SELEBRITI media sosial popular, Ngek Tsai, menyeru rakyat Malaysia berganding bahu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) demi kebaikan semua pihak khususnya terhadap pasukan perubatan negara.

Anak kelahiran Sarawak yang merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tersebut menyifatkan tindakan duduk di rumah bukan sahaja membantu memutuskan rantaian Covid-19, malah secara tidak langsung meringankan beban pasukan perubatan.

Menerusi sebuah video berdurasi 11.57 minit yang dimuat naik di dalam laman sosial Facebook, NgekTsai Army, beliau yang bertugas di Jabatan Patalogi di sebuah hospital di Sarawak berkali-kali menasihatkan masyarakat duduk di rumah.

ngek sai

“Saya perhatikan di dalam media sosial hari ini kita (warga net) lebih cenderung berkelahi isu yang entah apa-apa. Seharusnya, rakyat tolak ketepi perihal tersebut, sebaliknya bersatu hati menyelesaikan krisis besar sekarang.

“Covid-19 adalah isu negara yang paling utama hari ini, bahkan merupakan isu dunia. Justeru, misi utama kita duduk di rumah untuk bersama-sama mengekang virus ini daripada merebak. Selepas semua perkara ini (Covid-19) selesai orang ramai boleh kembali bekerja, anak-anak pulang ke pangkuan ibu bapa dan para murid meneruskan pembelajaran di sekolah.

“Bukan itu sahaja, kita juga dapat menjana pendapatan dan memperkukuhkan ekonomi negara yang kian meleset ekoran pandemik ini,” luah beliau sambil mengalirkan air mata yang turut menyatakan ketidakselesaan menyarungkan peralatan perlindungan diri (PPE).

Pemakaian PPE disifatkan sangat panas sehingga air peluh bertakung dicelah kangkang seluar, di dalam but, kaki dan tangan berkedut serta sukar untuk pergi ke tandas. Namun begitu, atas rasa tanggungjawab mereka mengenepikan seketika perasaan tersebut.

ngek sai
NGEK TSAI menunjukkan kaki dan tangannya berkedut selepas menyarungkan PPE dalam tempoh lama.

Tambah Ngek Tsai, beliau dan pasukan perubatan yang lain sukar untuk memerangi wabak tersebut bersendirian.  Setiap individu mempunyai peranan masing-masing. Orang ramai misalnya, hanya perlu duduk di rumah manakala pasukan perubatan meneruskan perjuangan di barisan hadapan.

Iklan

Dalam ada itu, beliau turut meluahkan tatkala segelintir individu mengatakan bosan duduk di rumah, pasukan perubatan yang berdepan mengendalikan wabak tersebut pula menghitung waktu untuk pulang ke rumah.

“Hasil pemerhatian saya mendapati rakan-rakan seperjuangan kerap bertanyakan soalan, ‘pukul berapa?’. Mereka tak sabar untuk pulang berjumpa insan tersayang yang sentiasa risau akan tugas kami.

“Saya juga tidak terkecuali yang mana ibu dan bapa menzahirkan kebimbangan memikirkan kerja anak mereka. Apatah lagi, saya di Jabatan Patalogi dipertanggungjawabkan mengambil spesimen daripada pesakit atau mereka disyaki positif Covid-19.

Iklan

“Kebimbangan mereka (ibu bapa) semakin terasa apabila melihat di dalam media sosial proses mengendalikan pengebumian pesakit Covid-19. Ia bukan sesuatu yang menyeronokkan,” jelasnya yang sehingga kini tidak mengerti mengapa segelintir pihak masih beranggapan wabak terbabit adalah sesuatu yang remeh.

Justeru, ayuh rakyat Malaysia laksanakan tanggungjawab kita semua dengan duduk di rumah supaya negara bebas daripada pandemik Covid-19 dengan segera. #janganputusasamalaysia

Foto: Ihsan Facebook Ngek Tsai Army