak apa-apa.

“Ketika pemeriksaan sebelum ini, doktor sudah mengeluarkan wayar daripada kepalanya, tapi tak sangka pula ia memberi kesan pada mata Aish. Mungkin ada kena mengena, tapi apa-apapun saya akan dapatkan penjelasan doktor mengenai keadaan Aish itu nanti,” katanya.

cucu sakit

Ujar warga emas itu lagi, menjaga Amyamira dan Aish Alaudin atau Alaudin pula agak mudah, namun memerlukan kesabaran tinggi dalam melayan karenah dua beradik tersebut.

“Cuma Alaudin kadang-kadang mudah mengamuk bila panas. Sebab itu mak cik pasangkan pendingin hawa supaya dia selesa. Soal kos elektrik memang tinggilah tapi nak buat macam mana?

 

“Amyamira pula boleh diharapkan untuk bantu kerja rumah kerana mak cik pun tak larat sebenarnya kerana menderita sakit jantung dan darah tinggi. Cuma sekarang ini mak cik kuatkan semangat demi mereka,” ceritanya yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Kos sara hidup

Memikirkan kos rawatan dan ulang-alik ke hospital untuk rawatan diri termasuk empat cucu, Azizah secara terbuka mengakui bahawa keuntungan jualan yang tidak menentu membuatkannya bingung.

“Jual nasi ayam ini pun mak cik hanya terdaya buat dalam empat ekor ayam sahaja. Kalau laris, alhamdulillah. Ada masanya tak laku juga.

Iklan

cucu sakit

“Sedih memang sedih memikirkan semua itu, tetapi mak cik tak putus berdoa kepada ALLAH supaya semuanya dipermudahkan. Nasib baiklah ada anak-anak mak cik yang sama-sama membantu meringankan beban,” katanya.

Beliau turut lega apabila bekas menantu tidak lepas tangan dalam menghulurkan perbelanjaan termasuk menguruskan kos perubatan hospital tiga anaknya.

Baca juga Ibu tak sanggup dengar tangisan anak kecilnya jalani rawatan kemoterapi akibat kanser darah

“Bapa budak-budak ini tinggal berhampiran dengan kami dan masih mencari kerja tetap. Sekarang ini dialah yang bantu hantar Aish Zikri ke hospital sebab mak cik dah tak kuat sangat,” katanya.

cucu sakit

Menurut Azizah, pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan Negeri Melaka yang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM700.

Iklan

Pun demikian, wang yang perlu dikeluarkan untuk merawat Aish Zikri agak tinggi.
Justeru, wanita tua itu mengharapkan pertolongan orang ramai demi kebajikan empat cucunya yang merupakan anak yatim.

cucu sakit

“Saya nak sangat lihat Aish Zikri sihat seperti kanak-kanak lain. Biarpun dibesarkan tanpa emak, mak cik akan berusaha memberi yang terbaik kepada mereka walau tulang empat kerat ini dah tak seberapa,” ungkapnya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus akaun Bank Simpanan Nasional 0413541000015084 atas nama Azizah Binti Ab Aziz.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!