SEMEMANGNYA menjadi kebiasaan bagi abang dan adik mempunyai hubungan yang akrab. Seperti dua adik beradik lelaki ini yang meraih perhatian warganet.

Dekat bergaduh, jauh merindu. Demikian situasi yang dialami kebanyakan daripada anak-anak ketika kecil. Pendek kata, hubungan akrab tetap utuh walaupun kerap berkelahi atau berselisih pendapat. Ada yang sekadar bergaduh manja dan berbaik semula hanya dalam beberapa minit!

Baru-baru ini tular video yang memaparkan seorang kanak-anak lelaki riang menyambut abangnya pulang dari bekerja menjadi tular di laman sosial.

Ibu mereka, Nirwana Azman, 39, tidak menyangka video memaparkan gelagat anak bongsu dan sulungnya itu menjadi perhatian ramai. Tinjauan SinarPlus mendapati hantran di laman sosial TikTOk itu menerima 2.6 juta tontonan dan lebih 260,000 tanda suka.

“Perangai dua beradik, si bongsu memang tunggu abang sulung balik kerja. Macam itulah setiap kali abangnya balik kerja, perlu layan supaya beliau ‘happy’.

“Sebelum ini abangnya suka mengusik sampai menangis. Sekarang abang sudah kerja si bongsu sunyi,” titipnya.

@n.i.r.w.a.n.a_83 Perangai 2beradik..si bongsu mmg tunggu abg sulung dia balik keje.. Mcm tu la setiap kali time abg dia balik keje. Kene layan dia bagi happy2.. Sblum ni abg dia la suka mengusik sampai Nangis2.. Skrg dh keje sunyi dh sibongsu😅@amilsem06 ♬ original sound – Loy Bikin Panas

Baca juga: Gembira adik beradik berjaya berniaga, tanda ibu bapa tidak akan susah, ini 5 rahsia orang Cina bina kekayaan

Ibu kepada Muhamad Shamil, 18, Muhamad Shazril, 12, dan Muhamad Shaqil, 8, berkongsi ketiga-tiga anaknya mempunyai hubungan yang rapat.

Apabila ditanya rahsianya, ternyata sentuhan si abang kepada adik-adik sepanjang mereka membesar menjadi pengikat kasih sayang.

Baca juga: Tip leraikan pergaduhan dan rapatkan semula hubungan adik beradik

“Tiada rahsia, cuma adik-adik banyak membesar dengan tangan abang. Maksudnya sejak dari kecil si abang rajin menguruskan seperti memandikan adik, makan abangnya akan suap atau bantu tukarkan baju.

“Kiranya abang sulung banyak ringankan tugas saya. Malah baginya adik-adik insan yang penting. Jika makanan tinggal sedikit, walaupun sudah hendak suap ke mulut beliau sanggup beri kepada adik-adik dahulu,” ujar Nirwana kepada SinarPlus.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui beliau dan suami, Shahril Shaari, 42, juga memiliki hubungan yang erat dengan adik beradik masing-masing.

“Saya dan adik beradik memang rapat. Kalau berjumpa cukuplah kami sahaja tidak perlu orang lain. Riuh sekampung! Adik beradik suami pun rapat,” ujarnya.

Melihatkan hubungan teguh dan mesra anak-anak, hati ibu itu mahu semuanya kekal sehingga ke akhir hayat.

Nirwana di samping suami dan anak-anak.

“Harapan saya dan suami pastinya mahu hubungan anak-anak ni kekal hingga ke akhirnya. Setiap malam sebelum tidur saya akan ke bilik mereka mencium dahi dan memeluk mereka.

“Saya akan berpesan ibu abah tiada harta hendak tinggalkan apabila tiada nanti, yang ada hanya harta yang tidak ternilai dan ditukar ganti iaitu anak-anak.

“Apa yang berlaku sekalipun jangan putus hubungan adik beradik. Susah senang, jangan lupa sesama kalian. Hormati abang sulung. Kepada anak yang sulung saya berpesan supaya menjaga adik-adik, itu amanah saya dan suami untuknya,” titip Nirwana.

Iklan

Baca juga: Resipi adik beradik jadi lebih mesra, ibu bapa jangan jadi toksik

Mendidik anak lelaki tentunya mempunyai cabaran tersendiri. SinarPlus turut mencungkil rahsia wanita itu dalam mendidik anak-anak yang kesemua lelaki.

“Saya dan suami terapkan walaupun anak-anak lelaki perlu pandai melakukan kerja rumah. Solat jangan tunggu disuruh kerana pada masa hadapan hendak jadi ketua keluarga, perlu tunjuk contoh yang baik, rajin ‘turun’ ke dapur dan pandai kemas rumah.

“Untuk mereka adik beradik saya memang melarang menggunakan perkataan ‘kau’ dan ‘aku’, mesti sebut abang dan adik sahaja,” ujar Nirwana tentang rahsia keharmonian hubungan.

Muhamad Shamil, 18, Muhamad Shazril, 12, dan Muhamad Shaqil, 8, mempunyai hubungan yang akrab.

Malah setiap minggu, beliau dan suami akan meluangkan masa bersama anak bergilir-gilir untuk mendegar msalah mereka.

“Rutin kami sejak anak berusia 12 tahun, masa tu anak akan cerita ‘one to one’ tentang isi hati dan masalah mereka. Atau ibu abah terlebih beri perhatian kepada salah seorang. Bimbang ada yang terasa dalam diam. Alhamdullilah rutin itu kami buat sampai sekarang,” kongsinya.

Iklan

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ternyata didikan dan asuhan ibu bapa membentuk sahsiah dan akhlak anak-anak ke arah kebaikan.

Semoga kisah yang dikongsikan ini memberikan inspirasi buat kalian dalam mewujudkan hubungan baik antara anak-anak.

Baca juga: Miliki 23 adik-beradik, hidup susah, Wawa Zainal menitiskan air mata imbas jatuh bangun hidup

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi