BEBERAPA tahun lalu, penulis terpaksa ke unit kecemasan sebuah hospital kerana demam.

Ruang yang tenang kemudian bergema dengan suara lelaki yang mengerang kesakitan. Kepalanya dipenuhi dengan darah. Dikhabarkan pemuda itu mengalami kemalangan.

Masih boleh bertutur dengan baik, namun sayangnya ketika ditanya apa jenis darah beliau, empunya diri tidak tahu. Difahamkan pemindahan darah tidak dapat dilakukan segera gara-gara pihak hospital perlu melakukan ujian terlebih dulu.

Melihat situasi berkenaan, memberi satu suntikan kesedaran betapa pentingnya mengetahui jenis darah sendiri.

Justeru, sempena Hari Darah Sedunia yang disambut baru-baru ini, SinarPlus akan memperincikan segalanya tentang darah untuk kemaslahatan bersama.

Kepada Pakar Patologi (Hematologi), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Tang Yee Loong beberapa soalan signifikan dilontarkan.

 

Secara asasnya, terdapat empat jenis darah manusia yang utama iaitu A, B, AB dan O. Jenis A mempunyai antigen A, jenis B (antigen B), jenis AB (mempunyai antigen A dan B), sementara darah O tidak mempunyai antigen. Kategori darah pula terdiri daripada positif atau negatif.

Jelas Dr Yee Loong, kumpulan ABO darah manusia adalah bergantung kepada ekspresi antigen A atau B pada permukaan sel darah merah.

Mengikut kajian Pusat Darah Negara pada tahun 2012, sebanyak 37 peratus penderma darah terdiri daripada kumpulan O, 27 peratus (kumpulan B), 27 peratus kumpulan A dan hanya 9 peratus kumpulan AB.

Mengenai wujudnya darah positif atau negatif, pakar itu berkata, ia bergantung kepada ekspresi antigen RhD pada permukaan sel darah merah.

BACA JUGA 1 beg darah mampu selamatkan 3 nyawa, penderma adalah hero

BACA JUGA Pucat, letih mungkin anemia, kurang zat besi, ini makanan tambah darah

BACA JUGA Lelaki derma darah paling kerap, 632 kali dalam 30 tahun diiktiraf Malaysia Book of Record

Darah emas

Mengapa wujud jenis darah anak yang tidak selalu sama dengan ibu bapa? Menjawab pertanyaan yang sering menjadi tanda tanya orang ramai itu, Dr Yee Loong menjelaskan satu persatu.

Kata beliau, terdapat tiga gen yang mengawal kumpulan darah ABO manusia. Ketiga-tiga gen itu terdapat pada kromosom 9.

Manusia mempunyai dua gen yang satu diwarisi daripada ayah, manakala satu lagi daripada ibu.

Jenis darah ABO pula (diwarisi) secara autosomal codominant. Gen A dan gen B adalah codominant dan gen O adalah resesif.

Codominant bermaksud sifat yang lebih kuat pengaruhnya, manakala resesif merujuk sifat yang hanya ketara (pengaruhnya) apabila pasangannya juga sama.

Genotip untuk kumpulan darah A ialah AA atau AO. Genotip untuk kumpulan darah B ialah BB atau BO. Genotip untuk kumpulan darah AB ialah AB. Genotip untuk kumpulan darah O ialah OO.

“Boleh jadi jenis darah anak mungkin berlainan daripada ibu bapa, contoh kes seperti jika genotip ibu ialah AO (kumpulan darah A) dan genotip bapa ialah BO (kumpulan darah B), kebarangkalian kumpulan darah untuk anak yang dilahirkan adalah 25 peratus AB, 25 peratus A, 25 peratus B dan 25 peratus O,” terangnya.

SinarPlus ingin menarik perhatian pembaca tentang manusia berdarah emas atau digelar Golden Blood.

Di seluruh dunia, secara statistiknya, mereka yang terdiri daripada individu ‘eksklusif‘ itu hanya seramai 43 orang. Di Malaysia, seorang wanita dari Terengganu yang enggan mendedahkan identitinya merupakan salah seorang yang tersenarai.

Meskipun dikategorikan sebagai istimewa, namun seandainya berlaku kecemasan seperti kemalangan yang melibatkan banyak pertumpahan darah, bagaimana masalah itu dapat diatasi?

Terlebih dulu, Dr Yee Loong berkongsi fakta. Terangnya, manusia berdarah emas telah kehilangan semua antigen berkaitan dengan Rhesus (Rh) termasuk D, C, c, E dan e akibat mutasi gen.

Mereka berupaya menghasilkan antibodi poten (anti-Rh29) yang akan mengakibatkan hemolisis teruk jika darah yang bukan Rhnull diterima.

“Justeru, dalam menjawab soalan tadi, secara perubatannya, hanya darah daripada penderma berkumpulan Rhnull boleh digunakan untuk tujuan transfusi kepada pesakit Rhnull dan darah-darah lain adalah tidak sesuai,” jelasnya.

Justeru, dalam menjawab soalan tadi, secara perubatannya, hanya darah daripada penderma berkumpulan Rhnull boleh digunakan untuk tujuan transfusi kepada pesakit Rhnull dan darah-darah lain adalah tidak sesuai.

Kesuburan wanita

Ketika gelombang Covid-19 mula meledak seluruh dunia, teori tentang darah berlegar di media sosial. Paling popular, info yang mengatakan individu dengan darah A dipercayai lebih mudah terdedah dengan virus SARS-CoV-2.

