SEPERTI yang kita sedia maklum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan sehingga 14 April depan. Masyarakat dinasihatkan supaya duduk di rumah.

Kebanyakan premis perniagaan dan pusat pelancong dihentikan seketika. Langkah tersebut adalah untuk memerangi penularan dan memutuskan rantaian Covid-19.

Pun begitu, tanpa disedari wabak terbabit bukan sahaja membuatkan kehidupan manusia menjadi ‘huru-hara’. Rupa-rupanya ia turut memberi impak haiwan yang berada di Zoo Negara.

Berikutan tanpa kehadiran pengunjung dek PKP, jualan tiket masuk mencatatkan penurunan sehingga pihak Zoo Negara terpaksa menggunakan tabung kecemasan untuk meneruskan operasi.

zoo negara
KETIDAKHADIRAN pelancong sepanjang tempoh PKP dilaksanakan secara tidak langsung mengurangkan jualan tiket masuk ke Zoo Negara yang berpangkalan di Hulu Kelang, Selangor.

Ini disebabkan, kelazimannya Zoo Negara memperoleh pendapatan hasil jualan tiket, tajaan syarikat, sumbangan masyarakat dan sewaan lokasi acara. Pendek kata, tiada pengunjung maka tiada makanan untuk haiwan-haiwan di sana.

Dimaklumkan, stok makanan untuk haiwan mencukupi setakat ini yang mana penghantaran bekalan oleh kontraktor dilantik masih berterusan. Namun begitu, tabung kecemasan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga bulan.

Kisah perjuangan Zoo Negara berdepan krisis Covid-19 ini turut mendapat perhatian selebriti, Sharifah Sakinah. Menerusi laman sosial peribadi, @sharifah_sakinah beliau turut memuatnaik sekeping foto kempen tertera tagline ‘Bantulah Zoo Negara Kita’.

zoo negara
FOTO kempen ‘Bantulah Zoo Negara Kita’ yang dimuatnaik Sharifah Sakinah di dalam Instagram beliau @sharifah_sakinah baru-baru ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Sharifah Sakinah Al-Khaired itu, Zoo Negara amat memerlukan sumbangan daripada masyarakat.

“Mereka (Zoo Negara) memang 100 peratus bergantung pada hasil jualan tiket.

“Jadi, selain kita membantu orang sekeliling yang terputus pendapatan, maka bantulah juga haiwan-haiwan yang terjejas dengan keadaan sekarang,” katanya baru-baru ini.

Tahan tiga bulan

Terdahulu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana memberitahu, setakat ini haiwan-haiwan di zoo masih dalam keadaan baik.

Iklan

zoo negara

“Penutupan sementara sepanjang tempoh PKP adalah cabaran besar bagi menampung kos operasi Zoo Negara.

“Jika masyarakat ingin menyumbang, kami amat mengalu-alukan sumbangan itu dengan menyertai kempen ‘Adopt An Animal’,” jelas beliau kepada Bernama.

Iklan

Menurut Rosly, kempen ‘Adopt An Animal’ ini adalah pakej yang dilaksanakan di kebanyakan zoo seluruh dunia bagi menambahkan pendapatan.

Pendapatan berkenaan digunakan untuk membeli bekalan makanan, ubat-ubatan dan kebajikan haiwan.

Orang ramai yang menyumbang sila layari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut.

Foto: Instagram @sharifah_sakinah  dan @zoonegara_malaysia