'Ya ALLAH anak aku!' Baru 10 bulan suami pergi, wanita pilu 2 maut serentak asbab tong roro dalam perjalanan ziarah kubur bapa
LULUH mendengar luahan ibu tunggal, Norizan Ujak, 40, yang kehilangan dua orang anaknya dalam kemalangan.
"Saya tak kuat, baru 10 bulan abah mereka pergi, ini pula saya kehilangan dua anak," katanya menahan sebak.
Lebih menyedihkan, kemalangan di Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong itu disaksikan Norizan sendiri di hadapan mata.
Norizan berkata, dia hanya mampu menjerit apabila melihat motosikal yang ditunggangi anaknya merempuh tong sampah pukal roro berwarna biru menyebabkan mereka terpelanting.
Menurutnya, ketika kejadian beliau mengekori motosikal ditunggangi dua anaknya itu dengan motosikal lain dari arah belakang sebelum dua beradik berkenaan merempuh tong sampah tersebut.
""Saya angkat tengok dah terkulai. Semua patah, tangan dan kaki patah," ujar Norizan.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, anak sulung dan anak bongsunya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqa Sofea Hazlin, 5, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.
Tambah memilukan, tiga beranak itu dalam perjalanan menziarahi pusara arwah bapa dan suami.
"Kami dalam perjalanan nak ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu untuk menziarah kubur arwah suami yang meninggal dunia akibat komplikasi sakit termasuk kencing manis.
"Kami rancang lepas ziarah nak makan bersama selepas itu, namun tak sangka berakhir dengan tragedi," kata Norizan.
Katanya, lebih menyedihkan beliau nampak depan mata tong roro yang diletakkan betul-betul atas bahu jalan lorong kecemasan menyebabkan anaknya tidak sempat mengelak kerana terdapat lori pada lorong kanan.
Ujar Noriza lagi, beliau kesal tong sampah pukal yang diletakkan di bahu jalan untuk membuang sisa pokok ditebang didakwa tidak diletakkan ciri-ciri keselamatan termasuk kon diletakkan terlalu hampir dengan tong terbabit.
"Malah ketika kejadian tak ada seorang pun pekerja kontraktor yang mengawal lalu lintas memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
"Harap pihak berkuasa supaya ambil tindakan tegas kerana kecuaian ini telah menyebabkan saya hilang dua anak sekali gus. Jangan ada orang lain lagi yang menjadi mangsa," katanya lagi.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Ujar Norizan beliau bukan sahaja kehilangan dua orang anak serentak malah hilang punca pendapatan keluarga kerana sejak pemergian arwah suami November lalu. Sementelah anak sulungnya yang menanggung keluarga dengan bekerja sambilan sebagai tukang cuci kereta.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan perjalanan dua beradik untuk menziarahi pusara bapa mereka, tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan.
Kejadian yang berlaku mengakibatkan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.40 malam dan 12.30 pagi Selasa ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setiba di lokasi kejadian, mangsa yang merupakan penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak perasan sebuah tong sampah roro berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang