‘LZS banyak bantu kami.’ Kehilangan ayah tersayang bukan penghalang untuk berjaya, ini kisah anak asnaf penuh inspirasi

No Image Caption
A
A
A

HILANG tempat bergantung pada usia 17 tahun membuatkan dunia Dr Siti Nor Raha Tuhaijan gelap-gelita. Apatah lagi, insan yang paling disanjung wanita itu pergi dalam sekelip mata.

Tanpa sebarang petanda yang jelas, waima mengadu sakit sekalipun, bapa tercinta, Tuhaijan Marion disahkan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.

Kepada SinarPlus, Dr Siti Nor Raha memberitahu, arwah ayah sedikit pun tidak pernah mengadu sakit pada bahagian dada, cuma mengeluh tangan kirinya kerap kebas.

“Masa itu dengan pengetahuan medik yang terhad, saya beranggapan mungkin ayah kurang vitamin C. Namun bila fikirkan semula, itu antara simptom awal masalah jantung.

No Image Caption

“Kalaulah masa itu saya sudah bergelar seorang doktor, mungkin ayah boleh diselamatkan lebih awal. Itulah yang membuatkan saya nekad untuk menjadi seorang pegawai perubatan bertauliah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Imbau Dr Siti Nor Raha yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) itu, ketika berdepan kehilangan memilukan tersebut, beliau hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

No Image Caption

“Saya masih ingat, masa itu kira-kira jam tiga pagi dan warden asrama datang kejutkan saya. Dia beritahu pak cik sudah tunggu di bawah. Saya dengan keadaan terpinga-pinga terus bersiap.

“Masa jumpa pak cik, saya terkejut bila diberitahu ayah sudah tiada. Saat itu saya rasa dunia sudah hancur. Saya tak tahu bagaimana nak teruskan hidup dan tanggung semua dugaan itu tanpa ayah,” ceritanya sebak.

Dua minggu lamanya anak kedua daripada tujuh beradik itu kemurungan dan kesedihan. Setiap kali terkenang arwah bapanya, pasti air mata mengalir deras.

Namun, percaturan ALLAH sangat indah. Dikelilingi rakan, guru dan warden asrama yang berhati mulia sedikit sebanyak memulihkan semangatnya untuk bangkit semula.

Paling menyentuh perasaan anak jati Banting itu, keprihatinan mereka termasuk menghulurkan wang ringgit sebagai saku tambahan, mendorongnya untuk belajar lebih gigih.

No Image Caption

“Alhamdulillah, kawan-kawan dan guru SEMASHUR sangat-sangat membantu. Mereka tak ubah seperti keluarga kedua saya yang sentiasa memberi kata-kata semangat tanpa lelah.

“Asbab rangsangan positif tersebut, saya memperoleh keputusan cemerlang semasa SPM,” katanya yang kemudian menyambungkan pengajian asasi selama setahun di UniKL Kampus Kulim, Kedah dengan bantuan pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bantuan LZS

Berkat bantuan agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu, Dr Siti Nor Raha kemudian dapat meneruskan pendidikan tinggi di UniKL Royal College of Medicine Perak selama lima tahun.

“Syukur kepada ILAHI, urusan di peringkat universiti banyak dipermudahkan dengan biasiswa LZS termasuk duit poket, bantuan komputer riba, sewa rumah dan yuran pengajian.

No Image Caption

“LZS banyak membantu kami sekeluarga selepas ibu memohon untuk bantuan ibu tunggal. Sebelum ini memang ibu hanya suri rumah sepenuh masa dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan ayah sebagai kontraktor,” tuturnya.

Bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan bulanan, LZS juga tidak terkecuali menyantuni keluarga itu dengan bakul makanan dan suntikan perniagaan demi kelangsungan hidup.

No Image Caption

Justeru, nekad mahu keluar daripada kepompong asnaf, bekas penerima bantuan zakat itu terus mara melangkah ke hadapan demi membahagiakan satu-satunya syurganya iaitu ibu tersayang, Rossilawati Wagiran.

Bermula sebagai doktor pelatih di Hospital Selayang pada tahun 2014, ibu kepada empat cahaya mata itu kemudian berkhidmat di Hospital Slim River sebagai pegawai perubatan di jabatan anestesiologi pada tahun 2016.

No Image Caption

Doktor berusia 34 tahun tersebut sempat menabur bakti di Hospital Banting selama dua tahun sebelum berhijrah ke sektor swasta selama empat tahun.

Lebih membanggakan, bekas doktor residen di Klinik Siti Banting berkenaan sudah memiliki klinik sendiri, Klinik Camellia 24 Jam yang beroperasi di Salak Tinggi, Sepang, Selangor sejak Ogos tahun lalu.

No Image Caption

Sebelum menutup perbualan, Dr Siti Nor Raha mengakui, bantuan LZS banyak memberi sinar baharu dalam hidupnya, sekali gus membantu anak-anak asnaf untuk lebih berjaya dalam institusi pendidikan dan kemahiran seperti adik-adiknya.

No Image Caption

“Sebagai bekas penerima zakat, saya sentiasa berbesar hati memberi sumbangan kepada golongan asnaf yang datang ke klinik dan tidak lupa juga sebagai pembayar zakat di Selangor,” katanya.

Wanita hebat itu turut berkesempatan berkongsi pengalaman bersama pengunjung yang hadir memeriahkan Pertandingan Mencari Siti anjuran SinarPlus dengan kerjasama LZS sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

No Image Caption

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang