Anak mengamuk bukan sebab kurang asuhan. Lakukan teknik ini tenangkan mereka

SATU hal yang akan bikin ibu bapa tidak keruan adalah tatkala si kecil tiba-tiba mengamuk tidak tentu fasal.

Situasi akan menjadi lebih kalut kalau mereka ‘berdrama‘ di persekitaran terbuka seperti di restoran atau pusat beli-belah.

Adakah dengan menghulurkan gajet seperti telefon bimbit merupakan satu penyelesaian yang betul? Adakah dengan terus memenuhi kehendak mereka juga satu teknik yang ‘mujarab‘ untuk menenangkan keadaan?

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Sebelum mengemukakan pertanyaan lanjut kepada pakar tempatan, SinarPlus merujuk definisi amuk atau tantrum dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Mayo Clinic, ia merupakan ekspresi luahan rasa kecewa atau marah si anak apabila keperluan atau kemahuan mereka tidak dituruti.

Selain gagal mendapatkan perhatian orang dewasa, limitasi bahasa dan cara bertutur yang masih pelat untuk menyatakan sesuatu juga antara yang mendorong mereka berkelakuan sedemikian.

Diskusi dilanjutkan bersama Pensyarah Perubatan Kanan dan Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Maruzairi Husain.

Dr Maruzairi menambah, si cilik yang berusia kurang daripada tiga tahun biasanya mengamuk untuk menyatakan ketidakselesaan yang dialami.

“Dalam lingkungan umur itu, perkembangan emosi, sosial dan bahasa masih lagi kurang. Mereka juga belum mengetahui cara untuk meluahkan sesuatu dengan tepat dan sesuai,“ katanya.

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Sentuhan & pelukan

Secara umumnya, terdapat dua jenis amukan iaitu yang bersifat emosi dan manipulatif.

Ujar Dr Maruzairi, amukan emosi biasanya melibatkan si manja yang kecil dan masih belum pandai meluahkan perasaan, seperti lapar, mengantuk atau tidak selesa, dengan cara yang sesuai. Luahan perasaan ini ditunjukkan melalui tingkah laku yang tidak munasabah.

Amukan manipulatif pula melibatkan kanak-kanak yang lebih besar di antara usia tiga hingga lima tahun dan dilakukan untuk tujuan tertentu.

Baca juga: Anak-anak disleksia bukan lembab atau cacat. Ada yang genius dan kreatif. Kenali jenis-jenisnya

 

Kelazimannya, anak-anak akan mempelajari reaksi ibu bapanya ketika inginkan sesuatu dan mula menunjukkan ‘kelakuan‘ jika kemahuannya tidak dipenuhi. Jika dengan cara ini beliau akan mendapat apa yang diingini, kelakuan ini akan diulangi pada masa lain, kata pakar itu.

“Justeru, bagi mengawal anak yang sering membentak-bentak, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan,“ tuturnya.

Mengulas lanjut, pakar berpengalaman itu berkata, ibu bapa yang mempraktikkan kaedah keibubapaan autoritatif (berwibawa) dapat mengawal anak dengan lebih baik.

“Walaupun mereka tegas dan kadangkala memberikan hukuman jika melakukan perbuatan yang tidak dinginkan, namun sokongan dan penjelasan yang diberikan akan menyebabkan si anak lebih mudah terpujuk.

“Berbeza dengan sikap ibu bapa dengan gaya keibubapaan autoritarian (berpegang teguh pada peraturan dan undang-undang) yang hanya mengharapkan zuriat mereka taat dengan peraturan tanpa kompromi. Biasanya, si anak akan lebih mudah memberontak kerana tiada peluang untuk menyatakan apa yang dirasai melalui cara yang sepatutnya,“ ujarnya sambil berkata, amukan anak boleh berlaku tanpa dijangka sama ada di rumah atau pun di tempat awam.

Iklan

Baca juga: Anak kerap gosok mata undang risiko, Dr Malar kongsi bahaya pada kornea yang perlu ibu bapa ambil tahu

Bagi menangani permasalahan tersebut, saran Dr Maruzairi, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan diri sentiasa dalam keadaan tenang dan meneliti sebab anak berkelakuan sedemikian.

Seperkara, ungkap beliau, keadaan lapar, penat atau tidak selesa boleh membuatkan si anak cepat marah-marah.

Bukan satu andaian, tetapi sentuhan atau pelukan ibu atau bapa boleh meredakan tekanan yang dialami.

“Sebaik anak mula tenang, ajak si kecil menguruskan emosi mereka melalui kaedah berbincang tentang emosi yang ingin diluahkan atau meminta anak menjelaskan kemahuannya.

“Jika mereka ‘buat hal‘ di kawasan awam, bawa mereka ke tempat lain yang lebih sesuai. Biarkan anak meluahkan rasa marahnya sebelum bertindak memberi sokongan dan memujuknya dengan pelukan sehingga anak tenang,“ katanya. Memarahi atau membentak anak-anak di hadapan orang lain adalah satu tindakan yang kurang bijak dan boleh merumitkan keadaan.

Baca juga: Anak tantrum: Jangan panik, ini 4 cara tenangkan mereka

Iklan
SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Dalam pada itu, Healthline mencadangkan beberapa kaedah lain yang boleh dicuba. Antaranya:

  1. Sediakan rutin khas: Jadual membantu anak mengubah rutin hariannya.
  2. Jadi suri teladan: Anak-anak sentiasa melihat kelakuan ibu ayahnya dan akan meniru kelakuan tersebut apabila mengalami keadaan serupa.
  3. Beri anak pilihan: Membenarkan anak membuat pilihan akan mengurangkan rasa dikongkong.
  4. Tidur yang cukup: Keletihan akan menyebabkan anak mengamuk. Tidur yang betul membantu anak mendapat rehat yang cukup.
  5. Galakan tabiat permakanan yang baik: Anak-anak memilih makanan adalah perkara biasa. Sediakan makanan sihat untuk bantu anak mendapatkan nutrein terbaik.
  6. Hentikan pergaduhan: Praktis untuk mengurangkan perkataan ‘tidak‘ kepada si kecil.
  7. Nada positif:Bercakap dengan baik berbanding memberi arahan sekiranya mahu anak melakukan sesuatu perkara.
TANTRUM
SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Mengenai tanggapan masyarakat kononnya anak-anak suka meragam kerana kurangnya asuhan, Dr Maruzairi memberikan ulasannya.

“Ibu bapa tidak sepatutnya mengambil peduli dengan tanggapan orang sekeliling yang mungkin tidak memahami situasi.

“Paling penting mereka perlu ada ilmu keibubapaan supaya sentiasa rasional berdepan setiap tingkah laku anak,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang