Guru tuisyen umur 55 tahun raih 12A, bimbing pelajar hingga pecutan terakhir. 'Ilmu pernah selamatkan saya ketika kehilangan arwah ibu...'
UMUR hanyalah angka.
Pada usia 55 tahun, Subash Abdullah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila kembali sibuk menelaah buku, sedangkan rakan seusianya sedang bersiap-siap untuk bersara.
Usaha berterusan Subash bukan sahaja membuahkan hasil, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada anak muda lebih-lebih lagi kepada mereka yang pernah kecundang dalam peperiksaan akhir sebelum melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Subash, yang pertama kali menduduki SPM pada tahun 1987, mencipta kejutan apabila berjaya meraih 12A dalam SPM 2024. Lebih membanggakan, beliau cemerlang dalam subjek ‘killer’ seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Pendidikan Islam.
Apa yang lebih menarik, ini bukan kali pertama bekas pengarah filem tersebut menduduki SPM semula. Malah, beliau sudah lima tahun berturut-turut mengambil peperiksaan tersebut.
Bagi tuan empunya badan, keputusan untuk menduduki peperiksaan yang terkenal mencabar dalam sistem pendidikan Malaysia ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, ia menjadi satu usaha untuk memberi motivasi kepada para pelajarnya yang bakal menduduki SPM.
"Saya beritahu pelajar saya kita ambil SPM sama-sama. Saya daftar sebagai calon persendirian macam kamu. Saya akan bimbing kamu sepanjang jalan. Saya mahu menjadi seseorang yang bukan sahaja mengajar, tetapi berjalan bersama mereka dalam perjalanan itu," kongsinya.
Beliau yang kini menguruskan salah satu pusat tuisyen di Cheras Perdana berasa lebih 'afdhal' untuk dirinya turun padang bagi melalui sendiri sistem pembelajaran yang dihadapi pelajarnya.
Melalui itu, dia dapat memahami perubahan silibus dan merancang strategi tepat bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam setiap mata pelajaran.
"Ia bukan tentang menjadi bijak. Ia juga tentang strategi, motivasi, dan mencari kaedah yang sesuai. Pelajar perlukan galakan, bukan ketakutan untuk gagal. Dan guru perlu beri alat bantu yang lebih baik untuk membantu mereka berjaya," katanya.
Subash yang membesar dalam keluarga serba kekurangan mengakui bahawa ilmu adalah kunci utama dalam hidupnya. Ketika kehilangan ibu tercinta, ilmu menjadi penyelamat yang memberi kekuatan untuk terus maju, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
"Pendidikan menyelamatkan saya ketika tiada apa-apa. Selepas ibu meninggal dunia, ia satu-satunya perkara yang membuatkan saya terus bertahan.
"Dan sekarang, saya mahu anak-anak ini lihat bahawa pendidikan tetap peluang terbaik mereka, bukan sekadar untuk bertahan tetapi untuk berjaya," luahnya.
Kini, Subash terus tekad untuk menduduki SPM pada tahun 2025 dengan mengambil 12 mata pelajaran bagi membuktikan dedikasinya memahami corak soalan, sistem pemarkahan dan banyak lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