Begitu juga dengan banyak penulisan yang menguar-uarkan tentang keberangkalian mereka yang berdarah AB mudah berdepan dengan masalah ingatan, kanser pankreas (bukan berdarah O berisiko), penyakit jantung (AB berisiko) dan lain-lain.

Beritahu Dr Yee Loong, sesetengah penyakit ada perkaitan risiko dengan kumpulan darah manusia seperti yang dinyatakan tadi.

Bagaimanapun, kumpulan darah hanya salah satu faktor yang menyebabkan penyakit, ungkap beliau.

“Penyebab lain seperti genetik, sejarah keluarga, umur, jantina, alam sekitar, pencemaran, diet dan lain-lain juga memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit. Bagi saya, orang ramai dinasihatkan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga,” katanya.

Iklan

Tidak terhenti setakat di situ, penulis turut mengajukan pertanyaan tentang korelasi darah dengan tahap kesuburan kaum Hawa.

Wanita yang berdarah jenis B kononnya memiliki peluang terbaik untuk hamil. Sementara jenis O, mempunyai kualiti telur yang lebih rendah.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut disifatkan tidak tepat oleh Dr Yee Loong.

“Beberapa kajian telah menganalisis hubungan di antara jenis darah ABO dan ketidaksuburan. Hasil kajian menunjukkan keputusan yang bercanggah.
“Peluang untuk mengandung bukan sahaja bergantung kepada isteri, tetapi juga kepada suami. Justeru, bakal ibu bapa dinasihatkan berjumpa dengan doktor perubatan jika terdapat masalah kesuburan,” katanya.

Risiko bayi

Selain itu, darah juga didakwa mempunyai hubungan dengan keperibadian seseorang. Sekali lagi, Dr Yee Loong tampil dengan hujah bernasnya.

Ujar beliau, teori keperibadian seseorang dengan jenis darah adalah kepercayaan pseudosaintifik yang lazim berlaku di Jepun dan Korea Selatan.

Rakyat di dua buah negara itu menyatakan bahawa sistem kumpulan darah meramalkan personaliti, perangai dan keserasian seseorang dengan orang lain.

“Satu kajian besar yang melibatkan 10,000 orang dari Jepun dan Amerika Syarikat juga telah dijalankan. Hasil penyelidikan yang diterbitkan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa tiada hubungan keperibadian dengan kumpulan darah,” kongsinya.

Mengenai kekhuatiran pasangan yang memiliki darah sama yang memungkinkan bakal cahaya mata berdepan dengan krisis kesihatan, SinarPlus merujuk artikel bertajuk Adakah Jenis Darah Menjejaskan Keserasian Perkahwinan? terbitan Healthline.

Rujukan itu menyebut, faktor Rh boleh menjadi kebimbangan jika ibu Rh- dan bayi Rh+.

Sel darah daripada bayi Rh+ yang melintasi aliran darah ibu, Rhnya mungkin mencetuskan tindak balas imun.

Iklan

Satu kajian besar yang melibatkan 10,000 orang dari Jepun dan Amerika Syarikat juga telah dijalankan. Hasil penyelidikan yang diterbitkan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa tiada hubungan keperibadian dengan kumpulan darah.

Tubuh ibu mungkin membentuk antibodi untuk menyerang sel darah merah Rh+ bayi.
Dalam situasi seperti itu, ujar Healthline, pakar biasanya akan mencadangkan saringan jenis darah dan faktor Rh.

“Jika seorang wanita dengan Rh-, doktor akan menguji darah sekali lagi pada kehamilan untuk melihat sama ada telah membentuk antibodi terhadap faktor Rh. Itu akan menunjukkan bahawa bayi adalah Rh+.

“Jika pakar mengenal pasti potensi ketidakserasian Rh, kehamilan akan dipantau dengan teliti untuk sebarang isu berkaitan dan mungkin memerlukan penjagaan tambahan,” kata laman web perubatan itu.

Satu kajian besar yang melibatkan 10,000 orang dari Jepun dan Amerika Syarikat juga telah dijalankan. Hasil penyelidikan yang diterbitkan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa tiada hubungan keperibadian dengan kumpulan darah.

Walaupun darah wanita dan bayi biasanya tidak bercampur semasa kehamilan, jumlah minimum darah bayi dan darah ibunya ‘boleh bersentuhan‘ di antara satu sama lain.

“Jika terdapat ketidakserasian Rh dan ini berlaku, badan si ibu mungkin menghasilkan antibodi Rh terhadap faktor Rh.

“Antibodi ini tidak akan menyebabkan masalah kepada bayi Rh+ semasa kehamilan pertama, tetapi boleh menyebabkan kesukaran jika seseorang wanita mengalami kehamilan berikutnya,” kata laman web perubatan antarabangsa yang menjadi rujukan ramai itu.

Healthline menambah, seandainya terdapat ketidakserasian Rh pada kehamilan pertama dan pada kehamilan kedua dan seterusnya, antibodi ibu boleh merosakkan sel darah merah bayi.

“Jika ini berlaku, bayi anda mungkin memerlukan pemindahan sel darah merah sama ada semasa kehamilan atau sejurus selepas bersalin,” jelas mereka lagi.

BACA JUGA Lidah rasa keras, muka kebas, Ieda Moin hidap darah tinggi. Kenali simptom awal

BACA JUGA Isteri Kid Search meninggal dunia akibat kanser darah

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.