Lelaki sebak isteri & emak pergi serentak, percutian keluarga bertukar tragedi. 'Ibu teruja, semua seronok mandi sungai...'

No Image Caption
A
A
A

SIAPA sangka percutian keluarga sempena Hari Merdeka berukar tragedi buat Mohd Fadzil Othman, 27.

"Segala-galanya nampak begitu sempurna sebelum perjalanan ke Kulim. Sebenarnya kami tidak merancang untuk bercuti, ia berlaku secara spontan.

"Ibu saya sangat teruja pada hari itu (kejadian) dan kami semua sangat seronok mandi sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Ngah, Bedong, Baling.

Segala kegembiraan diregut sekelip mata selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Mohd Fadzil Othman, 27, dari arah tempat rekreasi Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, Sungai Petani untuk pulang ke rumah terlibat dalam kemalangan dipercayai cuba ketika mengelak kera melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil pada petang Sabtu.

No Image Caption

Dalam kejadian jam 6.12 petang itu menyebabkan mangsa, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya, Omi Kalsom Man, 69, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Fadzil yang merupakan pekerja am di sebuah syarikat komponen kenderaan terselamat bersama anak lelakinya, Lufh Mikhael, 3, sementara anak perempuan, Lufiya Mikayla, 2, cedera parah.

Imbas kembali kemalangan itu, Mohd Fadzil berkata ia berpunca daripada mengelak seekor kera melintas jalan raya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Dalam sekelip mata, segala-galanya berubah. Saya sedang memandu ketika itu dan secara tiba-tiba seekor kera melintas, saya cuba mengelak daripada melanggar kera itu.

"Saya hilang kawalan dan kereta dipandu melencong ke laluan sebelah lalu terbabas.

“Apa yang saya ingat, selepas itu kereta masuk ke dalam longkang selepas berpusing beberapa kali,” katanya.

Kata Mohd Fadzil, beliau segera mencari kesemua ahli keluarganya sejurus kemalangan dan sempat membantu isterinya mengucap dua kalimah syahadah.

“Isteri saya duduk di tempat duduk penumpang hadapan bersama anak perempuan, ibu pula berada di tempat duduk belakang. Ketiga-tiga mereka tercampak keluar dari kereta.

"Saya nampak ibu selepas kemalangan tetapi tidak nampak isteri dan anak perempuan saya. Tidak lama selepas itu, orang ramai jumpa mereka dan serahkan anak perempuan kepada saya, dia terselamat cuma cedera.

No Image Caption

"Malangnya, isteri saya tidak berjaya diselamatkan tetapi saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Beliau percaya isteri tercinta sedaya upaya melindungi anak perempuan mereka dengan memeluknya dan kemungkinan menerima kesan serius akibat hentakan kemalangan tersebut.

“Saya hanya fikirkan keadaan anak perempuan saya, Lufiya Mikayla, 2, yang kini sedang bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” ujarnya.

No Image Caption

"Kedua-dua anak saya sangat rapat dengan ibu mereka, terutamanya anak perempuan.

“Saya juga akan merindui masakan ibu saya, terutama gulai kegemaran saya, kini hanya akan jadi kenangan,” katanya.

Walaupun dunianya seakan berkecai, Mohd Fadzil mengakui perlu kuat menerima takdir demi anak-anaknya.

"Saya perlu terima kenyataan walaupun pahit, dan perlu kuat untuk besarkan anak, mereka masih kecil," tambahnya.

Sementera itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Charan Ai Wan berkata, Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang