'Anak macam magnet dengan mama.' Lama idam baby girl, ini yang Fiza Frizzy lakukan bila kawan-kawan ke Tanah Suci Makkah
LAMA menanti kehadiran cahaya mata perempuan, akhirnya doa Fiza Frizzy dimakbulkan-NYA.
Menerusi sesi temu bual bersamanya, beliau yang sudah dikurniakan dua cahaya mata lelaki berkata, semuanya berkat doa yang sering diutuskan setiap kali ada kawannya ke Tanah Suci.
"Punyalah payah nak dapat baby girl ni. Segala petua, kalendar Cina, makanan dan minuman ikut. Namun, baru sekarang merasa selepas ada dua anak lelaki.
"Dahulu memang berangan nak anak sulung lelaki kemudian perempuan, tetapi yang kedua pun lelaki. Kali ketiga mengandung gugur. Namun, ALLAH nak makbulkan doa terus lekat semula," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, sambil memberitahu dirinya sentiasa berdoa untuk memperoleh anak perempuan.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Hafizah Md Saad itu lagi, setiap kali mendengar ada kawan-kawan yang ke Makkah, beliau menitipkan doa moga dimakbulkan impiannya itu.
"Selepas dua anak lelaki dan satu keguguran. Fiza buat muka tak malu untuk kirim doa kepada sesiapa sahaja yang saya kenali dan ketahui ke Makkah. Apapun kita usaha dan doa pun salah satu usaha, kan?
"Alhamdulillah, usia kandungan lima bulan saya scan dan dapat tahu mengandung baby girl, terus buat video call suami. Kami berdua sama-sama menangis dan bersyukur," kongsi Fiza dalam satu wawancara eksklusif bersama SinarPlus baru-baru ini.
Baby rare
Pun demikian, katanya, bayi yang diberi nama Fatma Zahra Mohd Fazli begitu berbeza dengan dua orang abangnya.
Manakan tidak, si kecil itu sering meragam dan asyik mahu melekat 24 jam dengannya.
"Baby ni memang rare, tak berhenti 'bising' dan banyak cakap. Malah, Fatma juga cuba untuk aktif seperti abang-abangnya. Bab menyusu pula memang si kecil ini suka 'mengempeng' tetapi saya layan sajalah.
"Abang-abangnya pun sangat penyayang dan begitu melindungi Fatma. Sekarang Fatma sudah tujuh bulan, tentang makan tiada masalah kerana saya sudah ada pengalaman dengan dua anak sebelum ini," ujar Fiza sambil berseloroh mengatakan anak-anak macam magnet dengannya.
Ibu kena ada 'me time'
Ditanya mengenai rutin penjagaan berat badan selepas melahirkan bayi, akui Fiza sehingga kini beliau belum mendapat kembali berat badan asal.
Sementelah dirinya menyusukan anak, tuan punya badan yang juga merupakan hos Borak Bibir Merah (BBM) tidak mahu proses diet menjejaskan pengeluaran susu untuk anaknya.
"Belum fit dan mulakan diet lagi. Cuma apa yang saya lakukan kini apabila anak tidur, maka sebagai ibu kita pun kena tidur atau rehat. Demikian juga perihal makan, kena ikut makan sama.
"Selain itu, saya ambil makanan tambahan dan minum air banyak kerana itu yang penting. Multivitamin kena ambil untuk pastikan tenaga dan kulit kita selari.
"Walaupun jaga anak-anak, sebagai ibu kena juga jaga diri sendiri. Sebab itu ibu-ibu kena ada 'me time'," ungkap Fiza yang mahu fokus membesarkan ketiga-tiga anak terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk tambah ahli baharu.
Mengakui cukup bertuah dikurniakan suami yang memahami dan juga ringan tulang, justeru, tiada masalah untuk selebriti Manis itu keluar bekerja.
"Setakat ini, kami (suami isteri) bergilir-gilir jaga anak. Apabila saya keluar kerja pagi, suami yang ambil alih tugas jaga anak. Begitu juga apabila suami keluar bekerja, saya yang akan jaga anak-anak," kongsi Fiza lagi.
Sumber gambar: Instagram Fizafrizzy
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang