'Ketika dihumban dalam gaung, 2 anak dalam kereta.' Terbayang wajah si kecil, jadi kekuatan wanita cuba dibunuh suami merangkak naik
TIDAK berperikemanusiaan. Kes melibatkan seorang wanita yang dihumban suami ke dalam gaung sedalam 10 meter di di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli selepas pertengkaran menagih perhatian negara.
Merangkak naik ke bahu jalan dalam keadaan tercedera dan ditemui orang awam sembilan jam selepas itu, rupa-rupanya dua anak yang masih kecil menjadi sumber kekuatan untuk menyelamatkan diri.
Situasi menyayat hati itu dikongsikan Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centra Madad, Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang diberi kepercayaan untuk menghantar wanita berkenaan pulang ke kampung halamannya di Kelantan selepas dibenarkan discaj dari Hospital Taiping, Taiping semalam.
Kata Muhammad Rizuan, perkara itu diceritakan sendiri kepadanya.
Malah beliau yang dikenali sebagai Dik Wan mendedahkan kecederaan wanita berusia 32 tahun melibatkan tulang belakang, patah pinggang, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru.
Difahamkan, keadaan tulang belakang wanita berkenaan dari L1-L5 mengalami patah.
"Disebabkan beliau ingatkan anak-anaknya yang masih kecil berusia lima bulan dan enam tahun, beliau berusaha juga untuk selamatkan diri
"Beliau ditolak jatuh ke gaung kira-kira jam 5 pagi dan pada jam 2 petang baru beliau dapat naik ke atas dan minta bantuan orang ramai," katanya.
Muhammad Ridzuan sebelum ini memuat naik hantaran di Facebook Murtadha Dakwah Centre, memaklumkan berkaitan gerak kerja pasukan ambulans percuma yang dikendalikan olehnya itu.
Turut dimuat naik gambar mangsa sedang dibawa menaiki ambulans terbabit untuk dihantar pulang.
"Team Madad Ambulans hantar Ustazah yang ditolak jatuh ke dalam gaung oleh suaminya di Gerik baru-baru ni dari Hospital Taiping, Perak hantar balik ke Kelantan. Sedih dengar cerita dia," tulis hantaran itu.
RUPANYA ANAK DALAM KERETA
Turut dimaklumkan, mangsa menceritakan bahawa ketika kejadian si suami menolaknya jatuh ke gaung, dua orang anak pasangan itu turut berada di dalam kereta sama dinaiki.
"Anak mereka baru berusia lima bulan dengan enam tahun.
"Mangsa mengatakan dia usaha juga untuk naik walaupun sampai lebih kurang sembilan jam diperlukan untuk mendaki sepuluh meter kedalaman gaung itu.
"Mangsa katakan dia sudah tidak ingat apa-apa semasa itu melainkan cuma nampak anak dia saja yang sewaktu kejadian yang turut berada di dalam kereta dinaiki mereka," katanya.
Terdahulu, suspek dikatakan membawa mangsa dari Kuala Lumpur menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung dengan sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.
Suspek dikatakan cuba membunuh dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke gaung.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood sebelum ini turut dilapor berkata, suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil dan Kanun Keseksaan.
Suami wanita berkenaan yang berusia 39 tahun direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu bagi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.
Suspek berjaya ditangkap pada 31 Julai lalu oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah kerana suspek mencederakan abang kandungnya.
Suspek kemudiannya ditangkap semula oleh polis IPD Gerik pada 5 Ogos lalu iaitu sejurus siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera di IPD Baling selesai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang