Institut Kanser Negara hadiah cinta Allahyarham Tun Abdullah untuk rakyat. 'Tak sempat selamatkan isteri, tapi bina harapan untuk ribuan nyawa'  

No Image Caption
A
A
A

ISNIN lalu, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh besar yang pernah menerajui tampuk kepimpinan negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima.

Allahyarham dikenang kerana pendekatannya yang tenang, lembut namun penuh makna kepada rakyat dan negara.

Namun, di sebalik kejayaan demi kejayaan yang beliau capai sepanjang memimpin negara, tersimpan satu kisah duka yang mendalam, satu kehilangan yang telah mengubah hidup beliau buat selama-lamanya.

Menurut perkongsian pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr Ahmad Samhan di laman Facebook miliknya, pada tahun 2005 negara menyaksikan satu detik pilu.

“Isteri kepada Perdana Menteri ketika itu, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, pergi menghadap Ilahi akibat kanser payudara.

“Bagi Tun Abdullah, ia bukan sekadar kehilangan seorang isteri. Itu adalah kehilangan jiwa, semangat dan separuh daripada hidupnya,” tulis beliau.

No Image Caption



Namun dalam kepedihan yang amat perit, hikmah mula menyinar. Daripada perpisahan itu, lahirlah satu legasi yang begitu besar maknanya buat rakyat iaitu Institut Kanser Negara (IKN). Ia adalah sebuah institusi yang dibina bukan sekadar untuk rawatan perubatan, tetapi menjadi simbol kasih sayang dan harapan buat ribuan pesakit.

“Dalam luka yang dalam, beliau memilih untuk bangkit. Bukan untuk dirinya, tetapi untuk rakyat yang mungkin bakal melalui derita yang sama.

Artikel Berkaitan:


“Dengan air mata yang belum kering, dengan cinta yang belum padam, beliau mengarahkan pembinaan sebuah institusi yang menjadi benteng melawan penyakit yang telah meragut cinta hatinya.

“Dan dari situ... lahirlah Institut Kanser Negara. IKN bukan sekadar hospital. Ia adalah warisan cinta, tempat berlindung bagi mereka yang mencari peluang kedua untuk hidup," tulis Dr Samhan lagi.

No Image Caption



Hari ini, di atas tanah seluas 1,065 ekar di Putrajaya, setiap rawatan yang diberikan dan setiap nyawa yang diselamatkan adalah bukti kasih seorang suami, dan keikhlasan seorang pemimpin.

"Terima kasih, Tun Abdullah. Cintamu masih hidup dalam setiap senyuman pesakit yang kembali pulih.

“Tak sempat selamatkan isteri... tapi sempat bina harapan untuk ribuan nyawa,” tulis Dr Samhan lagi.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang