'Istiqomah isteri taat & penyayang.' Sayu kongsi keadaan anak, suami, keluarga mahu pembunuh dihukum gantung. Ibu dedah arwah suka tolong orang
LAPAN bulan hilang kemudian disahkan meninggal dunia dalam keadaan yang tragis, berita pemergian guru, Istiqomah Ahmad Rozi cukup menyayat hati.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terpaksa menerima kenyataan, suami Allahyarham, Mohd Yusof Mokhtar, 35 menzahirkan rasa pilu dan reda menerima suratan takdir isteri tersayang sudah tiada lagi di dunia.
"Dia isteri yang taat pada suami dan amat sayangkan anak-anaknya. Dia (isteri) juga seorang yang baik.
"Kalau ada apa-apa, dia akan minta izin dengan saya terlebih dahulu," katanya.
Katanya lagi, tiga cahaya mata mereka menanggung rindu susulan kehilangan ibu tersayang. Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, memang menantikan kepulangan Istiqomah terutama si sulung.
"Anak sulung banyak diam, termenung dan rindukan ibunya. Saya beritahu dan pujuk dia, abah ada, datuk dan nenek pun ada. Anak sulung dan kedua tidak menangis, dia akan kata mama (arwah) pergi ke sekolah.
"Anak sulung sebelum ini tidak mahu pergi sekolah kerana kawannya selalu bertanya ibunya sudah hilang.
"Sikap anak sulung seperti isteri saya iaitu seorang pendiam dan suka tolong orang," katanya
Mengenang kekejaman yang dilakukan ke atas isterinya, Mohd Yusof yang bekerja sebagai juruteknik mahu pembunuh dihukum setara dengan perbuatannya yang meragut nyawa.
"Harapan saya kalau boleh saya mahu hukuman yang setimpal untuk si pelaku kalau boleh hukuman gantung, orang rumah saya adalah insan yang taat kepada suami.
"Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam (pelaku) buat macam itu," katanya.
'Mungkin dia minta gelang...' - Suami
Dalam pada itu, Mohd Yusof mendedahkan suspek adalah rakan berniaga Istiqomah dan bukan teman lelaki seperti digembar-gemburkan media.
Pegawai penyiasat polis mengesahkan wanita itu dan rakan universiti itu berjumpa untuk bisnes dan bukan atas tujuan lain.
"Mungkin bila dia minta gelang emas isteri saya tapi tak dapat lalu berlaku pergelutan. Ada kesan pada tangan isteri saya," katanya.
'Nak jumpa hari raya nanti, tapi sekarang baru ditemui' - Bapa
Bapa Istiqomah, Ahmad Rozi Latimin, 64, mendedahkan kali terakhir bertemu dan bercakap anak sulung daripada dua beradik itu ialah ketika mereka sekeluarga bercuti di Morib, Selangor.
Ujarnya, ketika itu Allahyarham sempat berkata ingin berjumpa pada sambutan Aidilfitri pada April lalu. Namun, apakan daya, takdir tertulis hingga kini barulah Istiqomah ditemui.
"Dia kata nak jumpa masa raya, tapi sekarang baru jumpa.
"Tapi itu semua sudah ketentuan ALLAH SWT, saya reda semua semua ni... ALLAH SWT dah tulis.
"Cuma kalau boleh orang yang buat anak saya tu dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.
Hati bapa itu kini semakin reda dan berkongsi perancangan pengebumian di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, selepas selesai proses tuntutan jenazah. Kini mereka sekeluarga sedang menunggu proses bedah siasat selesai.
"Sekarang kami sedang menunggu proses bedah siasat di hospital siap, tidak tahu bila.
"Apabila siap jenazah akan dibawa terus ke Pasir Mas untuk dikebumikan di sana.
"Kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Ahmad Rozi juga jenazah arwah akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan, selepas selesai segala proses.
'Dia suka tolong orang' - Ibu
Pilu kehilangan anak, Saliha Ya, 58, mengakui Allahyarham Istiqomah seorang yang suka menolong orang.
"Dia suka bantu orang. Kalau orang tu tak ada duit, kadang-kadang dia kata umi orang tu tiada ada duit, bagilah sikit.
"Kepada emak saudara pun selalu dia hulur bantuan bagi bulan-bulan," kata Saliha.
Pelaburan Forex jadi punca
Kenalan lelaki Istiqomah berusia 37 tahun iaitu rakannya ketika belajar di universiti disyaki mendalangi pembunuhan telah ditangkap di Chemor, Perak.
Lelaki terbabit juga bekas guru menjadi pedagang mata wang asing (Forex), dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan wanita itu.
Terdahulu, media melaporkan mayat wanita ditemui tanpa kepala disahkan milik guru itu selepas hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan Bahagian Data Bank/DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ke atas ibu mangsa.
Penangkapan suspek dan isteri adalah hisikan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Poli Daerah Alor Gajah.
Bagaimanapun, isteri suspek dibebaskan dengan jamin polis.
Terdahulu, polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember lalu adalah Istiqomah. Jasad tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki di dalam tong sampah di longkang jalan besar Alor Gajah-Tampin.
Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tengkorak dan tulang jari kira-kira enam kilometer dari kawasan tempat mayat mangsa dijumpai.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang